Lebih Banyak Kapal-Kapal China Akan Ceroboh Perairan Malaysia

Projek pembangunan Lapangan Gas Asli Kasawari itu telah menarik kehadiran kapal-kapal penyelidik dan pengawal pantai China ke perairan Sarawak dan Sabah terutamanya di Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals).

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Malaysia menjangkakan akan berlaku peningkatan insiden-insiden pencerobohan daripada kapal-kapal milik China terhadap perairannya selagi syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS membangunkan sebuah lapangan gas asli besar miliknya dinamakan “Kasawari” yang terletak di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik negara di luar perairan Sarawak.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dalam webinar anjuran Foreign Policy Community di Jakarta semalam dan dipetik oleh versi online akhbar South China Morning Post.

“Saya merasakan selagi PETRONAS membangunkan Lapangan Gas Asli Kasawari, kita (kerajaan) boleh menjangkakan (lebih banyak kapal-kapal) China akan melawat kawasan perairan (milik Malaysia)  itu dengan lebih kerap.”

“Kita sentiasa melakukan bantahan (terhadap China). Saya sudah tidak lagi mengira bilangan nota bantahan yang telah kita hantar kepada China. Kita akan terus memberikan respons secara diplomatik kepada mereka (China),” kata Menteri Luar Malaysia itu.

Saifuddin juga berkata, beliau telah memberitahu Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz bahawa syarikat minyak dan gas negara itu mempunyai keseluruhan hak untuk mencarigali minyak dan gas di Lapangan Gas Asli Kasawari kerana kawasan projek itu terletak di dalam perairan negara dan Malaysia adalah sebuah negara berdaulat.

Lapangan Gas Asli Kawasari yang sedang dibangunkan oleh PETRONAS.

 

PETRONAS sedang membangunkan Lapangan Gas Asli Kasawari yang terletak di dalam Blok SK316 dan kawasan perairan ZEE milik negara atau kira-kira 200km daripada bandar Bintulu di Sarawak.

Projek pembangunan Lapangan Gas Asli Kasawari itu telah menarik kehadiran kapal-kapal penyelidik dan pengawal pantai China ke perairan Sarawak dan Sabah terutamanya di Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals).

Terbaru adalah pencerobohan daripada kapal penyelidik China, Da Yang Hao yang menceroboh kawasan perairan ZEE Malaysia sambil diiringi oleh beberapa kapal pengawal pantai negara itu.

Kapal penyelidik, Da Yang Hao yang dilaporkan menceroboh perairan Malaysia.

 

“Da Yang Hao” dan kapal-kapal pengawal pantai China itu menghabiskan masa kira-kira tiga minggu di dalam perairan ZEE negara untuk melakukan pelbagai aktiviti sambil dipantau oleh asset-aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Kapal penyelidik China itu hanya meninggalkan perairan ZEE Malaysia beberapa hari lepas.

Ditemui pada November 2011, Lapangan Gas Asli Kasawari menyimpan kira-kira 3 juta Trillion Cubic Feet (TCF) gas asli dan lapangan gas itu kini sedang dibangunkan oleh anak syarikat minyak dan gas negara iaitu, PETRONAS Carigali.

Lapangan Gas Asli Kasawari itu dijangka mula beroperasi pada tahun 2023, di mana ia dijangka akan menghasilkan sehingga 900 juta kaki padu gas asli dalam sehari.

Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS dalam satu temuramah dengan agensi berita Reuters awal bulan ini berkata projek pembangunan Lapangan Gas Asli Kasawari akan memastikan kekal menjadi antara lima negara pengeksport terbesar gas asli di dunia.

Kementerian Luar Malaysia telah memanggil Duta Besar China sebanyak dua kali pada tahun ini, dengan yang pertama berlaku selepas China menghantar 16 buah pesawat tenteranya untuk menceroboh Zon Maritim Malaysia (ZMM) dan terbang di ruang udara Beting Patinggi Ali sebelum berpatah balik.

Pada 4 Oktober lepas, negara sekali lagi memanggil duta besar China itu untuk menyatakan bantahan terhadap pencerobohan kapal-kapal penyelidik dan pengawal pantai negara itu di perairan ZEE Malaysia di Sabah dan Sarawak.

Salah sebuah pesawat China yang dipintas oleh TUDM di Zon Maritim Malaysia pada akhir Mei lepas.(kredit TUDM)

 

Beijing mendakwa hampir 90 peratus daripada keluasan Laut China Selatan itu sebagai miliknya.

Kawasan perairan di Laut China Selatan yang didakwa China sebagai miliknya termasuklah kawasan-kawasan perairan ZEE negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Vietnam dan Filipina.

Sementara itu seorang penganalisis berkata, tindakan Beijing menghantar kapal-kapalnya ke perairan Malaysia bertujuan untuk menekan pihak berkuasa Malaysia dan PETRONAS untuk membatalkan projek pembangunan lapangan gas asli atau mana-mana aktiviti minyak dan gas di kawasan perairan itu.

Penganalisis tersebut, Collin Koh daripada  S. Rajaratnam School of International Studies di Singapura  menjangkakan PETRONAS tidak akan berganjak daripada kedudukannya kerana ia menerima sokongan yang kuat daripada kerajaan Malaysia.

 

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

Beting Patinggi AliChinaKasawariPetronasZon Ekonomi Eksklusif
Comments (0)
Add Comment