Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Terima Kasih Malaysia” – Kementerian Dalam Negeri Palestin

Media tempatan melaporkan pihak polis berjaya menyelamatkan seorang warga Palestin berusia 31 tahun sehari selepas beliau diculik sekumpulan rakyat tempatan yang dipercayai direkrut agensi perisikan Israel, Mossad bagi membantu rejim itu memburu anggota Hamas di Malaysia.

0 3,465

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kementerian Dalam Negeri Palestin merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Malaysia kerana telah menyelamatkan seorang warga Palestin yang diculik oleh warga tempatan dipercayai bekerja untuk agensi perisikan Israel, Mossad di Malaysia baru-baru ini.

Kementerian Dalam Negeri Palestin itu dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Selasa turut mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak keselamatan lain yang terlibat dalam usaha menyelamat itu.

Media tempatan melaporkan pihak polis berjaya menyelamatkan seorang warga Palestin berusia 31 tahun sehari selepas beliau diculik sekumpulan rakyat tempatan dipercayai direkrut agensi perisikan Israel, Mossad bagi membantu rejim itu memburu anggota Hamas di Malaysia.

Mossad

“Selain itu, mereka (polis Malaysia) dapat mendedahkan operasi anggota Mossad dan memburu serta menjejaki rangkaiannya.

“Kami mengecam jenayah terang-terangan yang dilakukan Israel terhadap seorang daripada rakyat Palestin di Malaysia dan kami menyeru agar pelakunya dikenakan hukuman,” menurut kenyataan kementerian Palestin itu.

Mangsa berjaya diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang, Beranang di Selangor dan Melaka dari 29 Sept hingga 4 Okt lalu.

Seramai 11 individu berusia 21 hingga 40 tahun didakwa di Mahkamah Majistret pada 14 Okt berhubung penculikan itu.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Jalan Mayang di sini, pada 10.40 malam, 28 Sept lepas mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat jika sabit kesalahan.

Mossad
Sebahagian daripada 11 warga tempatan termasuk seorang wanita dikawal ketat oleh anggota polis ketika mereka dihadapkan ke mahkamah kerana menculik seorang warga Palestin pada 28 Sept lalu.

 

Kesemua 11 individu yang didakwa itu adalah Edy Ko’im Said, 40; Mohamad Norakmal Hassan, 41; Dody Junaidi, 42; Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 39; Mohamad Naziree Mustapha, 39; Faizull Hardey Mohd Isa, 40; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 25; Mohamad Sufian Saly, 23; Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 21; Nidarahayu Zainal, 34, dan Raibafie Amdan, 39.

 Sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan hari ini mendedahkan bahawa jaringan perisikan Mossad di Malaysia dipercayai diketuai oleh oleh seorang wanita warga tempatan berusia di dalam lingkungan 30-an.

Wanita itu juga adalah penyiasat persendirian merupakan salah seorang yang berjaya ditangkap oleh polis dalam operasi pada 28 Sept itu.

Menurut akhbar berbahasa Inggeris itu lagi, selepas direkrut oleh Mossad, wanita warga tempatan itu telah dihantar untuk menjalani latihan di luar negara termasuk di Eropah untuk mendalami ilmu perisikan.

Wanita itu juga sebagaimana didakwa oleh akhbar itu, telah diberikan wang tunai sebanyak RM120, 000.

Mossad

Pendedahan mengenai wanita warga tempatan yang mengetuai jaringan perisikan Mossad di Malaysia itu menyusul selepas cubaan mereka untuk menculik dja warga Palestin di negara ini yang dipercayai adalah aset kepada sayap ketenteraan Hamas iaitu Briged Al-Qassam.

Menurut akhbar berkenaan, pada 10 malam 28 Sept yang lepas kumpulan perisik Mossad telah berjaya memintas kedua-dua warga Palestin ketika mereka berada di dalam kenderaan mereka di Jalan Yap Kwan Seng selepas makan malam.

Kedua-dua mereka adalah pengaturcara komputer dan dipercayai adalah aset penting kepada Hamas.

Kenderaan dinaiki oleh warga Palestin itu telah dipintas oleh sebuah kenderaan dinaiki empat lelaki, yang kemudiannya menculik mereka dan membawa ke sebuah chalet di Hulu Langat.

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

Untuk tempoh 24 jam selepas diculik itu, kedua-dua warga Palestin itu telah disoal-siasat oleh perisik Mossad untuk mengetahui tentang kepakaran tentang komputer serta lokasi pemimpin-pemimpin Hamas di Malaysia.

Nasib kedua-dua warga Palestin itu baik kerana polis Malaysia berjaya mengesan kedudukan mereka dan telah bertindak menyelamatkan mereka.

Kedua-dua warga Palestin itu telah pun meninggalkan Malaysia dengan kecederaan ringan di beberapa bahagian tubuh mereka akibat soalsiasat oleh perisik-perisik Mossad itu dan 11 warga tempatan yang bekerja untuk Mossad telah berjaya ditangkap. — DSA

Jom!!!! follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore

 

 

Comments
Loading...