Afghanistan “Duduk” Atas Pelbagai Mineral Dianggar Bernilai RM4.1 Trilion Hingga RM12 Trilion
Afghanistan kaya kerana ia “duduk” di atas pelbagai sumber mineral yang dianggarkan bernilai di antara US$1 trilion (RM4.1 trilion) hingga US$3 trilion (RM12 trilion) dan perkara ini diperakui oleh pihak Amerika Syarikat sendiri menerusi United States Geological Survey (USGS).
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun sering dilanda dengan konflik dan dikatakan antara negara termiskin di dunia, tetapi Afghanistan sebenarnya adalah sebuah negara yang kaya – sebab itulah menjadi rebutan kuasa-kuasa besar dunia.
Afghanistan kaya kerana ia “duduk” di atas pelbagai sumber mineral yang dianggarkan bernilai di antara US$1 trilion (RM4.1 trilion) hingga US$3 trilion (RM12 trilion) dan perkara ini diperakui oleh pihak Amerika Syarikat sendiri menerusi United States Geological Survey (USGS).
Pakar-pakar USGS telah menjalankan kajian yang mendalam tentang sumber-sumber mineral yang dimiliki oleh Afghanistan dan mendapati negara yang “miskin dan bermasalah itu” memiliki simpanan mineral yang banyak seperti emas, perak, tembaga, besi, chromite, lithium, uranium dan aluminium.
Bagi batu permata pula, negara itu sejak sekian lama menjadi idaman pedagang batu permata kerana ia menyimpan permata seperti emeralds, rubies, sapphires, turquoise dan lapis lazuli.
Kajian oleh pihak USGS mendapati perut bumi Afghanistan menyimpan sekurang-kurangnya 60 juta metric tan tembaga, 2.2 bilion tan bijih besi, 1.4 juta tan elemen nadir bumi atau (rare earth elements) (REEs) seperti lanthanum, cerium, neodymium selain aluminium, emas, perak, zinc, mercury dan lithium.
Jika Arab Saudi adalah “raja” kepada pengeluaran minyak, maka Afghanistan pula boleh menjadi “raja” bagi pengeluaran “lithium” jika ada pihak yang berjaya mengeksploitsasi nadir bumi itu untuk pasaran dunia.
Menurut pegawai-pegawai Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat yang melakukan analisa terhadap satu lokasi di wilayah Ghazni menunjukkan deposit lithium adalah sama besar dengan apa yang dimiliki oleh Bolivia yang diperakui sebagai memiliki rizab deposit lithium terbesar di dunia.
Pihak USGS juga menganggarkan bahawa deposit di Kompleks Khanneshin di wilayah Helmand boleh menghasilkan di antara 1.1 juta metrik tan hingga 1.4 juta metrik tan elemen nadir bumi (REE).
Ramai pakar menyatakan bahawa sumber-sumber nadir bumi yang dimiliki oleh Afghanistan adalah diantara yang terbesar di dunia dan adalah tidak memeranjatkan negara yang terletak di kedudukan strategik itu menjadi sasaran oleh negara-negara kuasa besar yang lain selepas Amerika Syarikat selesai mengundurkan tenteranya pada 1 Sept nanti.
Elemen nadir bumi (REE) adalah elemen penting dalam pembuatan barangan atau komponen peralatan teknologi masa kini seperti telefon bimbit, televisyen, kereta elektrik, computer, laser dan bateri serta pelbagai macam barangan yang lain.
Selain penting untuk barangan awam, REE juga amat penting untuk penghasilan komponen industri pertahanan seperti sistem navigasi, peluru berpandu, satelit dan sistem komunikasi tentera.
Apa yang menyukarkan kerajaan Afghanistan untuk mengeksploitasi kekayaan sumber-sumber mineralnya adalah keadaan politik yang tidak stabil serta keadaan bentuk muka-buminya yang amat mencabar dengan bukit-bukau serta gunung-ganangnya.
Comments are closed.