Russia Dakwa Peluru Berpandu Izdeliye-305 Diguna Helikopter Penyerangnya “Kebal”
Peluru berpandu udara-ke-darat Izdeliye-305 itu berkeupayaan membedil sasaran sejauh 15km dan kelajuan 230 meter sesaat, dilengkapi dengan kepala peledak berkuasa tinggi seberat 25kg.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Russia mendakwa peluru berpandu udara-ke-darat “Izdeliye 305” (Projek 305) atau bahasa Russianya “Legkaya Mnogotselevaya Upravlyayemaya Raketa” (LMUR) tidak boleh ditembak jatuh oleh musuh atau menjadi mangsa jamming Peperangan Elektronik (EW).
Peluru berpandu udara-ke-darat Izdeliye-305 ini digunakan oleh helikopter penyerang Russia seperti Mi-28 Havoc dan Ka-52 Alligator.
Peluru berpandu udara-ke-darat Izdeliye-305 itu berkeupayaan membedil sasaran sejauh 15km dan kelajuan 230 meter sesaat, dilengkapi dengan kepala peledak berkuasa tinggi seberat 25kg.
Sebaik sahaja sasaran dikenal pasti, helikopter penyerang Russia itu boleh bergerak ke lokasi lain, membiarkan peluru berpandu Izdeliye-305 itu menggunakan pencari sasarannya untuk menuju ke sasaran.
Penggunaan pautan data (datalink) juga membolehkan peluru berpandu ini dilancarkan dari jarak yang lebih jauh – serta membolehkannya diprogram untuk menyerang sasaran lain semasa dalam penerbangan.
Satu perkara yang paling penting – helikopter penyerang yang dilengkapi dengan peluru berpandu ini tidak perlu berhenti dan berlegar di udara untuk melancarkannya, sekali gus mengurangkan risiko menjadi sasaran.
Di Ukraine, peluru berpandu ini kebanyakannya digunakan untuk menyerang bangunan yang disyaki menyembunyikan peralatan dan tentera Ukraine, serta jambatan pontun atau kenderaan Ukraine yang berada berdekatan.
Pengarah di Rostec State Corp Bekkhan Ozdoyev dipetik berkata kepada akhbar Krasnaya Zvevda bahawa pengenalan senjata baru pada helikopter serangan Mi-28NM seperti peluru berpandu udara-ke-darat Izdeliye-305 mampu meningkatkan keupayaan tempurnya dengan ketara.