Amerika Pertahan Filipina, Dakwa Pencerobohan Bot “Militia Maritim” China Adalah Provokasi
Kedutaan Amerika Syarikat di Manila menuduh China menggunakan bot-bot maritim militia itu untuk memprovokasi dan mengugut negara lain, sekaligus menjejaskan keselamatan dan kedamaian di rantau ini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat menyokong tindakan diambil oleh Filipina dalam persengketaannya dengan China berhubung kehadiran lebih daripada 200 bot “militia maritime” negara itu di terumbu karang dinamakan “Julian Felipe Reef” (Union Banks/Whitsun Reef).
Kedutaan Amerika Syarikat di Manila menuduh China menggunakan bot-bot maritim militia itu untuk memprovokasi dan mengugut negara lain, sekaligus menjejaskan keselamatan dan kedamaian di rantau ini.
“Kami berdiri bersama-sama dengan Filipina, sekutu treati tertua kami di Asia,” kata kedutaan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Menteri Pertahanan Filipina Delfin Lorezana mendesak agar Beijing mengundurkan bot-bot maritim militia itu daripada terumbu karang terbabit yang terletak kira-kira 175 batu nautika daripada pekan Batarza di Palawan.
Menteri Luarnya Teddy Locsin telah mengemukakan nota bantahan bagi memprotes kehadiran bot-bot milik China itu diperairan Filipina itu.
Manila mengatakan Julian Felipe Reef itu berada jauh di dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Filipina.
Semalam kedutaan China di Manila memberikan respons mereka terhadap protes Filipina itu dan mereka telah mengemukakan jawapan yang “biasa di dengar” sebagaimana jawapan-jawapan mereka sebelum ini.
Kedutaan China di Manila berkata terumbu karang Julian Felipe Reef itu tetapi dipanggil Niue Jiao oleh China adalah sebahagian daripada Nansha Qundao (Kepulauan Spratly) yang didakwa Beijing sebagai hak miliknya sejak berkurun lamanya.
Menurut pihak kedutaan China lagi, bot-bot nelayan China telah menangkap ikan di kawasan perairan terumbu karang Julian Felipe Reef itu sejak bertahun lamanya sambil turut menafikan bahawa bot-bot itu adalah militia maritim sebagaimana didakwa oleh Manila.
Comments are closed.