Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Siapa” Sebenarnya Kendali Kereta Kebal Abrams Amerika Di Ukraine?

Banyak pihak menyatakan bahawa anggota tentera Ukraine belum cukup terlatih untuk mengendalikan kereta kebal Abrams dan tanggungjawab itu dipikul oleh "kontraktor-kontraktor pertahanan Barat" atau anggota tentera Amerika itu sendiri, suatu dakwaan yang serius.

14,910

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa pihak mula mempertikaikan sama ada anggota tentera Ukraine benar-benar berkemampuan untuk mengendalikan 31 buah kereta kebal M1A1 Abrams yang baru sahaja tiba di negara itu untuk menghadapi tentera Russia.

Ini kerana tentera Ukraine hanya diberikan latihan selama tiga bulan sahaja untuk mengendalikan kereta kebal itu berbanding lapan bulan yang sepatut mereka lalui, sebagaimana tempoh latihan oleh anggota tentera Amerika.

“Ia sepatutnya latihan selama lapan bulan, tetapi mereka mahukannya dalam 12 minggu (tiga bulan). Ia adalah suatu fantasi. Krew kereta kebal yang baik akan tahu tentang kereta kebal mereka daripada atas ke bawah, mereka sepatutnya mengetahui keseluruhan perkara mengenainya.”

“Anggota tentera Ukraine perlu mengetahui aspek kejuruteraan dan terminology ketenteraan dalam Bahasa Inggeris. Saya tidak rasa ramai di dalam tentera Ukraine. Segala-galanya dalam kereta kebal Abrams adalah di dalam Bahasa Inggeris termasuk arahan dan manual.”

“Halangan bahasa adalah amat besar,” kata pakar kereta kebal tentera Russia, Kolonel Bersara Viktor Litovkin.

Abrams

Sebab itulah beliau menjangkakan bahawa pihak sebenar yang mengendalikan kereta-kereta kebal Abrams itu adalah “kontraktor-kontraktor pertahanan” daripada yang mengendalikan kereta kebal buatan Amerika Syarikat itu dan bukannya tentera Ukraine.

Ini kerana tentera Poland telah pun mula mengendalikan kereta kebal Abrams sejak Julai lepas.

Sebelum ini banyak contoh-contoh dimana kontraktor-kontraktor Barat didapati mengendalikan sistem persenjataan buatan Barat ketika di medan pertempuran Russia-Ukraine, disebabkan tempoh yang terlalu suntuk untuk melatih anggota tentera Ukraine.

Antaranya adalah operator yang ditugaskan untuk mengendalikan sistem pertahanan Patriot di Kiev, yang disyaki adalah “kontraktor pertahanan Barat” atau anggota tentera Amerika Syarikat itu sendiri.

Pada akhir Mei lepas, Kor Sukarelawan Poland dikesan mengoperasikan kereta-kereta kebal dan perisai serta helikopter Mi-8 milik Ukraine di daerah Grayvoron di Russia.

Baru-baru ini, sekumpulan anggota tentera Russia mendakwa mereka telah berjaya memusnahkan sebuah kereta kebal Leopard yang dibekalkan oleh Jerman kepada tentera Ukraine dalam pertempuran di Wilayah Zaphorizia, selatan Ukraine.

Abrams

Apa yang memeranjatkan anggota tentera Russia itu adalah kesemua krew kereta kebal Leopard yang dimusnahkan oleh peluru berpandu anti-kereta kebal itu adalah anggota tentera Jerman atau lebih dikenali dengan panggilan “Bunderswehr.”

Dakwaan itu diceritakan oleh ketua kumpulan anti-kereta kebal tentera Russia yang dikenali dengan panggilan “Legend” kepada agensi berita Russia, Sputnik.

“Selepas memusnahkan kereta kebal Leopard itu dengan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal, kami bergerak ke arah kereta kebal itu.”

“Bagaimanapun kami melihat mekanik yang merupakan salah seorang krew kereta kebal Leopard masih hidup, walaupun beliau mengalami kecederaan yang amat parah. Apabila kami menghampiri mekanik itu beliau mula melaungkan ‘nicht schieben’ (yang bermaksud jangan tembak dalam bahasa Jerman).”

“Kesemua krew kereta kebal Leopard yang lain telah mati,” kata “Legend” kepada agensi berita itu.

Abrams

Mekanik kereta kebal Leopard yang mengalami kecederaan parah itu berulang-kali menyatakan bahawa beliau bukan anggota tentera upahan tetapi anggota tetap tentera Jerman, sama seperti krew kereta kebal Leopard yang terbunuh itu.

Ketika diberikan rawatan, mekanik kereta kebal Leopard itu memberitahu anggota tentera Russia nama brigednya dan lokasi penempatan mereka.

Walaupun cuba diselamatkan, namun anggota tentera Jerman yang bertindak sebagai mekanik kereta kebal Leopard itu menemui ajal ketika diberikan rawatan perubatan.

Jerman adalah di antara penyokong paling kuat kepada Ukraine dengan pelbagai bantuan kewangan dan persenjataan.

Antara sistem persenjataan utama sumbangan kerajaan Jerman kepada Ukraine adalah kereta kebal utama Leopard yang dbangunkan oleh syarikat Jerman,Rheinmetall. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact: [email protected]

 

 

Comments are closed.