(VIDEO) Sebuah Lagi Dron MQ-9 Reaper Amerika Ditembak Jatuh, Keempat Dlm Beberapa Bulan

(VIDEO) Ia adalah dron MQ-9 Reaper yang keempat milik tentera Amerika Syarikat yang berjaya ditembak jatuh oleh kumpulan bersenjata Houthi dan kumpulan bersenjata di Iraq sejak beberapa bulan yang lepas.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Amerika Syarikat kehilangan sebuah lagi dron MQ-9 Reaper dianggarkan bernilai US$30 juta (RM135 juta) di kawasan pesisiran pantai Yemen, selepas ia dilaporkan telah ditembak jatuh oleh kumpulan bersenjata Houthi.

Ini adalah dron MQ-9 Reaper yang keempat milik tentera Amerika Syarikat yang berjaya ditembak jatuh oleh kumpulan bersenjata Houthi dan kumpulan bersenjata di Iraq sejak beberapa bulan yang lepas.

Dron MQ-9 Reaper yang pertama ditembak jatuh pada November tahun lepas, manakala yang kedua pula ditembak jatuh pada Februari lepas.

Pegawai-pegawai tentera Amerika Syarikat mengesahkan kehilangan sebuah lagi dron MQ-9 Reaper milik mereka hari ini dan berkata insiden itu sedang disiasat oleh mereka, tetapi tidak menolak kemungkinan ia telah ditembak jatuh.

Tentera Amerika Syarikat menggunakan dron MQ-9 Reaper yang dibangunkan oleh syarikat General Atomics Aeronautical Systems (GASI) untuk tujuan memastikan kawasan perairan di pesisiran pantai Yemen itu selamat bagi digunakan oleh kapal-kapal komersial.

Dron canggih itu berkemampuan untuk terbang selama 27 jam tanpa henti dan setinggi 50,000 kaki serta membawa muatan seberat lebih daripada 1.7 tan termasuk sistem sensor dan elektronik yang sensitive.

Dron MQ-9 Reaper yang dioperasikan terutamanya untuk operasi dan misi Intelligence, Surveillance dan Reconnaisance (ISR) juga boleh dilengkapi dengan peluru berpandu “Hellfire”, GBU-12 Paveway II, GBU-38 Joint Direct Attack Munition (JDAM) untuk tujuan serangan.

Berdasarkan kepada data yang diperolehi pada 2021, tentera Amerika Syarikat (terutamanya Tentera Udara Amerika Syarikat – USAF) dilaporkan mengoperasikan sejumlah lebih daripada 300 buah dron-dron MQ-9 Reaper yang mula diperkenalkan kepada tentera Amerika Syarikat pada 2007.

Dron MQ-9 Reaper itu dijangka akan menamatkan perkhidmatannya pada tahun 2035.

Sejak konflik di antara Palestin dan Israel tercetus lebih enam bulan yang lalu, kumpulan Houthi telah mengancam dan menyerang lebih daripada 100 buah kapal komersial yang melalui perairan berhampiran dengan kawasan pesisir pantai Yemen terutamanya di Laut Merah dan Teluk Aden.

Dron MQ-9 “Reaper” buatan syarikat General Atomics daripada Amerika Syarikat.

 

Serangan peluru berpandu oleh kumpulan Houthi terhadap kapal-kapal komersial telah menyebabkan kerugian berbilion-bilion dollar Amerika terhadap syarikat perkapalan dunia serta menjejaskan laluan perdagangan utama dunia.

Kumpulan bersenjata Houthi mendakwa ia telah berjaya menembak jatuh pesawat tanpa pemandu MQ-9 “Reaper” milik tentera Amerika Syarikat di pinggir pantai Hodeidah, Yaman.

Jurucakap kumpulan bersenjata Houthi Brig Jen Yahya Saree berkata bahawa anggotanya berjaya menembak jatuh pesawat tanpa pemandu “Reaper” yang dianggarkan bernilai US$30 juta hingga US$40 juta (antara RM135 juta hingga RM180 juta) sebuah.

Serpihan dron MQ-9 Reaper yang ditembak jatuh oleh kumpulan Houthi baru-baru ini.

 

Menurut beliau, pesawat tanpa pemandu itu berjaya ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu yang “bersesuaian” ketika aset tentera Amerika Syarikat itu sedang menjalankan tugas “berniat jahat” bagi pihak Israel terhadap Yaman.

Kumpulan bersenjata itu juga telah mengeluarkan video penembakan jatuh dron MQ-9 Reaper itu serta menunjukkan kepada media, serpihan dron milik Amerika Syarikat yang bertaburan di kawasan pesisiran pantai negara itu. — DSA

 

AmerikaDronfeaturedHouthi
Comments (0)
Add Comment