(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Kira-kira 6 pagi pada 21 April 2018, pensyarah warga Palestin dikenali dengan nama Dr Fadi al-Batsch sedang berjalan menuju ke sebuah surau berhampiran kediamannya di Setapak untuk menunaikan solat Subuhnya.
Ketika sedang berjalan, beliau telah didatangi dua lelaki menunggang sebuah motosikal berkuasa tinggi yang telah melepaskan 14 das tembakan terhadap pensyarah Palestin itu, membunuhnya beliau serta-merta.
Menurut polis, kedua-dua penunggang motosikal itu memiliki ciri-ciri Timur-Tengah dan menggunakan passport Serbia dan Montenegro untuk memasuki Malaysia.
Sebaik sahaja membunuh pensyarah Palestin, mereka telah menyeberangi sempadan Malaysia-Thai menggunakan lorong tikus.
Media-media Israel yang memetik sumber keselamatan Israel mengatakan pensyarah Palestin itu bukan ahli akademik sembarangan tetapi allahyarham adalah pakar teknologi kepada Hamas terutama berkaitan pesawat tanpa pemandu atau dron.
Pembunuhan pensyarah Palestin di Kuala Lumpur itu menarik perhatian dunia yang mendakwa ia telah dilakukan oleh agensi perisikan Israel, Mossad yang sememangnya terkenal dengan misi-misi pembunuhannya terhadap “musuh-musuh” Israel.
Untuk lebih tepat lagi, misi pembunuhan oleh Mossad ini dilakukan oleh satu unit rahsianya dipanggil “Kidon”, dimana tugas utama hanya melaksanakan pembunuhan terhadap sasaran yang telah dikenalpasti oleh agensi perisikan Israel itu.
Unit “Kidon” ditubuhkan pada 1970 dan bernaung di bawah “Jabatan Caesarea” yang berada dalam Mossad itu sendiri, dengan tugas dan fokus utama unit adalah melaksanakan pembunuhan terhadap musuh-musuh Israel di luar negara Yahudi itu.
Di dalam bahasa Hebrew, “Kidon” itu bermaksud “bayonet” atau “tip of the spear.”
“Jabatan Caesarea” adalah cabang paling rahsia di dalam Mossad dan “Kidon” adalah unit pelaksana yang paling paling rahsia.
Menurut mereka yang menganalisis cara pembunuhan didakwa dilakukan oleh unit rahsia Mossad selama ini, anggota unit “Kidon” kerap menggunakan lelaki bersenjata, bermotosikal dan “sticky bombs” yang diletakkan di sisi kenderaan mangsa.
Taktik yang digunakan oleh lelaki bersenjata yang membunuh pensyarah Palestin itu di Setapak empat tahun lepas itu adalah sama sebagaimana dilakukan oleh anggota unit “Kidon” Mossad itu di dalam siri-siri pembunuhan mereka yang lain.
Walaupun tidak banyak yang diketahui tentang unit “Kidon” yang memiliki tahap kerahsiaan yang amat tinggi, namun unit itu dikatakan ditubuhkan oleh salah seorang operatifnya sendiri dikenali dengan nama “Mike Harari.”
Unit “Kidon” itu ditubuhkan tidak lama selepas insiden pembunuhan 11 orang atlet Israel oleh pejuang Palestin ketika Sukan Olimpik di Munich, Jerman pada tahun 1972.
Sebagai tindak balas Israel terhadap insiden yang berlaku pada Sukan Olimpik pada 1972, Tel Aviv telah melancarkan operasi “Wrath of God” di mana anggota unit “Kidon” memburu mereka yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan terhadap atlet-atlet Israel pada sukan itu.
Semasa operasi yang berlangsung daripada 1972 hingga 1988, unit “Kidon” dikatakan bertanggungjawab terhadap 22 insiden pembunuhan terhadap pemimpin dan anggota PLO (Palestine Liberation Organisation) yang pada ketika dipimpin oleh Yasser Arafat.
Sejak 1972, terdapat lebih daripada 100 kes pembunuhan dikaitkan dengan Israel, namun adalah sukar untuk mengaitkannya dengan negara itu apatah lagi ia tidak pernah mengakuinya secara terbuka atau menafikannya.
Bilangan sebenar bilangan mereka yang terkorban akibat tindakan kejam oleh unit “Kidon” berkemungkinan besar tidak akan diketahui oleh masyarakat dunia sampai bila-bila.
Menurut bekas pegawai operasi Mossad “Mishka Ben-David”, anggota unit “Kidon” dipilih sama ada dari dalam Mossad itu sendiri atau mereka dari unit-unit khas di dalam Tentera Israel seperti Sayeret Matkal dan lain-lain unit.
Anggota unit rahsia “Kidon” itu akan menjalani latihan intensif di padang pasir Negev selama dua tahun sebelum mereka bersedia untuk dihantar ke negara-negara yang dianggap “bermusuh” dengan Israel bagi melaksanakan misi-misi pembunuhan itu.
Menurut Ben-David lagi tahap kerahsiaan tentang unit “Kidon” adalah amat tinggi dengan anggotanya tidak berinteraksi dengan anggota Mossad yang lain bagi memastikan kerahsiaan tentang unit itu sentiasa terpelihara.
Disebabkan tahap kerahsiaannya yang amat tinggi, maka adalah sukar untuk mengasingkan di antara fakta dan spekulasi tentang unit pembunuh “Kidon” ini. — DSA
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE