Dron MQ-4C Triton Milik Amerika Hantar Signal Kecemasan Selepas Laksana Misi ISR di Laut Hitam

Laporan terkini daripada OSINT (Open Source Intelligence) mendakwa bahawa sebuah dron MQ-4C Triton milik USAF dengan callsign BLKCAT6 yang melakukan misi ISR di Laut Hitam telah memberikan signal kecemasan sebelum ia mendarat di sebuah pangkalan udara tentera laut di Sigonella, Sicily di Itali.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dron perisikan MQ-4C “Triton” milik Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) telah mula dikerah untuk melakukan misi Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR) di Laut Hitam bagi memantau dengan lebih teliti pergerakan tentera Russia di Crimea yang ditawannya daripada Ukraine.

Bagaimanapun laporan terkini daripada pihak OSINT (Open Source Intelligence)  mendakwa bahawa sebuah dron MQ-4C Triton milik USAF dengan callsign BLKCAT6 yang melakukan misi ISR di Laut Hitam telah memberikan signal kecemasan sebelum ia mendarat di sebuah pangkalan udara tentera laut di Sigonella, Sicily di Itali.

Menurut maklumat yang diperolehi daripada aplikasi pemantauan penerbangan RadarBox, dron MQ-4C Triton dengan callsign BLKCAT6 itu telah menghantar signal 7700 menerusi transponder yang mengikut standard ICAO (International Civil Aviation Organisation) membawa maksud terdapat kecemasan ketika penerbangan.

Dron MQ-4C milik USAF itu dikesan mendarat tidak lama selepas menghantar signal kecemasan itu.

Selain aplikasi RadarBox, aplikasi-aplikasi pemerhati penerbangan seperti Flight Emergeny Alerts dan SquawkAlert turut melaporkan bahawa dron HALE (High Altitude Long Endurance) milik Amerika itu telah mengeluarkan signal kecemasan.

Penerbangan dron MQ-4C Amerika daripada Itali ke Laut Hitam.

 

Menurut peraturan oleh ICAO, kod-kod kecemasan adalah — 7700 (kod kecemasan utama), 7600 (masalah komunikasi) dan 7500 (rampasan pesawat).

Selain laporan-laporan mengatakan bahawa dron MQ-4C Triton milik USAF itu mengalami kecemasan sebelum mendarat, terdapat juga laporan mengatakan bahawa dron yang dianggarkan bernilai US$125 juta (RM590 juta) sebuah itu telah terhempas di kawasan pesisir pantai Romania.

Laporan yang belum disahkan itu juga menyatakan bahawa pihak tentera Amerika telah menghantar beberapa helikopter Black Hawk miliknya ke kawasan pesisir pantai Romania itu untuk cuba mengesan bangkai dron MQ-4C Triton itu.

Beberapa pihak menyatakan dron MQ-4C Triton itu terhempas akibat cuaca buruk, manakala ada juga laporan mendakwa insiden terhempas itu bukan disebabkan oleh masalah cuaca buruk.

Pihak Amerika Syarikat dan NATO telah menggunakan pesawat-pesawat perisikan mereka termasuk dron MQ-4C Triton yang baru sahaja dikerah ke Eropah untuk melaksanakan misi-misi mengumpul maklumat di Laut Hitam.

Maklumat-maklumat yang diperolehi oleh pesawat-pesawat perisikan itu termasuk P-8 Poseidon dan MQ-4C Triton kemudiannya disalurkan kepada tentera Ukraine bagi membolehkan mereka membedil kedudukan tentera Russia terutamanya di Crimea yang lebih tepat.

Terdapat laporan mengatakan serangan besar-besaran peluru berpandu MGM-140 ATACMS oleh tentera Ukraine terhadap beberapa kedudukan tentera Russia di Crimea itu berlaku hanya beberapa jam selepas berlakunya penerbangan-penerbangan pesawat dan dron perisikan Amerika dan NATO di Laut Hitam.

Baru-baru ini Russia mengancam untuk mengambil tindakan lebih keras terhadap dron-dron Amerika Syarikat dan NATO yang melakukan penerbangan di Laut Hitam.

Moscow bagaimanapun tidak memberikan penjelasan lebih lanjut tentang “tindakan” yang akan diambilnya terhadap dron-dron Amerika dan NATO yang aktif membantu Ukraine dalam penyaluran maklumat-maklumat perisikan termasuk berkenaan tentang sasaran.

Dalam insiden yang berlaku pada Mac tahun lepas, sebuah pesawat pejuang Su-27 Russia bertindak memintas dan dengan sengaja telah “melanggar” kipas dron MQ-9 Reaper milik Amerika Syarikat sehingga menyebabkan dron terhempas di Laut Hitam.

Pihak tentera Amerika Syarikat mengecam tindakan pesawat pejuang Russia itu dan mendakwa ia melakukan penerbangan secara “tidak selamat” sehingga menyebabkan dron itu terhempas.

Ketika terhempas dron itu dipercayai sedang melakukan misi Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR) di  Laut Hitam berhampiran dengan Crimea, yang sebelum ini merupakan wilayah milik Ukraine tetapi telah dijajah oleh Russia.

 

Kementerian Pertahanan Russia menafikan pesawat pejuangnya “bersentuhan” dengan dron Amerika Syarikat dan mendakwa bahawa ia terhempas ke Laut Hitam akibat “maneuver tajam” yang dilakukannya ketika penerbangan itu.

Dibangunkan oleh Northrop Grumman, dron Triton ini adalah berdasarkan kepada dron “RQ-4 Global Hawk” tetapi penganalisisis mendakwa ia adalah lebih canggih dan berkeupayaan berbanding dengan Global Hawk.

Dron MQ-4C Triton itu membawa radar phased array antenna yang canggih, kamera dan sensor untuk memantau perairan dan kawasan pesisir pantai.

Ia dioperasikan oleh empat kakitangan dengan kemampuan beroperasi lebih daripada 30 jam dan terbang setinggi lebih daripada 60,000 kaki. — DSA

 

 

featuredLaut HitamMQ-4C TritonRussia
Comments (0)
Add Comment