Amerika Semakin Bimbang “Kecanggihan” Program Pembangunan Peluru Berpandu Ballistik Pakistan
Dua pegawai kanan pentadbiran Amerika Syarikat dilaporkan memberitahu media negara itu bahawa kebimbangan negara terhadap program peluru berpandu ballistik Pakistan berpunca daripada saiz enjin roket yang sedang dibangunkan oleh negara Asia Selatan berkuasa nuklear itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada Disember tahun lepas, seorang pegawai kanan Rumah Putih menyifatkan Pakistan sebagai suatu “ancaman yang semakin meningkat” kepada Amerika Syarikat berikutan pembangunan peluru berpandu ballistik jarak jauhnya yang mampu membedil sasaran di luar Asia Selatan “termasuk di Amerika Syarikat.”
Pegawai berkenaan Timbalan Penasihat Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat Jon Finer yang bertanggungjawab terhadap isu-isu keselamatan berkata bahawa Pakistan sedang memajukan teknologi peluru berpandunya dengan cara yang semakin “canggih”.
Jika trend ini berterusan, beliau berkata, “Pakistan akan mempunyai keupayaan untuk menyerang sasaran jauh di luar Asia Selatan, termasuk di Amerika Syarikat.”
“Secara jujur, sukar untuk kami melihat tindakan Pakistan sebagai sesuatu selain daripada ancaman yang semakin meningkat kepada Amerika Syarikat,” tambahnya.
Dua pegawai kanan pentadbiran Amerika Syarikat juga dilaporkan memberitahu media negara itu bahawa kebimbangan negara terhadap program peluru berpandu ballistik Pakistan berpunca daripada saiz enjin roket yang sedang dibangunkan oleh negara Asia Selatan berkuasa nuklear itu.
Kenyataan pegawai-pegawai kanan keselamatan di Washington itu dibuat selepas Ameirka Syarikat mengumumkan pusingan baru sekatan terhadap program pembangunan peluru berpandu ballistik Pakistan, termasuk terhadap agensi pertahanan milik negara itu yang menyelia program pembangunan peluru berpandu negara tersebut.
