Operasi Di Musim Luruh, Kereta Kebal Abrams Amerika Bakal Jadi “Lauk” Di Ukraine?
Musim luruh di Ukraine dengan kadar hujan yang tinggi akan menyebabkan kenderaan-kenderaan tentera terutamanya kereta kebal Barat yang memiliki berat lebih daripada 60 tan berhadapan dengan masalah untuk bergerak, sekaligus mengurangkan prestasi tempurnya.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Belum lagi tiba di bumi Ukraine, penganalisis ketenteraan antarabangsa sudah pun meramalkan 31 buah kereta kebal M1A1 Abrams yang didermakan oleh Amerika Syarikat bakal menjadi “lauk” kepada peluru-peluru berpandu anti-kereta kebal Russia terutamanya “Kornet.”
Apatah lagi, kereta-kereta kebal Abrams itu kini akan dihantar ke Ukraine lebih lewat daripada jangkaan sebelum ini, sekaligus menyebabkan ia bakal berhadapan dengan musim luruh dan seterusnya musim sejuk di negara Eropah Timur.
Spekulasi menyatakan Washington melengahkan penghantaran kereta kebal Abrams ke Ukraine bagi membolehkan ia memberikan lebih banyak latihan kepada anggota tentera Ukraine yang akan mengendalikannya, terutama selepas apa yang berlaku kepada kereta kebal kebanggaan Britain, Challenger 2 baru-baru ini.
Amerika tidak mahu Abrams menerima nasib yang sama sebagaimana Challenger 2 yang dimusnahkan oleh tentera Russia di wilayah Zaphorizia, selatan Ukraine.
Kereta-kereta kebal Abrams didermakan oleh Amerika Syarikat kini dijangka dihantar ke Ukraine pada akhir bulan ini atau awal bulan depan, hanya satu atau dua minggu sebelum negara itu memasuki musim luruh dan selepas itu musim sejuk.
Pada musim luruh, Ukraine akan mengalami peningkatan hujan yang tinggi dan ia bakal menyebabkan tanah di negara itu menjadi lembek dan berlumpur, seterusnya menyukarkan lagi kereta kebal seberat 67 tan seperti Abrams untuk beroperasi.
Pegawai-pegawai tentera Amerika Syarikat menyatakan bahawa tentera Ukraine hanya memiliki di antara 30 hingga 45 hari lagi untuk mencapai “sesuatu” dalam fasa serangan balasnya pada ketika ini, sebelum keadaan menjadi bertambah sukar apabila tibanya musim luruh dan musim sejuk.
Penganalisis tentera Barat menyatakan bahawa tanah Ukraine yang juga dikenali sebagai “Ukraine Black Earth” merupakan antara sebabnya mengapa ia melambatkan fasa serangan balasnya daripada musim bunga kepada musim panas.
Pada musim luruh, kenderaan-kenderaan tentera terutamanya kereta kebal Barat yang memiliki berat lebih daripada 60 tan akan berhadapan dengan masalah untuk bergerak, sekaligus mengurangkan prestasi tempurnya.
Ukraine dijangka berhadapan dengan kekurangan terutama membabitkan pergerakan anggota tenteranya yang terpaksa bergerak dengan pantas untuk menawan kedudukan tentera Russia, yang berada dalam keadaan bertahan.
Anggota tentera Russia sudah berbulan-bulan menyiapkan kubu-kubu pertahanan mereka dengan barisan periuk api yang sukar ditembusi oleh tentera Ukraine dan musim luruh dijangka akan memberikan kelebihan kepada Moscow.
Walaupun kereta kebal Abrams dilengkapi dengan enjin berkuasa tinggi dan sistem suspensi bagi membolehkan ia merentasi keadaan tanah berlumpur, tetapi tidak dapat dinafikan ia akan menjejaskan prestasi kereta kebal Abrams secara keseluruhan.
Pengurangan kelincahan dan kelajuan kereta kebal Abrams apabila berhadapan dengan keadaan tanah berlumpur apabila musim luruh bermula di Ukraine inilah yang memberikan peluang kepada tentera Russia untuk bertindak.
Bukan sahaja kelincahan dan kelajuan kereta kebal Abrams itu akan terjejas, tetapi lumpur juga akan menjejaskan lain-lain peralatan di kereta kebal itu seperti sensor dan optiknya, sekaligus menyukarkan lagi usahanya untuk mengesan dan membedil sasaran musuh.
Apa yang pasti menurut penganalisis ketenteraan Barat, walaupun kereta kebal seperti Abrams masih boleh beroperasi dalam keadaan tanah berlumpur tetapi prestasi keseluruhannya terutama dalam membedil sasaran musuh akan berkurangan.
Selain itu, beroperasi dalam keadaan berlumpur juga akan meningkat keperluan kereta kebal itu menjalani penyelenggaraan dan ini sudah pasti akan membebaskan aspek lojistik serta tahap kesiagaan kereta kebal itu.
Apatah lagi, kereta kebal Abrams itu memerlukan penyelenggaraan yang kerap oleh anggota-anggota yang terlatih.
Selain itu, laporan media Amerika Syarikat sendiri juga menyatakan bahawa Jabatan Pertahanan negara itu telah bertindak “menanggalkan” komponen-komponen sensitif daripada kereta kebal utama M1A1 Abrams sebelum kereta kebal itu dihantar ke Ukraine untuk berhadapan dengan tentera Russia.
Washington berbuat demikian bagi mengelak komponen-komponen senstitif itu jatuh ke tangan tentera Russia sekiranya kereta kebal M1A1 Abrams itu ditawan di medan konflik di Ukraine.
Menurut pegawai-pegawai tentera Amerika yang dipetik oleh akhbar USA Today berkata tindakan itu adalah untuk memastikan komponen sensitif milik kereta kebal utama Amerika Syarikat itu tidak dieksploitasi oleh pihak tentera Russia untuk kegunaan mereka pula.
Amerika pada mulanya bercadang menghantar kereta kebal M1A2 Abrams, tetapi menukar kepada varian M1A1 yang kurang canggih berbanding varian selepas itu. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]
Comments are closed.