China Dapat “Bantuan Teknikal” Israel Ketika Bangunkan Pesawat Pejuang J-10 “Vigorous Dragon” ??
Di sebalik kejayaan ini membangunkan pesawat pejuang J-10 "Vigorous Dragon", terdapat spekulasi yang bertiup kencang bahawa program pembangunan pesawat pejuang itu telah mendapat “bantuan” teknikal daripada sumber yang tidak disangka-sangka iaitu Israel, yang merupakan rakan karib Amerika Syarikat.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pelancaran pesawat pejuang J-10 “Vigorous Dragon” oleh China pada tahun 1998 merupakan suatu detik bersejarah dalam industri pertahanan negara itu, yang pada ketika itu dianggap baru sahaja “berjinak-jinak” dengan industri aeroangkasa dan masih kurang pengetahunan serta pengalaman.
Ia bukan sekadar pengenalan kepada pesawat tempur baharu, tetapi juga lambang keupayaan China dalam membangunkan teknologi ketenteraannya sendiri.
Namun, di sebalik kejayaan ini, terdapat spekulasi yang bertiup kencang bahawa program pembangunan pesawat pejuang J-10 itu telah mendapat “bantuan” teknikal daripada sumber yang tidak disangka-sangka iaitu Israel, yang merupakan rakan karib Amerika Syarikat.
Walaupun Israel dikenali sebagai sekutu utama Amerika Syarikat, laporan mendakwa bahawa negara itu telah memberikan sokongan teknikal kepada China, yang akhirnya membolehkan industri pertahanan tempatan China menghasilkan pesawat pejuang generasi baharu.
Hubungan erat antara kontraktor pertahanan Israel dan China dikatakan bermula sejurus kedua-dua negara menjalin hubungan diplomatik pada tahun 1992.
Syarikat pertahanan utama Israel, Israel Aerospace Industries (IAI), dilaporkan telah bekerjasama dengan Chengdu Aircraft Corporation (CAC) pada peringkat awal program pembangunan pesawat pejuang J-10.
Kolaborasi ini dipercayai memainkan peranan penting dalam kejayaan China membangunkan prototaip pesawat pejuang tersebut.


Menurut sumber pertahanan, pesawat J-10 mempunyai persamaan ketara dengan pesawat pejuang Israel, LAVI, yang dibangunkan pada era 1980-an menggunakan teknologi dan dana dari Amerika Syarikat.
LAVI adalah projek pesawat pejuang ringan Israel yang direka untuk bersaing dengan pesawat F-16 “Fighting Falcon” buatan Lockheed Martin.
Walau bagaimanapun, Washington menghentikan pembiayaan projek tersebut kerana bimbang ia akan menyaingi pasaran eksport pesawat tempur Amerika.
Laporan mendakwa bahawa Israel telah berkongsi maklumat teknologi pesawat LAVI dengan China secara rahsia.
Ini termasuk teknologi avionik, bahan komposit, dan sistem kawalan penerbangan yang turut digunakan dalam pesawat pejuang Amerika Syarikat.
Salah satu bukti utama pengaruh Israel terhadap J-10 adalah rekabentuk “canard-delta,” yang hampir serupa dengan LAVI. Bagaimanapun, terdapat beberapa perbezaan ketara antara kedua-dua pesawat ini, seperti saiz dan konfigurasi sayap yang telah diubah suai.

Selain daripada pembangunan J-10, laporan turut menyatakan bahawa Israel dan China telah menjalinkan kerjasama dalam teknologi persenjataan.
Pada tahun 1989, syarikat China, Xian Aircraft Corporation, membangunkan peluru berpandu udara-ke-udara “PL-8,” yang dikatakan sebagai varian daripada peluru berpandu “Python-3” milik Israel.
Sehingga kini, PL-8 masih digunakan oleh Tentera Udara China, membuktikan keberkesanan teknologi Israel dalam sistem persenjataan China.
Israel juga dikatakan telah membantu China dalam pemindahan teknologi radar Doppler E/LM-2035 dan sistem navigasi inersia “Tamam,” yang mana variannya masih digunakan oleh pesawat J-8 dan J-10.
Pada tahun 1980-an, syarikat-syarikat pertahanan Barat termasuk dari Amerika Syarikat dan Eropah banyak berkongsi teknologi dengan China sebagai sebahagian daripada strategi mengekang pengaruh Kesatuan Soviet.
Kerjasama ini membantu China memperoleh akses kepada teknologi pertahanan moden, termasuk enjin pesawat dan sistem avionik canggih.
Namun, hubungan pertahanan ini terputus selepas tragedi Tiananmen pada tahun 1989, apabila negara-negara Barat mengenakan sekatan ketenteraan terhadap Beijing.

