Kerja Peningkatan Kemampuan A400M TUDM Dijangka Selesai Tahun 2027
Pada Mac lepas, syarikat Airbus dalam satu kenyataan berkata satu daripada empat buah pesawat pengangkut A400M TUDM telah pun selesai menjalani kerja-kerja peningkatan kemampuan dan pesawat itu telah pun “dipulangkan” semula kepada TUDM.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerja-kerja peningkatan kemampuan tiga buah pesawat pengangkut strategik Airbus A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027.
Perkara itu telah disahkan oleh Panglima TUDM Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dalam satu temuramah dengan majalah pertahanan berbahasa Inggeris tempatan bagi keluaran Mei-Jun tahun ini.
Pada Mac lepas, syarikat Airbus dalam satu kenyataan berkata satu daripada empat buah pesawat pengangkut A400M TUDM telah pun selesai menjalani kerja-kerja peningkatan kemampuan dan pesawat itu telah pun “dipulangkan” semula kepada TUDM.

Kerja-kerja peningkatan kemampuan pesawat pengangkut A400M TUDM itu telah dilakukan di kemudahan Airbus di Sevilla, Sepanyol.
Berikutan kerja-kerja peningkatan kemampuan itu, pesawat pengangkut A400M TUDM itu kini sudah mampu untuk melaksanakan tugas dan misi-misi baharu yang lebih mencabar seperti mengugurkan anggota payung terjun dan melakukan penerbangan aras rendah serta bekalan udara.
Mula berkhidmat dengan TUDM pada 2015, pesawat A400M telah mengubah operasi pengangkut udara penggunanya dengan memainkan peranan dalam perlaksanaan misi termasuk pengangkutan kargo dan anggota, misi kemanusiaan serta bencana dan pengangkutan peralatan berat,
Pesawat A400M itu juga memainkan peranan dalam strategi menangani pandemic COVID-19, pengangkutan perubatan selain operasi pengisian minyak udara-ke-udara.
TUDM merupakan pelanggan eksport pesawat pengangkut A400M yang pertama serta pelanggan A400M pertama di rantau Asia Pasifik.
Menurut laporan media sebelum ini, sebuah pesawat pengangkut A400 mampu mengugurkan kira-kira 116 orang anggota payung terjun menerusi kedua-dua pintunya di kedua-dua belah pesawat itu.
Bagi penerbangan aras rendah pula (Automatic Low Level Flight) pesawat A400 dilaporkan boleh terbang kira-kira 500 kaki daripada aras tanah.
Comments are closed.