Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Pengangkut Pesawat Tunggal Russia Terus Dirudung Malang

"Kerosakan-kerosakan" baru yang ditemui  ketika kerja-kerja pembaikan dan pemodenan itu bermakna Admiral Kuznetsov yang dikategorikan sebagai “kapal kruiser pembawa pesawat” dan mula dibina pada 1982 ketika Russia masih dikenali sebagai Kesatuan Soviet, akan terus berada di limbungan kapal dan tidak di lautan.

0 4,004

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal pengangkut pesawat tunggal Russia, Admiral Kuznetsov terus dirudung malang selepas usaha untuk mengembalikan kapal perang itu ke medan operasi pada tahun lepas tidak dapat dicapai berikutan “kerosakan-kerosakan baru” yang ditemui oleh tentera laut negara itu. 

Pihak tentera Russia bercadang mengembalikan Admiral Kuznetsov ke medan operasi pada tahun depan selepas selesai menjalani kerja-kerja pembaikan dan pemodenan yang bermula pada 2017 yang dijalankan di sebuah limbungan kapal di Murmansk.

“Kerosakan-kerosakan” baru yang ditemui  ketika kerja-kerja pembaikan dan pemodenan itu bermakna Admiral Kuznetsov yang dikategorikan sebagai “kapal kruiser pembawa pesawat” dan mula dibina pada 1982 ketika Russia masih dikenali sebagai Kesatuan Soviet, akan terus berada di limbungan kapal dan tidak di lautan.

Admiral Kuznetsov

Kerja-kerja baikpulih dan pemodenan Admiral Kuznetsov itu dilakukan oleh agensi negara itu, United Shipbuilding Corporation.

Kapal pengangkut pesawat Russia itu sememangnya terkenal di kalangan pemerhati sebagai sebuah kapal yang menghasilkan asap tebal ketika belayar serta sering diiringi oleh kapal tunda (tugboat) ketika belayar sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya ia mengalami kerosakan.

Sumber-sumber tentera Russia memberitahu agensi berita Russia, TASS bahawa pihak tentera laut telah menemui beberapa “kerosakan” ketika proses kerja-kerja baikpulih dan pemodenan dilakukan pada kapal pengangkut pesawat berusia itu.

Penemuan beberapa kerosakan itu telah mengakibatkan tarikh penyerahan Admiral Kuznetsov kepada Tentera Laut Russia ditangguhkan kepada 2024.

Pada mulanya kapal pengangkut pesawat Russia itu sepatutnya diserahkan kepada Tentera Russia pada 2022 sebelum dilanjutkan kepada 2023 dan kini 2024 pula.

Admiral Kuznetsov

Kapal pengangkut pesawat tunggal Russia itu telah mengalami beberapa insiden malang seperti kebakaran yang berlaku ketika ia belayar di Turki pada 2009 yang menyebabkan seorang anak kapal terbunuh.

Sebulan selepas kejadian di Turki itu, Admiral Kuznetsov ditimpa insiden malang yang lain sehingga menyebabkan kira-kira 300 tan minyak miliknya tumpah di perairan Ireland ketika kapal perang itu sedang mengisi minyak.

Dalam satu lagi insiden malang yang berlaku di perairan Syria, dua buah pesawat pejuang Admiral Kuznetsov  terhempas ketika ia cuba mendarat di atas kapal perang terbabit.

Kemalangan itu telah menyebabkan Admiral Kuznetsov membatalkan pelayarannya di perairan Mediterranean dan berpatah-balik ke pangkalan laut Russia di Tartus,Syria.

Kuznetsov

 

Kerja-kerja baikpulih dan pemodenan terhadap kapal Admiral Kuznetsov itu bermula pada 2017 bertujuan untuk memanjangkan lagi hayatnya untuk tempoh 20 tahun lagi, selain mengalihkan silo-silo peluru berpandunya serta melengkapkannya dengan sistem pertahanan udara serta elektronik yang baru.

Ia juga akan membolehkan Admiral Kuznetsov membawa 50 buah pesawat pejuang.

Pada tahun 2018 ketika sedang diperbaiki sebuah kren seberat 70 tan telah roboh ke atas kapal pengangkut pesawat itu menyebabkan seorang anak kapalnya terbunuh, manakala pada 2019 pula insiden kebakaran di kapal itu membunuh dua orang pekerja.

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

Sebenarnya sebelum ini Soviet Union membina beberapa buah kapal pengangkut pesawat, termasuk dua buah kapal pengangkut pesawat kelas-Kiev yang telah dijual kepada China untuk dijadikan hotel dan muzium.

 

 

Sebuah lagi kapal pengangkut pesawat kelas-Kiev telah dijual kepada India pada 2013, sebelum dibaikpulih oleh New Delhi untuk menjadi INS Vikramaditya.

Sebuah lagi kapal pengangkut pesawat kelas-Admiral Kuznetsov yang belum siap dibina telah dijual kepada China pada 1998 dan selepas pembaikan besar-besaran dilakukan oleh Beijing kapal terbabit itu kini dikenali sebagai Liaoning yang merupakan kapal pengangkut pesawat pertama negara Asia itu. — DSA

Jom!!!! follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore
Comments
Loading...