China “Buat Pekak” Bantahan Malaysia, Kapalnya Masih Ceroboh Perairan ZEE Negara

Kapal penyelidik "Da Yang Hao" dan kapal-kapal pengawal pantai China tetap berdegil untuk terus berada di perairan Malaysia walaupun Wisma Putra telah menyuarakan bantahan mereka secara rasmi.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal penyelidik China “Da Yang Hao” dan kapal-kapal pengawal pantai negara itu, CCG 5202 dan CCG 6307 dilaporkan sedang berada di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia di Laut China Selatan, tidak jauh daripada Labuan dan sedang menghampiri Ultra Deepwater Drillship “West Capella”.

Ultra Deepwater Drillship “West Capella” itu adalah milik syarikat, Seadrill yang berpengkalan di London tetapi dikontrakkan kepada syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS untuk aktiviti mencari gali minyak dan gas.

Perkara tersebut dilaporkan oleh pemerhati OSINT @WBWWhiskeyBravo yang turut melampirkan gambarajah yang dicerap daripada aplikasi penjejakan kapal, menunjukkan “Da Yang Hao” sedang menghampiri “West Capella.”

Semalam, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan bahawa ia telah mengerah tiga buah asetnya ke perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik negara di perairan Sabah dan Sarawak bagi menangani pencerobohan yang dilakukan oleh kapal-kapal penyelidik dan pengawal pantai China.

Panglima Armada Timur TLDM Laksamana Madya Datuk Sabri Zali yang mengesahkan perkara itu berkata, dua buah aset TLDM telah pun dikerahkan ke Beting Patinggi Ali dan perairan berhampiran Terumbu Layang-Layang untuk memantau kapal-kapal China itu.

 

Kapal penyelidik, Da Yang Hao yang dilaporkan menceroboh perairan Malaysia.

 

Sejak daripada tahun lepas, kapal-kapal China sememangnya “mensasarkan” ultra deepwater drillship “West Capella” yang dipercayai sedang menjalankan kerja-kerja di Blok ND4 dan ND2 di Lapangan Gas dan Minyak “Lala” yang terletak di luar perairan Sabah.

Episod pada tahun lepas itu menyaksikan “West Capella” diburu dan diprovok selama beberapa bulan oleh kapal penyelidik dan pengawal pantai China.

Jika laporan kehadiran “Da Yang Hao” itu benar,maka usaha Kementerian Luar Malaysia memanggil Duta Besar China ke negara ini pada Isnin lepas untuk membantah keberadaan dan aktiviti kapal-kapal China, termasuk kapal penyelidikan, di dalam Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia di luar pesisir Sabah dan Sarawak, adalah jelas telah dipandang sepi oleh Beijing.

China “buat pekak” sahaja terhadap bantahan daripada Malaysia itu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan beberapa hari lalu mengatakan bahawa keberadaan dan aktiviti kapal-kapal itu adalah bertentangan dengan Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984 dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (KUUL) 1982.

Ia adalah kali kedua Duta Besar China dipanggil oleh Wisma Putra pada tahun ini selepas insiden pencerobohan 16 buah pesawat tentera China di Zon Maritim Malaysia (ZMM) termasuk di ruang udara Beting Patinggi Ali pada 31 Mei lepas.

Sebenarnya, ramai yang sudah menjangkakan bahawa China sudah pasti bahawa melayan sebarang bantahan daripada Malaysia itu.

Ia dapat dihat daripada kenyataan balas jurucakap Kementerian Luar China apabila beliau memberi respons-nya terhadap bantahan Kuala Lumpur itu.

“Kapal penyelidik itu (milik China) sedang melaksanakan penyiasatan saintifik yang biasa di dalam kawasan perairannya sendiri,” ( the survey vessel was conducting a “normal scientific investigation” in its own territory),” kenyataan Kementerian Luar China itu, sebagaimana dilaporkan oleh media-media asing.

China tidak akan berundur kerana ia berpendapat bahawa perairan di mana “West Capella” beroperasi itu adalah miliknya.

Beijing secara dasarnya mengakui mana-mana perairan yang terletak di bawah garisan “Nine Dash Line” termasuk perairan ZEE Malaysia dan negara-negara serantau yang lain adalah miliknya.

“Da Yang Hao” dilaporkan menceroboh kawasan perairan pelantar benua dan ZEE Malaysia pada 24 September lepas, sehari selepas pesawat-pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Amerika Syarikat mengadakan latihan bersama di Selat Melaka.

Kedudukan terkini kapal penyelidik China “Da Yang Hao” dan kapal pengawal pantai China.

 

Pada 24 Sept lalu, kapal Da Yang Hao dilaporkan sedang melakukan penyelidikan di perairan pelantar benua Vietnam selepas meninggalkan Fiery Cross Reef, sebuah “pulau buatan manusia” diLaut China Selatan yang diduduki secara haram oleh China.

Kapal penyelidik itu dilaporkan telah menukar laluan secara tiba-tiba dan menuju ke perairan Malaysia.

Pencerobohan kapal penyelidik China itu berlaku hari yang sama di mana pesawat-pesawat TUDM melaksanakan latihan bersama sebuah pesawat pengebom B-52 “Stratofortress” di Selat Melaka.

Pesawat-pesawat TUDM yang terlibat adalah F/A-18D Hornet, Sukhoi Su-30MKM dan Hawk 208 serta A400M.

Kapal penyelidik, Da Yang Hao mempunyai panjang 98 meter dan berat 4,800 tan.

“Dengan kelajuan 16 knot dan jarak sejauh 14,000 batu nautika, kapal Da Yang Hao memiliki kemampuan untuk melakukan eksplorasi laut dalam di mana-mana perairan dunia ini,” menurut laporan media China.

Kapal penyelidik, Da Yang Hao ini dimiliki oleh Kementerian Sumber Asli China.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Da Yang HaoLaut China SelatanTLDM
Comments (0)
Add Comment