Filipina Tambah Pemilikan Meriam Bergerak ATMOS 155mm SPH Buatan Israel

Sekiranya, perolehan 12 lagi meriam ATMOS 155mm SPH itu menjadi kenyataan pada tahun ini, maka keseluruhan bilangan meriam ATMOS 155mm dimiliki oleh Angkatan Tentera Filipina itu bakal melonjak kepada 24 buah.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Angkatan Tentera Filipina dilaporkan bakal melakukan perolehan tambahan 12 buah meriam ATMOS 155mm Self Propelled Howitzer (SPH)  buatan Israel bagi menambah 12 buah meriam sama yang sudah pun dimiliki oleh negara Asia Tenggara itu pada ketika ini.
Sekiranya, perolehan 12 lagi meriam ATMOS 155mm SPH itu menjadi kenyataan pada tahun ini, maka keseluruhan bilangan meriam ATMOS 155mm dimiliki oleh Angkatan Tentera Filipina itu bakal melonjak kepada 24 buah.
Menurut laporan di platform media sosial X, Angkatan Tentera Filipina dijangka membuat perolehan tambahan meriam ATMOS 155mm SPH buatan Soltam Systems yang merupakan anak syarikat kepada Elbit Systems menggunakan belanjawan pertahanan negara itu pada tahun ini.
Perolehan meriam-meriam buatan Israel untuk Filipina itu, sekiranya direalisasikan, merupakan sebahagian daripada program pemodenan Angkatan Tentera Filipina, yang pada ketika ini menghadapi penyelarasan peruntukan, dengan hanya US$595 juta daripada bajet US$1.275 bilion untuk tahun 2025 yang dijamin.
Angkatan Tentera Filipina mula menerima secara berperingkat meriam-meriam bergerak ATMOS 155mm/52cal  pada tahun 2021, selepas menandatangani kontrak perolehan meriam itu setahun sebelum.
Filipina telah menandatangani perjanjian dengan Israel untuk memperolehi di antara 12-15 meriam bergerak ATMOS 15mm 52 cal SPH dibawah program pemodenan angkatan tentera Filipina dipanggil Horizon 2 bernilai RM211 juta (US$47 juta).
“ATMOS”
Meriam ATMOS 155mm 52 cal dengan berat keseluruhan 23,000kg itu mampu menembak sasaran daripada jarak sejauh 41km menggunakan projektil jenis “Extended Range Full Bore Base Bleed (ERFB-BB)”, manakala sistem SPH buatan Israel itu boleh dioperasikan oleh krew di antara empat hingga enam orang (termasuk dua loaders).
Di dalam kes Filipina, sistem SPH Soltam ATMOS  155mm 52 cal itu menggunakan trak MAN, memandangkan kenderaan itu mudah didapati di Filipina.
Tentera Darat Thailand turut menggunakan sistem meriam bergerak Soltam ATMOS 155mm/39cal.
Angkatan Tentera Filipina merupakan diantara pelanggan utama bagi sistem pertahanan Israel di rantau Asia Tenggara ini dengan kesemua cabang angkatan tenteranya menggunakan pelbagai peralatan yang dibangunkan oleh syarikat-syarikat pertahanan Israel.
Penasihat-penasihat ketenteraan Israel juga bergerak aktif memberikan latihan kepada unit-unit tentera dan keselamatan Filipina termasuk kepada pasukan-pasukan khusus negara itu.
Perolehan sistem ATMOS 155mm/52cal SPH daripada syarikat Israel, Elbit Systems Land itu mengukuhkan lagi hubungan ketenteraan yang sedia erat di antara Filipina dan Israel. 

“ATMOS”
Pada Mac tahun lepas, Tentera Darat Filipina telah melaksanakan latihan penembakan peluru hidup menggunakan  meriam ATMOS 155mm 52 cal SPH.
Latihan penembakan peluru hidup menggunakan sistem ATMOS 155mm 52 cal SPH itu adalah sebahagian daripada latihan “Katihan” Combined Arms Training yang berlangsung di Kem O’Donnel.
 Sistem SPH pertama ATMOS 155mm 52 cal SPH milik tentera darat Filipina itu telah dioperasikan oleh 10th Field Artillery Battalion yang juga diberikan nama “Rolling Thunder.
Selain tentera darat Filipina, sistem SPH Soltam ATMOS 155mm 52 Cal itu turut digunakan oleh Azerbaijan, Botswana, Denmark, Cameroon, Colombia, Uganda dan Zambia.
Selain itu tentera darat Filipina turut memperolehi kenderaan mortar bergerak “M113 Armored Mortar Carrier” yang menggunakan Soltam CARDOM recoil mortar system.
 Pada 2019, Filipina turut menandatangani perjanjian dengan syarikat Elbit itu untuk memperolehi sejumlah 15 buah sistem mortar bergerak itu yang menggunakan mortar berkaliber 120mm.
— DEFENCE SECURITY ASIA

ATMOS 155mmElbit SystemsFilipinaIsrael
Comments (0)
Add Comment