Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Dilapor Letak 11 Buah Kapal Selam Nuklear di Atlantik, NATO dan Amerika “Cemas”

Kehadiran sehingga 11 buah kapal selam nuklear Russia di Lautan Atlantik telah membuatkan negara-negara NATO terutamanya Amerika Syarikat “tidak senang duduk” dan memaksa mereka mengerahkan aset-aset bawah permukaan air mereka untuk memantau kapal-kapal selam berkuasa nuklear Russia itu.

0 1,506

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Russia dilapor telah meletakkan 11 buah kapal selam berkuasa nuklearnya di perairan Lautan Atlantik, dalam apa yang disifatkan oleh penganalisis ketenteraan di wilayah itu sebagai satu amaran kepada NATO pada ketika konflik di antara Moscow dan Kiev belum nampak penghujungnya.

Mereka menyatakan aktiviti kapal-kapal selam berkuasa nuklear Russia di Lautan Atlantik pada masa ini menyamai tahap aktiviti mereka ketika era Perang Dingin.

Kehadiran sehingga 11 buah kapal selam nuklear Russia di Lautan Atlantik telah membuatkan negara-negara NATO terutamanya Amerika Syarikat “tidak senang duduk” dan memaksa mereka mengerahkan aset-aset bawah permukaan air mereka untuk memantau kapal-kapal selam berkuasa nuklear Russia itu.

Walaupun laporan mengatakan Tentera Laut Russia telah meletakkan 11 buah kapal selam berkuasa nuklear mereka di Laut Atlantik, terdapat penganalisis yang mendakwa bahawa bilangan kapal-kapal selam berkuasa nuklear Russia beroperasi di perairan itu adalah jauh lebih tinggi.

Walauapapun, NATO dan Amerika Syarikat menurut penganalisis tidak mungkin mengetahui dengan tepat bilangan kapal selam berkuasa nuklear Russia yang beroperasi di perairan Lautan Atlantik.

Severodvinsk
Kapal selam nuklear kelas-Severodvinsk Russia dalam satu latihan.

 

Selain meningkatkan kehadirannya di perairan Lautan Atlantik, terdapat juga laporan mengatakan bahawa kapal-kapal selam berkuasa nuklear Russia semakin kerap melakukan kemunculan di perairan-perairan berhampiran dengan Amerika Syarikat.

Penganalisis di Russian Maritime Research Institute Michael Peterson mendakwa bahawa kapal-kapal selam berkuasa nuklear semakin kerap dikerah untuk beroperasi di perairan berhampiran pantai-pantai Amerika Syarikat.

Dari perairan berhampiran Amerika Syarikat kepada Lautan Atlantik sehinggalah ke Mediterranean, penganalisis mendapati aktiviti kapal-kapal selam berkuasa nuklear dan konvensiional Russia telah meningkat ke tahap seperti semasa Perang Dingin.

Keadaan itu adalah amat jelas untuk dilihat oleh semua orang dan telah menjadi realiti pada masa ini.

Peterson menyatakan bahawa apa yang berlaku pada ketika ini daripada segi taktik adalah sama seperti yang berlaku ketika kemuncak Perang Dingin di antara Amerika Syarikat serta sekutunya dengan Pakatan Warsaw yang diketuai oleh Kesatuan Soviet.

Selam Russia
Kapal selam nuklear Russia

 

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Russia telah meningkatkan pembinaan kapal-kapal selam berkuasa nuklear dan konvensionalnya, dengan tujuan untuk memudahkannya menembusi point-point strategik di Amerika Syarikat dan Eropah.

Pada ketika ini, Tentera Laut Russia dikatakan memiliki 58 buah kapal selam berkuasa nuklear pelbagai kelas.

Dalam satu laporan oleh pegawai kanan tentera Amerika Syarikat yang bertanggungjawab terhadap operasi di Eropah menyatakan bahawa Russia telah meningkatkan kekerapan “kehadiran” kapal-kapal selamnya di Atlantik pada tahap jauh lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Analisis oleh pegawai kanan tentera Amerika Syarikat bertentangan dengan pendapat serta kesimpulan penganalisis dan pemerhati yang menyatakan bahawa kemampuan tentera Russia terjejas teruk akibat konflik di Ukraine.

“Tentera Russia semakin aktif berbanding apa yang kami lihat sejak beberapa tahun yang lalu,” menurut Jeneral Chris Cavoli, pegawai kanan NATO dan Amerika Syarikat yang bertanggungjawab terhadap operasi di Eropah berkenaan kemampuan bawah laut Moscow.

Rondaan oleh kapal-kapal selam Russia di Atlantik adalah pada tahap tertinggi sepanjang masa, jauh lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini,menyamai ketika ketegangan di antara kedua-dua pihak ketika Perang Dingin sedang memuncak beberapa dekad sebelum ini.

Kazan
Kapal selam kelas-Yasen “Kazan” yang ditauliah kedalam perkhidmatan tentera laut Russia.

 

“Kesemua ini berlaku ketika mereka (Russia) terbabit dengan konflik di Ukraine,” kata beliau.

Analisis oleh Jeneral Cavoli itu memberikan amaran paling jelas kepada Amerika Syarikat dan sekutunya tentang ancaman yang diberikan oleh Russia kepada Washington dan negara-negara Barat yang menyokong Ukraine.

Beberapa bulan lepas, Presiden Russia Vladimir Putin telah meningkatkan kebimbangan negara-negara Barat apabila ia mengerah kapal-kapal perang permukaannya termasuk beberapa yang dilengkapi dengan peluru berpandu hypersonic ke Lautan Atlantik.

Peluru-peluru hypersonik Russia itu berkemampuan menundukkan sistem pertahanan udara Amerika Syarikat dengan kelajuan ekstrimnya.

Sebelum ini, media-media Amerika Syarikat memetik pegawai-pegawai kanan tentera laut Amerika Syarikat yang menyuarakan “kebimbangan” mereka tentang peningkatan “kemunculan” kapal-kapal selam berkuasa nuklear Russia di kawasan perairan pesisir negara itu sejak kebelakangan ini.

USS Ohio
Kapal selam berkuasa nuklear kelas-Ohio Tentera Laut Amerika Syarikat.

 

Menurut mereka, kapal-kapal selam Russia itu semakin kerap “muncul” sejak akhir-akhir ini.

Sebagaimana dilaporkan, peningkatan kekerapan kemunculan kapal-kapal selam berkuasa nuklear Russia di pesisir Amerika Syarikat  sebagaimana dinyatakan oleh pegawai kanan tentera negara itu memberikan ancaman keselamatan kepada negara itu.

Menurut pegawai-pegawai tentera Amerika Syarikat, peningkatan kekerapan “kemunculan” kapal-kapal berkuasa nuklear Russia di pesisir negara itu berlaku, walaupun Moscow sedang berhadapan dalam konflik dengan Ukraine. — DSA

Comments
Loading...