Benarkah “Khinzal” Berjaya Musnahkan “Patriot” Dalam Serangan Terhadap Kiev?

Walaupun Ukraine menafikan dakwaan oleh Kementerian Pertahaan Russia itu, tetapi kenyataan daripada media-media Amerika Syarikat yang memetik sumber daripada Pentagon mengesahkan bahawa sistem pertahanan udara canggih Patriot miliknya telah mengalami “kerosakan” yang teruk akibat serangan peluru berpandu hypersonik itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Russia mendakwa serangan peluru berpandu hypersonik ”Khinzal” olehnya beberapa hari lepas telah berjaya memusnahkan sistem pertahanan udara “Patriot” buatan Amerika Syarikat yang mengawal ruang udara Kiev, ibu negara Ukraine.

Walaupun Ukraine menafikan dakwaan oleh Kementerian Pertahaan Russia itu, tetapi kenyataan daripada media-media Amerika Syarikat yang memetik sumber daripada Pentagon mengesahkan bahawa sistem pertahanan udara canggih Patriot miliknya telah mengalami “kerosakan” yang teruk akibat serangan peluru berpandu hypersonik itu.

Tidak musnah tetapi “rosak”, sebagaimana yang dinyatakan oleh stesen televisyen kabel terkenal Amerika Syarikat, CNN.

Sistem pertahanan udara “Patriot”

 

Laporan media Barat menyatakan bahawa sistem pertahanan Patriot itu dibedil oleh peluru berpandu hypersonik Khinzal selepas sistem pertahanan udara canggih itu melancarkan kira-kira 30 butir peluru berpandu dalam tempoh dua minit terhadap peluru berpandu dan dron yang dilancarkan tentera Russia terhadap bandar Kiev.

Setiap sebutir peluru berpandu Patriot itu dianggarkan bernilai US$5 juta (RM20 juta), membawa nilai keseluruhan 30 butir peluru berpandu yang dilancarkan itu sebanyak US$150 juta (RM600 juta).

Walaupun selepas melancarkan peluru-peluru berpandu bernilai RM600 juta, sistem pertahanan udara Patriot itu tetap dimusnahkan atau mengalami “kerosakan” selepas itu.

Terdapat lawak jenaka yang kini berlegar di kalangan penganalisis tentera Russia yang menyatakan bahawa sistem pertahanan udara Patriot kini memerlukan lagi sebuah sistem pertahanan udara yang lain untuk melindunginya.

Setiap bateri sistem pertahanan udara Patriot mempunyai enam stesen pelancar, yang setiap satunya membawa tiga kanister peluru berpandu itu.

Peluru berpandu hypersonik Khinzal dibawa oleh pesawat pejuang MiG-31 Russia.

 

Kejadian yang menimpa sistem pertahanan udara Patriot di Kiev dua hari lepas itu telah sedikit-sebanyak mencalar imej  sistem itu, yang digembar-gemburkan sebelum ini sebagai “jawapan tepat” Ukraine terhadap serangan udara sama ada oleh pesawat atau peluru berpandu oleh Russia.

Bagi alat-alat propaganda Russia, mereka bertanyakan soalan sama ada masih ada pihak yang mahu membeli sistem pertahanan udara Patriot selepas apa yang “berlaku” terhadap mereka di bandaraya Kiev dua hari lepas.

Menurut tentera Ukraine, serangan terhadap bandaraya Kiev itu dilaksanakan Russia menggunakan enam butir peluru berpandu hypersonik Khinzal yang dilancarkan oleh enam pesawat pejuang MiG-31K, sembilan peluru berpandu Kalibr dilancar oleh kapal-kapal perang di Laut Hitam dan enam dron Shahed.

Kiev mendakwa ia berjaya menembak jatuh kesemua peluru berpandu dan dron Russia yang mensasarkan bandaraya Kiev itu.

Pesawat MiG-31KTentera Russia dilengkapi dengan peluru berpandu Hypersonic “Kinzhal” berlepas daripada Pangkalan Udara Khemeimin di Syria. (gambar MOD Russia)

 

Bagaimanapun daripada video-video pada hari kejadian yang menunjukkan beberapa siri letupan di lokasi dimana sistem pertahanan udara Patriot itu ditempatkan, ia menyatakan bahawa kemungkinan pihak Ukraine “menyembunyikan” sesuatu.

Serangan terhadap Kiev itu berlaku beberapa minggu selepas Ukraine mendakwa tenteranya yang mengoperasikan sistem pertahanan udara Patriot telah berjaya menembak jatuh peluru berpandu hypersonik Khinzal.

Bagaimanapun dakwaan oleh Ukraine itu telah disangkal oleh pihak tentera Russia, yang menyatakan adalah mustahil untuk menembak jatuh Khinzal kerana kelajuan peluru berpandu hypersonik itu yang terlalu tinggi. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

AmerikafeaturedKhinzalPatriotRussiaUkraine
Comments (0)
Add Comment