(VIDEO) Tidak Tahan Dibedil Dron Russia, Amerika Keluarkan M1A1 Abrams Dari Medan Ukraine

(VIDEO) Dua orang pegawai tentera Amerika Syarikat memberitahu agensi berita The Associated Press bahawa kereta-kereta kebal M1A1 Abrams diderma oleh Amerika Syarikat itu tidak boleh beroperasi di medan peperangan tanpa dikesan dan dibedil dengan kejam oleh dron-dron tentera Russia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ukraine terpaksa mengeluarkan kereta-kereta kebal M1A1 Abrams diderma oleh Amerika Syarikat daripada medan-medan pertempuran berikutan ancaman keterlaluan daripada dron-dron pemantau dan berani mati tentera Russia.

Dua orang pegawai tentera Amerika Syarikat memberitahu agensi berita The Associated Press bahawa kereta-kereta kebal M1A1 Abrams diderma oleh Amerika Syarikat itu tidak boleh beroperasi di medan peperangan tanpa dikesan dan dibedil dengan kejam oleh dron-dron tentera Russia.

Disebabkan ancaman daripada dron-dron Russia itu, lima daripada 31 kereta kebal Abrams yang diderma oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine disahkan telah musnah dibedil tentera Russia setakat ini.

Amerika Syarikat membekalkan 31 buah kereta kebal Abrams berharga US$10 juta (RM45 juta) setiap sebuah kepada Ukraine pada Januari tahun lepas bagi membantu tenteranya menangani serangan armor oleh pihak Russia.

Bagaimanapun keadaan di medan peperangan Ukraine telah banyak berubah sejak kehadiran kereta kebal Abrams di medan pertempuran, dengan dron-dron pemantau dan berani mati Russia memberikan ancaman yang besar terhadap kereta kebal Amerika Syarikat itu.

Kereta kebal Abrams terbakar selepas dibedil oleh dron berani mati Lancet serta RPG oleh tentera Russia.

 

Dron-dron pemantau dan berani mati Russia itu telah membuatkan usaha Ukraine untuk melindungi kereta kebal Abrams itu menjadi amat sukar kerana ia menjadikan usaha Russia untuk mengesan dan memburu kereta-kereta kebal Amerika Syarikar itu amat mudah.

Disebabkan ancaman berleluasa dron-dron pemantau dan berani mati Russia bermakna “tiada ada kawasan terbuka dan luas di mana kereta kebal Abrams itu boleh bergerak tanpa dikesan,”kata pegawai tentera.

Pada ketika ini, kereta-kereta kebal Abrams itu telah “dikeluarkan” daripada medan pertempuran dan Amerika Syarikat akan bekerjasama dengan Ukraine untuk mengubahsuai taktik, kata Timbalan Ketua Staf Tentera Amerika Syarikat Laksamana Christopher Grady yang muncul sebagai pegawai tentera negara itu yang ketiga mengesahkan “nasib” tentang kereta kebal Abrams di Ukraine itu.

Amerika Syarikat telah membekalkan 31 buah kereta kebal M1A1 Abrams kepada tentera Ukraine, tetapi baru beberapa minggu dikerah ke medan pertempuran, satu demi satu kereta kebal Abrams terbabit berjaya dimusnahkan oleh tentera Russia.

Pada awal Mac lepas, kereta kebal M1A1 Abrams pertama dioperasikan oleh Ukraine telah disahkan musnah dipercayai akibat bedilan dron berani mati “Lancet” tentera Russia di kawasan pertempuran di Avdiivka.

Kereta kebal Abrams

 

Maklumat-maklumat menyatakan bahawa kereta kebal M1A1 Abrams pertama dimusnahkan oleh Russia itu pada mulanya telah dibedil oleh dron berani mati “Lancet” tentera Russia dan sebelum dibedil buat kali kedua oleh Rocket Propelled Grenade (RPG).

Dalam pertempuran yang sama, sebuah kenderaan kejuruteraan M1150 Assault Breacher Vehicle (ABV) yang menggunakan chasis kereta kebal M1A1 Abrams turut dimusnahkan oleh bedilan tentera Russia.

Pemerhati tentera menyatakan kehilangan kenderaan kejuruteraan M1150 ABV ini lebih “diratapi” oleh tentera Ukraine kerana bilangan kenderaan itu yang amat kecil di dalam tentera Ukraine.

Ia adalah kehilangan kedua kenderaan kejuruteraan M1150 ABV dalam tempoh seminggu ini, selepas kehilangan pertama kenderaan itu dalam pertempuran di Petrvis’ke berhampiran Avdiivka di Ukraine baru-baru ini.

Seawal September tahun lepas pegawai tentera Ukraine telah memberikan amaran bahawa kereta kebal buatan Amerika Syarikat seberat 70 tan itu mungkin tidak akan “bertahan lama” di medan peperangan.

Apatah, kereta kebal Abrams yang dibekalkan kepada Ukraine adalah varian M1A1 yang dianggap telah “berusia” serta tidak dilengkapi dengan armor “depleted uranium” serta kemampuan terhad berbanding varian terkininya, M1A2.

M1A1 Abrams.

 

Sebagaimana yang dibuktikan di Iraq, kereta kebal M1A1 Abrams itu boleh ditewaskan oleh senjata-senjata anti-kereta kebal yang asas dan berusia.

Ketua Direktorat Perisikan Tentera Ukraine Lt Jen Kirill Budanov berkata, tempoh kereta kebal Abrams berada di medan peperangan di negara itu akan menjadi amat terhad sekiranya aset darat itu digunakan di barisan hadapan secara semberono.

“Jika kereta kebal Abrams itu digunakan di barisan hadapan atau sebahagian daripada senario kombat, tempoh masanya (kereta kebal Abrams) berada di medan peperangan itu mungkin akan terhad dan tidak lama,” kata beliau.

Pegawai-pegawai tentera Amerika Syarikat dan Barat menaruh harapan yang tinggi terhadap kemampuan kereta kebal Abrams dalam membantu Ukraine memecah benteng pertahanan tentera Russia dalam serangan balas ketika ini.

Bagaimanapun nasib yang menimpa kereta-kereta kebal Barat seperti Leopard dan Challenger 2 ditangan tentera Russia baru-baru ini, membimbangkan pegawai tentera Amerika Syarikat bahawa kereta kebal Abrams itu akan menerima nasib yang sama.

Dron berani mati “Lancet” Russia

 

 

Kereta IFV Bradley yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine juga menjadi mangsa di medan pertempuran, dengan penganalisis mengatakan sejumlah 80 buah kereta IFV Bradley telah berjaya dimusnahkan oleh tentera Russia setakat ini.

Amerika Syarikat pada mulanya keberatan untuk membekalkan kereta kebal Abrams kepada Ukraine, tetapi terpaksa berbuat demikian selepas Jerman meletakkan syarat bahawa ia akan hanya membenarkan kereta kebal Leopard dihantar ke Ukraine selepas Washington berbuat perkara yang sama dengan kereta kebal Abrams miliknya.

Washington bimbang sebarang kemusnahan dialami oleh kereta kebal Abrams di Ukraine akan menjejaskan reputasinya. — DSA

AbramsAmerikafeaturedKeluarUkraine
Comments (0)
Add Comment