Sudah Lebih Sebulan Kapal Penyelidikan China Berada Di Perairan ZEE Negara

Walaupun sudah lebih daripada sebulan kapal penyelidik China itu berada di dalam perairan ZEE Malaysia, namun masih tiada kenyataan rasmi daripada kerajaan tentang kehadiran kapal saintifik asing itu di dalam perairan milik negara.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sudah lebih daripada sebulan kapal penyelidik hidrografi China,  Haiyang Dizhi Ba Hao 8 berada di dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) menjalankan kerja-kerja penyelidikan “misterinya.”

Walaupun sudah lebih daripada sebulan kapal penyelidik China itu berada di dalam perairan ZEE Malaysia, namun masih tiada kenyataan rasmi daripada kerajaan tentang kehadiran kapal saintifik asing itu di dalam perairan milik negara.

Pelbagai persoalan timbul pada ketika ini, paling utama adalah sama ada kapal China itu sudah memperolehi kebenaran daripada Malaysia untuk melakukan kajian saintifik di dalam perairan ZEE milik negara?

Corak penyelidikan kapal Haiyang Dizhi Ba Hao (kredit @GordionKnotRay)

 

Menurut penyelidik antarabangsa Raymond Powell menerusi ciapannya dalam akaun Twitter di @GordionKnotRay telah berkata, hampir pasti misi penyelidikan oleh kapal China itu tidak memperolehi kebenaran daripada Malaysia.

Ray, bekas kolonel Tentera Udara Amerika Syarikat adalah ketua Projek Myoushu di Gordian Knot Center for National Security Innovation, Universiti Stanford.

China menurut beliau,  sudah tentu tidak akan meminta kebenaran daripada Malaysia (untuk melakukan penyelidikan itu) kerana ia mengaku perairan di Beting Patinggi Ali itu adalah haknya di bawah Nine Dash Line.

Meminta kebenaran daripada Malaysia katanya, akan menunjukkan bahawa China secara tidak langsung mengakui hak Kuala Lumpur terhadap perairan sekitar beting itu.

“Hampir pasti penyelidikan itu tidak mendapat kebenaran daripada Malaysia dan ia adalah haram dibawah UNCLOS yang menghendaki pihak yang melakukan penyelidikan itu memohon kebenaran enam bulan lebih awal,” katanya.

Persoalan kedua menyentuh, bentuk kajian saintifik apakah yang sedang dijalankan oleh kapal kajian hidrografi China itu di ZEE Malaysia yang dikenali sebagai kawasan prolifik dengan sumber minyak dan gas yang bernilai tinggi?

Kedudukan Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals)

 

Sebarang maklumat tentang kapal China itu amat ditagih memandangkan kehadirannya di perairan ZEE Malaysia di Beting Patinggi Ali itu telah “dikawal ketat” oleh kapal-kapal pengawal pantai serta bot-bot maritim militia China.

Mengapakah kehadirannya di ZEE Malaysia itu dikawal dengan ketat oleh kapal-kapal agensi penguatkuasa China? Adakah ia membabitkan kajian-kajian saintifik yang sensitif kepada keselamatan?

Kesemua persoalan ini perlu dijawab kepada rakyat Malaysia yang ternanti-nanti akan sebarang kenyataan rasmi daripada kerajaan mengenainya.

“Membisu seribu bahasa” bukanlah suatu opsyen di dalam isu ini.

Namun untuk berlaku adil, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengerah dua buah asetnya iaitu Bunga Mas 5 dan KD Keris untuk membayangi kapal-kapal dan bot milik China di dalam perairan ZEE negara itu.

Kapal penyelidik China itu dikesan memasuki perairan ZEE Malaysia pada 21 Jun lepas.

Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals)

 

Kapal penyelidik Haiyang Dizhi 8 itu dipercayai mensasarkan kawasan-kawasan perairan ZEE Malaysia yang kaya dengan sumber minyak dan gas serta menempatkan aktiviti cari gali minyak dan gas membabitkan Petronas dan rakan-rakan perniagaannya.

Tiga tahun lepas, kapal penyelidik China itu dikesan beroperasi di lokasi perairan berhampiran dengan aktiviti kapal ultra drillship, West Capella yang dikontrak oleh Petronas untuk menjalankan kerja-kerja penggerudian.

Kehadiran kapal Haiyang Dizhi 8 di dalam perairan ZEE Malaysia pada April 2020 itu juga telah dikawal ketat oleh beberapa buah kapal pengawal pantai serta maritim militia China, sama seperti apa yang sedang berlaku pada ketika ini.

Pada 27 Jun lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kawasan-kawasan perairan ZEE milik negara di luar pantai Sarawak seperti di sekitar Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) dan Beting Raja Jarom (Luconia Breaker) yang kaya dengan sumber minyak dan gas akan dipertahankan “at any cost” (apa cara sekalipun).

Menurutnya, kawasan perairan ZEE negara di luar pantai Sarawak itu menempatkan Lapangan Gas Kasawari di Blok SK316 yang sedang diusahakan oleh syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS.

Kapal APMM “shadow” sebuah kapal pengawal pantai China di luar pantai Sarawak. (gambar fail)

 

“Kawasan (Lapangan Gas) Kasawari dan Beting Raja Jarom berada di dalam kawasan ZEE kita yang telah termaktub dalam United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS).”

“Mengambil kira kawasan itu seperti (Lapangan Gas) Kasawari dan Beting Patinggi Ali itu adalah kawasan yang memberikan pendapatan kepada negara hampir 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, dimana di situlah terletaknya telaga minyak kita, di situlah telaga gas kita, maka ia perlu dipertahankan ‘at any cost’,” kata Mohamad Hasan.

Pencerobohan kapal-kapal asing di kawasan ZEE negara di situ kata Menteri Pertahanan, adalah suatu isu yang amat sensitif dan perlu diurus dengan cara yang terbaik kerana “kita tidak mahu ada insiden-insiden yang kita tidak mahu terjadi.”  — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Beting Patinggi AliChinafeaturedHaiyang Dizhi Ba HaoKapal PenyelidikanZEE
Comments (0)
Add Comment