Iran Perlengkap Kapal Perangnya Dengan Peluru Berpandu Hypersonik

Tindakan Iran melengkapkan Damavand-2 yang merupakan sebuah kapal destroyer dengan peluru berpandu hypersonik bakal memberikan Teheran kemampuan ketenteraan yang “digeruni” oleh negara-negara serantau di Timur Tengah terutamanya Israel dan Amerika Syarikat.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Hanya sebulan selepas mendedahkan peluru berpandu hypersoniknya yang pertama dinamakan “Fattah” berkelajuan 15 Mach, pegawai-pegawai Iran menyatakan pula bahawa ia akan melengkapkan kapal perang termodennya,  “Damavand-2” miliknya dengan peluru berpandu hypersonik.

Tindakan Iran melengkapkan Damavand-2 yang merupakan sebuah kapal destroyer dengan peluru berpandu hypersonik bakal memberikan Teheran kemampuan ketenteraan yang “digeruni” oleh negara-negara serantau di Timur Tengah terutamanya Israel dan Amerika Syarikat.

Walaupun hanya memiliki berat keseluruhan 1,500 tan, namun Iran mengklasifikasi Damawand-2 itu sebagai kapal destroyer walaupun saiz kapal-kapal destroyer selalu mencecah sehingga 7,000 tan dan ke atas.

Kapal perang Iran, Damavand.

 

Kapal destroyer Damavand-2 itu dibangunkan sendiri oleh industri pertahanan Iran sendiri.

Komander Tentera Laut Iran Laksamana Shahram Irani mengumumkan beberapa hari lepas bahawa peluru berpandu hypersonik akan melengkapkan kapal destroyer Damavand-2, yang bakal ditauliahkan ke dalam perkhidmatan tentera laut tidak lama lagi, lapor agensi media negara itu, Press TV.

“Kapal perang itu akan dilengkapi dengan senjata offensif dan defensive,” kata beliau sambil berkata peralatan dan komponen di kapal perang itu juga adalah teknologi terkini.

Kata beliau, kapal perang itu akan menyertai operasi armada utara tentera laut negara itu di Laut Kaspia.

Pihak berkuasa Iran mendakwa peluru berpandu hypersonik “Fattah”yang dicat serba hitam itu berkemampuan membedil sasaran sejauh 1,400 km dan tidak boleh dipintas oleh mana-mana sistem pertahanan udara disebabkan kelajuannya yang tinggi.

Pemerhati ketenteraan serantau menyatakan bahawa pembangunan peluru berpandu hypersonik “Fattah” itu akan meningkatkan lagi kebimbangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap kemampuan teknologi peluru berpandu yang dimiliki oleh Teheran.

Menurut media negara itu, “Fattah” mampu meluncur dengan kelajuan Mach 15 atau lebih 5,000 meter satu saat dan tidak ada sistem pertahanan udara Amerika Syarikat dan Israel yang canggih mampu memintasnya.

 Mereka turut menayangkan video pelancaran peluru berpandu hypersonik itu serta detik-detik apabila ia membedil sasarannya yang tidak diketahui lokasinya.

Setakat ini,hanya Amerika Syarikat, Russia,Korea Utara dan China diketahui berkemampuan membangunkan peluru berpandu hypersonik.

Kor Pengawal Revolusi Iran pada November tahun lepas telah menyatakan bahawa ia sedang membangunkan peluru berpandu hypersonik, yang merupakan suatu “lonjakan generasi” bagi teknologi peluru berpandu negara itu.

“Peluru berpandu hypersonik Fattah tidak boleh dimusnahkan oleh peluru berpandu lain,berikutan cara ia bergerak di kedudukan dan altitud yang berlainan,” menurur seorang pegawai kanan kor pengawal revolusi itu.

Pengenalan peluru berpandu hypersonik “Fattah” menyusul pelancaran peluru berpandu balistik Iran pada bulan lepas,yang turut mengundang kritikan dan kecaman daripada negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat serta sekutu utamanya Israel.

Dipanggil “Kheibar”, peluru berpandu balistik generasi ke-empat Iran itu berkemampuan membedil sasaran sejauh 2,000 km dan boleh mengenai  sasaran di Israel.

Ia juga boleh membawa kepada peledak konvesional seberat 1,500 kilogram kata pegawai tentera Iran sambil menambah bahawa “Kheibar” boleh meluncur selaju Mach 15 di luar atmosfera dan Mach 8 di dalam atmosfera. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Damavand-2featuredHypersonikIranKapal Perang
Comments (0)
Add Comment