Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Algeria Mula Operasi Sukhoi Su-35, Juga Bakal Menerima Su-57 Felon Tidak Lama Lagi

Tentera Udara Algeria melancarkan penerbangan latihan pertama menggunakan pesawat pejuang Su-35 daripada Pangkalan Udara Oum Bouaghi, yang turut membuktikan kekukuhan hubungan ketenteraannya dengan Russia pada ketika Moscow baru sahaja "kehilangan" pangkalannya di Syria.

0 3,127
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Algeria dilaporkan telah mula mengoperasi pesawat pejuang generasi 4.5 buatan Russia Sukhoi Su-35, pada ketika negara Afrika Utara itu juga merupakan pasaran eksport yang pertama bagi pesawat pejuang generasi kelima Russia, Su-57 Felon.
Tentera Udara Algeria melancarkan penerbangan latihan pertama menggunakan pesawat pejuang Su-35 daripada Pangkalan Udara Oum Bouaghi, yang turut membuktikan kekukuhan hubungan ketenteraannya dengan Russia pada ketika Moscow baru sahaja “kehilangan” pangkalannya di Syria.
Walaupun tiada pengumuman rasmi mengenainya, tetapi Algeria dilaporkan telah menandatangani perjanjian dengan Russia pada 2018 untuk memperolehi 24 buah pesawat pejuang Su-35 Flanker-E.
Ia juga dilaporkan bahawa perolehan pesawat pejuang Su-35 oleh Algeria itu adalah reaksi terhadap perolehan pesawat pejuang buatan Amerika Syarikat oleh pesaing tradisinya, Maghribi.
Terdapat spekulasi menyatakan bahawa 24 buah pesawat pejuang Su-35 diperolehi oleh Algeria itu merupakan pesawat pejuang yang sama sepatutnya dimiliki oleh Mesir sebelum ia membatalkan kontrak itu selepas diancam dengan CAATSA.
Mesir dilaporkan telah menandatangani kontrak bagi pembelian pesawat pejuang Sukhoi Su-35 dari Russia pada tahun 2018, dengan penghantaran dijangka bermula sekitar 2020.
Perjanjian tersebut dianggarkan bernilai AS$2 bilion dan melibatkan kira-kira dua dozen pesawat Su-35.
Su-35
Sukhoi Su-35 (Flanker-E)
Bagaimanapun, akibat tekanan dari Amerika Syarikat, khususnya di bawah CAATSA, menyebabkan Mesir membatalkan pesanan tersebut, dengan beberapa sumber turut mendakwa bahawa beberapa pesawat pejuang Su-35 itu telah pun siap dibina dan sedia untuk dihantar, namun tidak diterima oleh Mesir.
Spekulasi mengenai perolehan pesawat pejuang Su-35S oleh Algeria telah berlarutan selama beberapa tahun.
Pada 2016, terdapat laporan menyatakan bahawa Tentera Udara Algeria telah menguji pesawat tersebut di Tamanrasset dan dilaporkan berpuas hati dengan prestasinya.
Kemudian, pada 2019, akhbar Rusia Kommersant mendakwa Algeria telah memeterai perjanjian untuk mendapatkan 14 unit Su-35, selain pesawat lain seperti Su-34 dan Su-57.
Bagaimanapun, tiada pengesahan rasmi daripada Russia mahupun Algeria, sejajar dengan pendekatan negara Afrika Utara itu yang sering berahsia mengenai urusan pembelian senjata mereka.
Walaupun begitu, dengan penghantaran pesawat yang sedang berlangsung pada ketika ini serta latihan yang telah dimulakan, jelas bahawa pesawat pejuang Su-35S kini menjadi sebahagian daripada kekuatan Tentera Udara Algeria.
Su-35
Sukhoi Su-35 (Flanker-E)
Su-35
Pesawat pejuang Su-35 Algeria sedang diuji di ruang udara Pangkalan Oum Bouaghi baru-baru ini.
Bagi Algeria, perolehan pesawat pejuang buatan Russiaa ini bukan sekadar menambah aset baru, tetapi juga memastikan tentera udara negara itu kekal berdaya saing.
 Ketika ini, lebih 70 unit Su-30MKA menjadi tulang belakang armada Tentera Udara Algeria.
Pesawat Su-30 yang diperoleh sejak 2006 merupakan antara yang tercanggih pada zamannya, memberikan Algeria kelebihan berbanding kebanyakan negara Afrika dan Arab, termasuk Maghribi, pesaing tradisinya.
Kehadiran Su-35S memperkukuhkan lagi keupayaan kuasa udara Algeria dengan enjin lebih berkuasa, sistem sensor lebih canggih, serta reka bentuk lebih halimunan.
 Walaupun tidak mengubah secara drastik peranan tentera udara Algeria, pesawat pejuang Su-35S itu  membolehkan mereka melaksanakan tugas yang sama dengan lebih baik.
Terdapat juga spekulasi bahawa Algeria mungkin menaik taraf Su-30MKA mereka dengan teknologi Su-35, termasuk enjin AL-41F-1S dan radar Irbis-E, namun, penambahan Su-35 dalam jumlah kecil dilaporkan 24 buah boleh menyukarkan aspek penyelenggaraan, tanpa memberikan peningkatan ketara dari segi taktik operasi.
Su-35 merupakan evolusi daripada program Su-27M, yang dibangunkan sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan keupayaan pesawat dalam keluarga Flanker.
Pesawat ini telah melalui beberapa fasa reka bentuk semula, termasuk model demonstrasi Su-37, yang memperkenalkan teknologi thrust-vectoring bagi meningkatkan kecekapan manuver.
Keputusan Rusia untuk memasarkan pesawat pejuang Su-35 di peringkat antarabangsa membawa kepada perjanjian eksport dengan China, Mesir (kemudian dibatalkan), dan Algeria.
Su-57
Selain memiliki pesawat pejuang buatan Russia Su-30MKA dan kini Su-35, Algeria juga dilaporkan sebelum ini adalah pelanggan eksport pertama bagi pesawat pejuang generasi kelima Russia, Su-57 Felon
Berbanding varian Flanker terdahulu, pesawat pejuang Su-35 dilengkapi dengan avionik moden, sistem sensor canggih, serta teknologi enjin yang lebih maju, menjadikannya antara pesawat pejuang generasi ke-4++ paling berkeupayaan di pasaran.
Pesawat pejuang Su-35 dilengkapi dua enjin turbofan AL-41F-1S, yang membolehkannya mencapai kelajuan maksimum Mach 2.25 dan jarak operasi sekitar 3,600 kilometer.
Pesawat ini direka untuk melaksanakan manuver sehingga 9-g dan dilengkapi dengan radar Irbis-E jenis Passive Electronically Scanned Array (PESA), yang mampu mengesan sasaran pada jarak melebihi 350 kilometer.
Beberapa varian Su-35 turut dilengkapi dengan radar AESA sekunder yang dipasang di pangkal sayap bagi meningkatkan kecekapan pengesanan dan penjejakan sasaran.
Selain itu, sistem peperangan elektronik dan langkah balas pesawat ini direka untuk meningkatkan daya ketahanan ketika beroperasi di ruang udara yang penuh ancaman.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.