Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Dakwa Tembak Jatuh Tujuh Buah MiG-29 Milik Ukraine Dalam 24 Jam

Pihak Kementerian Pertahanan Russia tidak memberikan keterangan lanjut tentang dakwaan itu, namun pemerhati pertahanan menyatakan bahawa pesawat-pesawat MiG-29 Ukraine itu berkemungkinan besar telah menjadi mangsa kepada “serangan hendap” sistem pertahanan udara Russia.

0 1,285

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sistem pertahanan udara milik tentera Russia dilaporkan telah berjaya menembak jatuh tujuh buah pesawat pejuang MiG-29 Ukraine hanya di dalam tempoh 24 jam baru-baru ini.

Sekiranya kenyataan yang dibuat oleh Kementerian Pertahanan Russia itu terbukti benar, ia adalah suatu “berita yang amat buruk” kepada tentera Ukraine, memandangkan negara itu mempunyai jumlah pesawat pejuang yang sedikit.

Ukraine kini sedang menunggu “sumbangan” pesawat-pesawat pejuang F-16 terpakai daripada beberapa negara Eropah untuk menangani penguasaan ruang udara oleh tentera Russia.

“Hanya di dalam tempoh 24 jam,  sejumlah tujuh buah pesawat pejuang MiG-29 tentera Ukraine telah ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara Russia,” menurut kenyataan oleh Kementerian Pertahanan Russia sebagaimana dipetik oleh agensi berita negara itu, RIA Novosti.

Pihak Kementerian Pertahanan Russia tidak memberikan keterangan lanjut tentang dakwaan itu, namun pemerhati pertahanan menyatakan bahawa pesawat-pesawat MiG-29 Ukraine itu berkemungkinan besar telah menjadi mangsa kepada “serangan hendap” sistem pertahanan udara Russia.

HARM
Pesawat MiG-29 Ukraine dengan peluru berpandu anti-radiasi HARM Amerika.

 

“Juruterbang-juruterbang pesawat pejuang MiG-29 Ukraine itu berkemungkinan tidak menyedari serangan hendap sistem pertahanan udara Russia itu,” kata mereka dan menambah, juruterbang itu mungkin tidak menjangkakan kewujudan sistem pertahanan udara Russia di kawasan operasi mereka.

Menurut mereka, pesawat-pesawat pejuang MiG-29 Ukraine kerapkali terbang rendah untuk mengelak daripada dikesan oleh radar sistem pertahanan udara Russia dan hanya akan “naik ke atas” buat seketika untuk mengugurkan bom-bomnya.

Hanya apabila ia “naik ke atas” buat seketika, radar sistem pertahanan udara Russia akan mengesan pesawat pejuang Ukraine itu dan memberikan peluang kepada mereka untuk cuba menembaknya jatuh.

Pesawat-pesawat pejuang MiG-29 adalah antara pesawat utama Tentera Udara Ukraine bersama-sama Su-24, Su-27 dan Su-27.

Tentera Udara Ukraine menggunakan pesawat-pesawat MiG-29 miliknya untuk melancarkan peluru berpandu anti-radiasi HARM AGM-88 yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat untuk memusnahkan pusat-pusat radar dan sistem pertahanan udara Russia.

Pantsir
Sistem pertahanan udara Russia “Pantsir”

 

High Speed Anti-Radiation Missile (HARM) yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Amerika Syarikat, RTX (dahulu dikenali sebagai Raytheon) adalah peluru berpandu taktikal, udara-ke-darat yang mensasarkan sebarang transmisi elektronik daripada sistem-sistem pertahanan udara musuh.

Pesawat-pesawat MiG-29 Ukraine itu telah diubahsuai bagi membolehkannya melancarkan peluru berpandu buatan Amerika Syarikat.

Pada permulaan konflik di antara Ukraine dan Russia pada Februari tahun lepas, Ukraine dikatakan mempunyai 50 buah pesawat pejuang MiG-29 dan tambahan beberapa buah pesawat pejuang yang dikeluarkan daripada stor.

Beberapa negara Eropah yang masih menggunakan MiG-29 seperti Poland dan Slovakia juga telah mendermakan puluhan pesawat pejuang itu kepada Ukraine untuk digunakan oleh tentera udaranya dalam menentang Russia.

Menurut badan pemantau penggunaan senjata, Oryx, sejak bermulanya konflik dengan Russia Tentera Udara Ukraine dilaporkan telah kehilangan sebanyak 22 buah pesawat pejuang MiG-29. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...