(VIDEO) Russia Pamer Pelbagai Senjata Barat Dirampasnya Termasuk Kereta Kebal Leopard 2A6

(VIDEO) Antara sistem persenjataan yang dipamerkan oleh Russia itu termasuklah kereta kebal Leopard 2A6 dan kereta perisai Marder buatan Jerman, kereta kebal T-80 buatan Ukraine, kereta perisai Bradley buatan Amerika Syarikat, kereta perisai CV90 daripada Sweden dan AMX-10RC buatan Perancis.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Russia seolah-olah menghantar “amaran” kepada negara-negara Barat yang membekalkan senjata kepada Ukraine terutamanya Amerika Syarikat apabila ia bertindak mempamerkan senjata-senjata Barat yang berjaya dirampasnya atau “war trophy” untuk tontonan awam di Moscow.

Pameran senjata-senjata Barat yang dirampas oleh tentera Russia itu termasuklah kereta kebal tercanggih dimiliki Ukraine, Leopard 2A6 diadakan di Victory Park di Moscow bermula 1 Mei ini dan akan berlangsung selama satu bulan.

Victory Park adalah taman terbuka ditengah-tengah bandaraya Moscow untuk memperingati kekalahan tentera Nazi Jerman semasa Perang Dunia Kedua dikenali oleh Russia sebagai Perang Patriotik.

Menurut Kementerian Pertahanan Russia, lebih daripada 30 sistem persenjataan yang dibekalkan oleh 12 buah negara Barat termasuk Ukraine yang berjaya dirampas akan dipamerkan oleh Russia, sebagai membuktikan kejayaan menangani “serangan” daripada negara-negara Barat.

Senjata-senjata Barat yang dipamerkan di taman di bandaraya Moscow itu berasal daripada Amerika Syarikat, Britain, Jerman, Perancis, Turkiye, Sweden, Republik Czech, Afrika Selatan, Finland, Australia, Austria dan Ukraine sendiri.

Antara sistem persenjataan yang dipamerkan itu termasuklah kereta kebal Leopard 2A6 dan kereta perisai Marder buatan Jerman, kereta kebal T-80 buatan Ukraine, kereta perisai Bradley buatan Amerika Syarikat, kereta perisai CV90 daripada Sweden dan AMX-10RC buatan Perancis.

Tidak pasti sama ada kereta kebal M1A1 Abrams buatan Amerika Syarikat yang berjaya dimusnahkan oleh tentera Russia akan turut dipamerkan di Victory Park, Moscow itu.

Selain senjata-senjata yang “besar”, pameran senjata Barat yang dirampas oleh tentera Russia itu turut melibatkan senjata-senjata ringan seperti sistem peluru berpandu anti-peluru berpandu “Javelin”, dokumen,peta-peta dan pelbagai “aset” yang lain.

Ia adalah pameran kedua selepas pameran pertama turut diadakan pada tahun lepas dimana Russia turut mempamerkan senjata-senjata yang berjaya dirampas oleh tentera Russia termasuk peluru berpandu Storm Shadow dan SCALP.

Menurut media-media Barat, pameran sistem persenjataan negara-negara Barat yang dirampas itu adalah satu provokasi oleh Presiden Russia Vladimir Putin terhadap Barat, hanya beberapa hari selepas Amerika Syarikat dan United Kingdom mengisytiharkan bahawa mereka akan terus mengirimkan pelbagai jenis senjata bernilai puluhan billion Dollar Amerika kepada Ukraine.

Kereta kebal Leopard 2A6 milik Ukraine yang berjaya dirampas oleh Russia.

 

Minggu lepas anggota-anggota Kongres and Senat Amerika Syarikat telah bersetuju untuk meluluskan bantuan ketenteraan kepada Ukraine berjumlah lebih daripada US$60 billion, yang merupakan antara bantuan ketenteraan terbesar Washington kepada Kiev.

Bantuan ketenteraan itu termasuk pelbagai jenis senjata daripada sistem pertahanan udara seperti “Patriot” sehinggalah sistem peluru berpandu taktikal seperti ATACMS bertujuan untuk membedil kedudukan tentera Russia jauh di dalam negara itu.

Perdana Menteri Britain Rishi Sunak telah menjanjikan kepada Ukraine bahawa ia akan memberikan bantuan ketenteraan terbesar Britain kepada Kiev untuk menentang Russia.

Britain telah bersetuju untuk menghantar kira-kira 400 buah kenderaan tentera, 1,600 peluru berpandu, 4 juta peluru-peluru meriam, 60 buah bot serta tambahan 500 juta Pound dalam bantuan kewangan ketenteraan.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan bantuan ketenteraan daripada Britain kepada Ukraine pada tahun ini kepada 3 Billion Pound.

Antara senjata-senjata yang berjaya dirampas oleh tentera Russia.
AMX-10RC buatan Perancis

 

Berhadapan dengan peningkatan bantuan ketenteraan negara-negara Barat kepada Ukraine, Menteri Pertahanan Russia Sergey Shoigu memberikan amaran bahawa negara itu meningkatkan serangan terhadap pusat-pusat lojistik dan penyimpanan senjata Barat di Ukraine.

Menurut menteri pertahanan Russia it, konflik di Ukraine telah berjaya menangkis “kepercayaan” bahawa senjata-senjata buatan Barat adalah lebih baik daripada senjata Russia berikutan kejayaan mereka memusnahkan banyak senjata-senjata buatan Barat.

Bukan sahaja berjaya memusnahkannya, Russia juga berjaya merampasnya. — DSA

 

BaratfeaturedRussiaSenjata
Comments (0)
Add Comment