Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Darat Filipina Mula Terima Kenderaan Perisai 6×6 “Guarani”

Pada Februari tahun 2020 syarikat Elbit Systems mengumumkan bahawa ia telah dianugerahkan kontrak berjumlah US$46 juta untuk penghantaran sejumlah kenderaan perisai “Guarani” buatan syarikat Iveco Defence kepada tentera darat sebuah negara di Asia Pasifik, yang kemudiannya dikenalpasti sebagai Filipina.

0 3,987

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Darat Filipina dilaporkan telah mula menerima kumpulan pertama lima buah kenderaan perisai 6×6  “Guarani” daripada syarikat pertahanan Israel, Elbit Systems.

Kenderaan perisai itu mula dihantar kepada Tentera Darat Filipina pada akhir bulan lepas dan kini sedang menjalani pemeriksaan teknikal dengan unit tentera darat itu, menurut jurucakap tentera darat Filipina Lt Kol Dema-ala.

“Sebaik sahaja telah selesai menjalani pemeriksaan teknikal itu, kenderaan-kenderaan perisai ‘Guarani’ itu akan dikerah untuk berkhidmat dengan Tentera Darat,” kata beliau.

Kenderaan perisai “Guarani” itu dibangunkan oleh syarikat pertahanan Itali, Iveco Defence.

Kenderaan-kenderaan perisai Guarani yang kini dimiliki oleh Tentera Darat Filipina itu telah pun diperagakan dalam satu majlis di Kem O’Donnell di wilayah Santa Lucia di Tarlac City.

Guarani
“6×6 Guarani”

 

Pada majlis yang sama, tentera darat negara Asia Tenggara itu juga turut menunjukkan  kereta kebal ringan Sabrah ASCOD II.

Pada Februari tahun 2020 syarikat Elbit Systems mengumumkan bahawa ia telah dianugerahkan kontrak berjumlah US$46 juta (RM207 juta) untuk penghantaran sejumlah kenderaan perisai “Guarani” buatan syarikat Iveco Defence kepada tentera darat sebuah negara di Asia Pasifik.

Perolehan kenderaan perisai “Guarani” itu adalah untuk memenuhi keperluan tentera darat Filipina.

Laporan-laporan media yang lain menyatakan bahawa Tentera Darat Filipina telah memesan sejumlah 28 buah kenderaan perisai Guarani yang perlu dilengkapi dengan sistem persenjataan Remote Control Weapon System (RCWS) mesingan 12.7mm dan sistem pelancar grenade automatic 40mm.

Terdapat sebahagian daripada kenderaan perisai itu juga akan dilengkapi dengan turret 30mm.

Armor kenderaan perisai ini boleh menahan tembakan senjata kecil serta serpihan bedilan artilleri, manakala untuk pertahanan tambahan ia boleh dipasangkan dengan add-on armor dan berbentuk V-shaped hull bagi mengelakkan kecelakaan akibat bedilan periuk api.

Kenderaan perisai “Guarani” yang memiliki berat 16.7 tan itu boleh dipasang dengan beberapa jenis senjata daripada mesingan “remote-control weapon station” seperti 7.62mm, 12.7mm dan pelancar grenad 40mm atau mortar 120mm.

Guarani
Kenderaan perisai VBTP-MSR “Guarani”

 

“Guarani” yang dilengkapkan dengan Battle Management System (BMS) boleh membawa dua orang krew dan sembilan anggota tentera yang lengkap bersenjata.  

Kenderaan perisai ini memiliki enjin Iveco Cursor 9 turbocharge yang memberikan ia 393 kuasa kuda. 

Pada pertengahan bulan lepas, anggota-anggota tentera Filipina dilaporkan telah berjaya menamatkan latihan pertama mengoperasi, memandu dan menyelenggara kereta kebal ringan “ASCOD 2 Sabrah” yang baru diperolehinya di pangkalan tentera Camp O’ Donnel yang terletak di Pulau Luzon.

Syarikat GDELS-SBS dengan kerjasama syarikat pertahanan Israel, Elbit Systems telah membekalkan kereta kebal ringan ASCOD 2 Sabrah kepada tentera Filipina.

Pada November tahun lepas, Filipina dilaporkan telah menerima kumpulan kedua kereta kebal ringan ASCOD 2 “Sabrah” yang dibelinya daripada syarikat pertahanan GDELS-SBS dengan kerjasama syarikat Israel, Elbit Systems.

Penghantaran kumpulan kedua kereta kebal ringan itu meliputi sembilan buah kereta kebal ringan buatan syarikat pertahanan Israel telah tiba di pelabuhan Subic untuk dihantar kepada penggunanya,  Angkatan Tentera Filipina.

Pada Jun 2021, kerajaan Filipina dan Israel menandatangani kontrak untuk memperolehi lebih daripada 20 buah kereta kebal ringan “ASCOD 2 Sabrah” dalam dua varian iaitu berantai (tracked) dan beroda (wheeled) serta kenderaan sokongan lain dianggarkan bernilai US$172 juta (RM774 juta). — DSA

 

 

Comments
Loading...