Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Filipina Pertingkat Kemampuan, Infrastruktur Ketenteraan Di Pulau Berhampiran Taiwan

Arahan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Pertahanan Filipina Gilberto Teodoro itu juga akan menyaksikan Filipina memperhebatkan pembinaan infrastruktur ketenteraan di Pulau Batanes di utara negara itu, yang terletak hanya kira-kira 200km daripada Taiwan.

0 2,026

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam tindakan yang dianggap oleh Beijing sebagai “membakar api permusuhan serantau”, Filipina telah mengarahkan angkatan tenteranya untuk meningkatkan bilangan anggotanya tentera di pulau paling utara negara itu yang bersempadan dengan Taiwan.

Arahan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Pertahanan Filipina Gilberto Teodoro itu juga akan menyaksikan Filipina memperhebatkan pembinaan infrastruktur ketenteraan di Pulau Batanes di utara negara itu, yang terletak hanya kira-kira 200km daripada Taiwan.

Beliau berkata demikian ketika melawat pulau terpencil itu pada 6 Feb lalu.

“Bermula daripada tahun ini, tempo operasi untuk Angkatan Tentera Filipina akan menjadi lebih tinggi,” kata beliau, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Angkatan Tentera Filipina pada 6 Feb lalu.

Selat Bashi yang terletak di antara Pulau Batanes, Filipina dengan Taiwan itu disifatkan sebagai “choke point” bagi kapal-kapal yang melalui bahagian barat Pasifik dengan Laut China Selatan.

Filipina
Tentera Amerika dan Filipina dalam satu latihan bersama.

 

Tentera China kerapkali meletakkan kapal-kapal perangnya dan pesawat kombat melalui Selat Bashi itu, menurut kenyataan oleh Kementerian Pertahanan Taiwan.

Pada November lalu, angkatan tentera Filipina dan Amerika Syarikat telah melancarkan rondaan bersama di kawasan perairan di bahagian paling utara Filipina, dengan Pulau Batanes dijadikan lokasi pelancaran untuk rondaan-rondaan bersama itu, menurut Setiausaha Pertahanan Filipina itu,

Pada Ogos lalu, tentera Amerika Syarikat telah dilaporkan sedang berunding dengan kerajaan Filipina untuk membangunkan sebuah pelabuhan di Pulau Batanes itu yang dijangka akan meningkatkan lagi akses tentera negara itu terhadap pulau yang terletak berhadapan dengan Taiwan.

China menganggap Taiwan masih sebahagian daripada wilayahnya dan komited untuk melihatkan pulau itu kembali menjadi sebahagian daripada China, sama secara aman atau kekerasaan penggunaan kuasa tentera.

Di dalam usaha untuk mempercepatkan lagi perlaksanaan perjanjian kerjasama pertahanan antara Manila dan Washington, kerajaan Filipina bersetuju untuk memberikan akses kepada empat lagi pangkalan tentera miliknya kepada Amerika Syarikat.

Penambahan akses pangkalan tentera Filipina kepada Amerika Syarikat  itu berlaku ketika  ketegangan di antara Washington dan Beijing berhubung isu-isu Laut China Selatan dan Taiwan semakin meningkat.

Batanes
Jarak Pulau Batanes dan Taiwan

 

Keempat-empat lokasi baru yang diberikan akses kepada Amerika Syarikat adalah — Pangkalan Laut Camilo Osias di Sta Ana di Cagayan, Lapangan Terbang Lal-lo di Cagayan, Kem Melchor Dela Cruz di Gamu, Isabela dan  Balabac di Palawan.

Pangkalan Laut Camilo Osias di Sta Ana di Cagayan dan Lapangan Terbang Lal-Ilo juga di Cagayan hanya terletak kira-kira 500km daripada Kaoshiung, Taiwan manakala Balabac di Palawan untuk menangani pergerakan tentera China di Kepulauan Spratly.

Amerika Syarikat dan Filipina menyatakan bahawa mereka akan mempercepatkan lagi perlaksanaan perjanjian yang dikenali sebagai “Enhanced Defense Cooperation Agreement” (EDCA), dengan pembukaan empat lagi pangkalan tentera Filipina kepada Amerika Syarikat.

Persetujuan terbaru itu menambah akses Amerika Syarikat kepada pangkalan-pangkalan tentera Filipina kepada sembilan buah keseluruhannya berbanding lima buah sebelum ini.

Antonio Luna
Kapal friget Filipina “Antonio Luna”

 

Lima buah pangkalan tentera Filipina yang diberi akses kepada Amerika Syarikat sebelum ini adalah Pangkalan Udara Antonio Bautista di Palawan, Pangkalan Udara Basa di Pampanga, Fort Magsaysay di Nueva Ecija, Pangkalan Udara Lumbia di Cagayan de oro dan Pangkalan Udara Benito Ebuen di Cebu.

Kebanyakan daripada empat buah pangkalan tentera Filipina yang diberikan akses kepada Amerika Syarikat terletak di bahagian utara Filipina, yang berada hampir dengan Taiwan.

Mempunyai akses kepada pangkalan-pangkalan tentera Filipina di utara negara dan di Pulau Palawan, selatan negara itu memberikan kelebihan kepada Amerika Syarikat sekiranya berlaku konflik di Laut China Selatan atau Taiwan. — DSA

To contact email: lulwabyadah@gmail.com  

Comments
Loading...