Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Ukraine “Jual Semula” Senjata Diterima Mereka Di Pasaran Gelap?

Pada ketika ini, terdapat laporan mendakwa bahawa tentera Ukraine (mungkin membabitkan pasukan sukarela) telah menjual dua buah sistem roket lancaran berganda “HIMARS” buatan Amerika Syarikat kepada tentera Russia.

0 1,734

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Laporan daripada beberapa media alternatif  serta pegawai kanan Russia mendakwa beberapa jenis senjata yang “didermakan” oleh negara-negara Barat kepada tentera Ukraine untuk menentang Russia telah dijual semula sama ada kepada Russia atau pelanggan lain menerusi orang-orang tengah di pasaran gelap.

Walaupun dakwaan itu mula kedengaran di media-media alternatif tetapi ia telah disahkan oleh pegawai kanan Russia, Konstantin Gavrilov yang mengetuai pasukan rundingan negara itu pada persidangan kawalan senjata dan keselamatan di Vienna, Austria.

Beliau mendakwa senjata-senjata itu dijual di pasaran kepada pembeli-pembeli di Timur Tengah.

HIMARS
HIMARS

 

“Sememangnya terdapat bahaya bahawa senjata-senjata seperti MANPADS (Man-Portable Air Defence System), Javelin dan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal akan dijual ke seluruh dunia. Sudah terdapat bukti bahawa senjata-senjata ini telah pun dijual di pasaran gelap sehingga ke Syria.”

“Kita telah pun melihat rakaman video mengenai penjualan itu,” kata beliau.

Menurut laporan daripada syarikat perisikan komersial Israel, seorang penjual senjata Ukraine di pasaran gelap menawarkan penjualan senjata-senjata ringan,jaket kalis peluru dan bom tangan pada harga di antara US$1,000 (RM4,000) hingga US$3,600 (RM14,400).

Beliau menyatakan telah melakukan 34 penjualan setakat ini.

Sementara itu seorang bekas penasihat Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dikenali sebagai Karen Kwiatkowski dilaporkan berkata tentera Ukraine menjual semula senjata-senjata yang didermakan oleh negara-negara Barat kerana mereka “tidak tahu menggunakannya” dan adalah lebih untuk menjualnya bagi memperolehi keuntungan.

Javelin
Sistem peluru berpandu anti-kereta kebal “Javelin.”

 

Satu alasan yang lojik memandangkan Ukraine (sebelum ia berpaksikan kepada Barat) memang menggunakan senjata buatan Russia.

Malah-malah Ukraine suatu ketika dahulu menempatkan pelbagai kemudahan pembuatan senjata-senjata Russia daripada kapal-kapal perang kepada kereta kebal.

Terdapat juga pendapat bahawa Ukraine yang merupakan pusat penyeludupan senjata-senjata gelap sejak daripada dahulu lagi masih memainkan peranan itu pada ketika ini.

“Jika anda mempunyai wang tunai yang banyak, anda boleh mengarahkan pesawat-pesawat pengangkut Antonov untuk menghantar kargo senjata daripada Ukraine itu kemana sahaja di seluruh pelusuk dunia,” kata seorang pemerhati.

Antara peminat-peminat kepada senjata Ukraine di pasaran gelap pada ketika itu adalah diktator-diktator Afrika serta di Timur Tengah.

NLAW
Tentera Ukraine dengan NLAW

 

Jikalau dakwaan oleh media-media alternatif serta pegawai kanan Russia itu terbukti benar, ia adalah sesuatu perkara yang serius kerana ia membabitkan “pengaliran” teknologi persenjataan sensitif milik Barat kepada Russia.

Amerika Syarikat sebagaimana yang dijangkakan amat memandang berat terhadap laporan-laporan berkenaan penjualan senjata yang didermakannya serta sekutu lain kepada tentera Ukraine.

Pada ketika ini,terdapat juga laporan mendakwa bahawa tentera Ukraine (mungkin membabitkan pasukan sukarela) telah menjual dua buah sistem roket lancaran berganda “HIMARS”  (High Mobility Artillery Rocket System) buatan Amerika Syarikat kepada tentera Russia.

Russia dikatakan membayar US$1 juta (RM4 juta) bagi setiap satu sistem roket HIMARS, yang kononnya telah dibawa balik ke negara itu untuk tujuan “kajian” oleh pakar-pakar persenjataan negara itu.

CAESAR
Meriam CAESAR 155mm 52 cal dengan kenderaan 8×8.

 

Selain HIMARS, terdapat juga laporan bahawa penjenayah dalam tentera Ukraine turut menjual sistem meriam bergerak “CAESAR” buatan Perancis kepada tentera Russia yang kemudiannya membawa balik sistem itu ke Russia untuk tujuan “kajian.”

Sementara itu laporan daripada agensi kerajaan Ukraine menafikan laporan-laporan bahawa anggota tenteranya terlibat dalam penjualan senjata-senjata yang diterimanya daripada negara Barat itu.

Kiev mengatakan bahawa laporan itu merupakan sebahagian daripada propaganda Russia dan berita palsu yang disebarkan oleh negara itu.  — DSA

 

 

Comments
Loading...