Kereta Kebal Abrams Buatan Amerika Akan “Diburu” Sehabisnya – Komander Kereta Kebal Russia
Anggota-anggota tentera Russia yang ditemuramah oleh media pertahanan negara itu menyatakan keterujaan mereka untuk memulakan misi “memburu” kereta kebal Abrams, sebagaimana dilakukan mereka terhadap kereta kebal Leopard dan Challenger buatan Jerman dan Britain.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pengesahan bahawa kereta-kereta kebal Abrams telah pun tiba di Ukraine baru-baru ini telah disambut dengan baik oleh anggota tentera Russia yang menyatakan bahawa kereta kebal buatan Amerika Syarikat akan “diburu” sehabis-habisnya.
Anggota-anggota tentera Russia yang ditemuramah oleh media pertahanan negara itu menyatakan keterujaan mereka untuk memulakan misi “memburu” kereta kebal Abrams, sebagaimana dilakukan mereka terhadap kereta kebal Leopard dan Challenger buatan Jerman dan Britain.
Salah seorang komander battalion kereta kebal Russia Kapten Sambu Khutakov berkata maklumat tentang kehadiran 31 buah kereta kebal M1A1 Abrams di Ukraine telah menimbulkan perasaan teruja dikalangan anggota tentera Russia.
Sambu merupakan antara hero perang Russia dan telah dianugerahkan dengan beberapa pingat keberanian tentera negara itu.
“Krew-krew kereta kebal Russia yang ditempatkan di Rabotino sedang mempersiapkan diri mereka untuk memulakan usaha memburu kereta-kereta kebal Abrams buatan Amerika Syarikat itu, “ kata Khutakov.
Beliau telah berada di kawasan zon operasi tentera khas di Ukraine sejak awal tahun ini. Sebelum ini, beliau juga telah bertugas di Syria serta Nagorno-Karabakh.
Pada musim panas tahun ini, Khutakov dan anggotanya telah berjaya mematahkan serangan balas oleh anggota tentera Ukraine, sehingga menyebabkan kerajaan Russia menganugerahkan beberapa pingat keberanian tentera Russia.
Menurutnya, anggota tentera Russia memberikan perhatian khusus kepada setiap peralatan dan sistem ketenteraan Barat yang berada di Ukraine pada ketika ini.
“Anda tidak dapat bayangkan betapa seronoknya krew-krew kereta kebal kami apabila mereka menjadi krew kereta kebal Russia pertama yang berjaya memusnah atau menawan kereta kebal Leopard, (kereta perisai) Bradley atau kemungkinan menawan kereta kebal Abrams.”
“Kami semua sedang menunggu mereka (kereta kebal Barat),” kata beliau.
Khutakov berkata semangat anggotanya sedang berkobar-kobar untuk berhadapan dengan kereta kebal Abrams.
Baru-baru ini pihak tentera Ukraine mengesahkan bahawa kesemua 31 buah kereta kebal Abrams yang didermakan oleh Amerika Syarikat telah pun berada di Ukraine.
Bagaimanapun Kiev tidak memberitahu bila ia akan mengerah kereta-kereta kebal Abrams itu ke barisan hadapan untuk menyertai konflik di antara Ukraine dan Russia.
Namun, baru sahaja berada di bumi Ukraine, pegawai tentera Ukraine telah pun memberikan amaran bahawa kereta kebal buatan Amerika Syarikat yang memiliki berat 70 tan itu mungkin tidak akan “bertahan lama” di medan peperangan.
Apatah lagi, kereta kebal Abrams yang dibekalkan kepada Ukraine adalah varian M1A1 yang dianggap telah “berusia” serta tidak dilengkapi dengan armor “depleted uranium” serta kemampuan terhad berbanding varian terkininya, M1A2.
Sebagaimana yang dibuktikan di Iraq, kereta kebal M1A1 Abrams itu boleh ditewaskan oleh senjata-senjata anti-kereta kebal yang asas dan berusia.
Ketua Direktorat Perisikan Tentera Ukraine Lt Jen Kirill Budanov berkata, tempoh kereta kebal Abrams berada di medan peperangan di negara itu akan menjadi amat terhad sekiranya aset darat itu digunakan di barisan hadapan secara semberono.
Beliau sebaliknya mencadangkan kereta kebal Abrams itu digunakan dalam operasi-operasi terancang (well-planned) dan amat khusus (very-precise) bertujuan untuk memecah benteng pertahanan musuh.
Budanov juga mengatakan bahawa praktikaliti kereta kebal Abrams itu adalah amat terhad, disebabkan penggunaan berleluasa artilleri dan periuk api oleh tentera Russia di medan peperangan konflik Russia-Ukraine itu.
“Artilleri dan periuk api tentera Russia telah menurunkan potensi penggunaan aset-aset armor di kesemua sudut peperangan kepada tahap minimum,” kata pegawai perisikan paling kanan di dalam tentera Ukraine itu.
Pegawai-pegawai tentera Amerika Syarikat dan Barat menaruh harapan yang tinggi terhadap kemampuan kereta kebal Abrams dalam membantu Ukraine memecah benteng pertahanan tentera Russia dalam serangan balas ketika ini.
Bagaimanapun nasib yang menimpa kereta-kereta kebal Barat seperti Leopard 1 dan Challenger 2 ditangan tentera Russia baru-baru ini, membimbangkan pegawai tentera Amerika Syarikat bahawa kereta kebal Abrams itu akan menerima nasib yang sama.
Kereta IFV Bradley yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine juga menjadi mangsa di medan pertempuran, dengan penganalisis mengatakan sejumlah 80 buah kereta IFV Bradley telah berjaya dimusnahkan oleh tentera Russia setakat ini. — DSA
DEFENCE SECURITY ASIA APPS
To advertise contact admin: [email protected]
Comments are closed.