(VIDEO) Hubungan Moscow-Paris Semakin Tegang, Su-35 Dituduh Lakukan Manuver Berbahaya Terhadap Dron Perancis
(VIDEO) Menteri Angkatan Tentera Perancis Sebastien Lecornu dalam kenyataan menerusi platform X menuduh pesawat pejuang Su-35 Russia melakukan manuver berbahaya terhadap dron milik Perancis itu yang sedang terbang di ruang udara antarabangsa di timur perairan Mediterranean.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tindakan pesawat pejuang Su-35 milik Russia melakukan manuver agresif terhadap dron MQ-9 Reaper Tentera Perancis di ruang udara perairan timur Mediterranean telah meningkatkan lagi ketegangan dan peseteruan di antara kedua-dua negara itu.
Hubungan di antara Russia dan Perancis sememangnya sudah tegang akibat konflik di Ukraine, dengan Paris dan Presiden Emmanuel Macron muncul sebagai penyokong kuat kerajaan Ukraine dalam menentang pencerobohan Russia.
Menteri Angkatan Tentera Perancis Sebastien Lecornu dalam kenyataan menerusi platform X menuduh pesawat pejuang Su-35 Russia melakukan manuver berbahaya terhadap dron milik Perancis itu yang sedang terbang di ruang udara antarabangsa di timur perairan Mediterranean.
Pertembungan yang berlaku pada 2 Mac itu membabitkan dron MQ-9 Reaper yang sedang melakukan misi pengawasan apabila pesawat pejuang Su-35 Russia merapati dron itu terlalu hampir sehingga membahayakannya.
Dalam kenyataannya dalam platform X miliknya itu, Menteri Angkatan Tentera Perancis itu menyifatkan insiden itu sebagai suatu “Tindakan yang agresif, sengaja dan tidak boleh diterima”, sekaligus meningkatkan lagi ketegangan di antara kedua-dua negara.
“Pada hari Ahad (2 Mac), sebuah pesawat pejuang Su-35 milik Russia bertindak secara berbahaya terhadap dron Reaper Perancis yang sedang menjalankan misi pemantauan di ruang udara antarabangsa di timur Laut Mediterranean.”
“Pesawat tersebut melakukan tiga lintasan berbahaya dalam jarak yang sangat dekat, yang berpotensi menyebabkan kehilangan kawalan terhadap dron tersebut—satu tindakan yang jelas bertujuan menyekat kebebasan pergerakan udara di kawasan antarabangsa.”
“Tindakan ini bukan sahaja sengaja, malah tidak profesional dan bersifat agresif, sesuatu yang sama sekali tidak boleh diterima,” menurut Lecornu.
Beliau berkata, Perancis akan terus bertindak tegas dalam mempertahankan kebebasan navigasi di ruang udara dan maritim antarabangsa.
Tentera Perancis tidak mendedahkan lokasi tepat insiden tersebut selain daripada menyatakan ia berlaku di timur Laut Mediterranean, begitu juga dengan butiran khusus mengenai misi dron berkenaan.
Namun, Menteri Angkatan Tentera Perancis itu menegaskan bahawa tindakan sebegini mencerminkan niat Moscow untuk mencabar kebebasan navigasi di ruang udara antarabangsa, satu dakwaan yang selari dengan aduan berulang kali oleh negara-negara Barat mengenai tingkah laku agresif Moscow di ruang udara.
Sukhoi Su-35 “Flanker E”
Apa yang berlaku di antara Russia dan Perancis di Timur Mediterranean beberapa hari lalu, merupakan insiden kedua di antara kedua-dua negara dalam tempoh terdekat ini.
Pada waktu malam 15-16 Januari lalu, sebuah pesawat peronda maritim Atlantique 2 milik Tentera Laut Perancis telah di “lock on” oleh radar sistem pertahanan udara S-400 milik Russia ketika ia sedang melaksanakan misi di Laut Baltik.
Radar sistem pertahanan udara S-400 milik Russia itu dipercayai ditempatkan di exclave Kaliningrad bagi mengawasi sebarang aset udara NATO berhampiran.
Kaliningrad adalah sebuah exclave, yang merupakan sebuah wilayah kecil milik Russia tetapi secara geografinya ia terpisah daripada tanah besar Russia dan bersempadan dengan negara-negara anggota NATO, Poland dan Lithuania.
“Pada malam Rabu, pesawat peronda maritim Atlantique 2 milik Tentera Laut Perancis telah menjadi sasaran provolasi Russia,” kata Menteri Pertahanan Perancis Sebastien Lecornu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di platform X.
“Pesawat itu sedang melakukan rondaan di ruang udara antarabangsa di atas Laut Baltik sebagai sebahagian daripada operasi NATO dan telah disasarkan oleh radar kawalan tembakan sistem pertahanan udara S-400 milik Russia.”
“Tindakan agresif Rusia ini tidak boleh diterima. Angkatan tentera kami akan terus bertindak untuk mempertahankan kebebasan navigasi di ruang udara dan laut antarabangsa,” kata Menteri Pertahanan Perancis itu.
“Mensasarkan pesawat (peronda maritime) kami di perairan antarabangsa menggunakan radar adalah tindakan yang agresif. Sikap profesional kru pesawat berjaya mengelakkan sesesuatu yang lebih besar,” kata jurucakap Angkatan Tentera Perancis Kolonel Guillaume Vernet.
MQ-9 ReaperPesawat peronda maritim Atlantique 2 Perancis
Terdapat juga laporan menyatakan bahawa pesawat peronda maritim Perancis itu bukan sahaja di “lock on” oleh sistem pertahanan udara S-400 Russia tetapi turut berhadapan dengan serangan Peperangan Elektronik (EW) oleh unit tentera Russia.
Ketika insiden “lock on” itu, pesawat peronda maritim Atlantique 2 Tentera Laut Perancis itu yang berlepas daripada pangkalannya di Brittany, utara Perancis dilaporkan sedang melakukan misi pemantauan dan pengawasan berhampiran perairan Sweden dan Laut Baltik.
Laut Baltik merupakan kawasan operasi rutin bagi pesawat rondaan maritim dan pengawasan Atlantique 2 serta pesawat NATO lain.
Dari kawasan ini, mereka memastikan keselamatan navigasi sambil memantau pergerakan dan aktiviti tentera laut serta udara Rusia, termasuk aktiviti di daratan Kaliningrad, yang terletak di antara negara anggota NATO, Poland dan Lithuania.
Pesawat peronda maritim itu dipercayai membawa pelbagai peralatan pengawasan dan pada masa yang sama juga boleh dilengkapi dengan peluru berpandu kruis dan torpedo, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ketika insiden ia membawa sebarang sistem persenjataan.