Kapal-Kapal China Tinggalkan Perairan M’sia, Indonesia Menjelang Sidang Kemuncak ASEAN
Tindakan “Hai Yang Di Zhi 10” dan "Da Yang Hao" meninggalkan perairan Indonesia serta Malaysia (beberapa hari lepas) dipercayai berkait-rapat dengan Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung akhir bulan ini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal penyelidik China, “Hai Yang Di Zhi 10” dilaporkan telah meninggalkan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Indonesia di Laut Natuna, selepas menghabiskan masa berminggu-minggu di kawasan perairan terbabit.
Tindakan “Hai Yang Di Zhi 10” meninggalkan perairan Indonesia itu menyusul tindakan sama yang dilakukan oleh sebuah lagi kapal penyelidik China, “Da Yang Hao” yang keluar daripada perairan ZEE Malaysia beberapa hari lepas.
Kapal penyelidik “Da Yang Hao” turut menghabiskan masa berminggu-minggu di dalam perairan ZEE Malaysia di Sabah/Sarawak sambil dipantau oleh aset-aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Hanya selang beberapa hari, kedua-dua buah kapal penyelidik milik agensi kerajaan China bertindak meninggalkan perairan ZEE Malaysia dan Indonesia, seolah-olah ia adalah suatu tindakan terkoordinasi oleh kerajaan China. Mengapa?
Pemerhati hal ehwal Laut China Selatan mendakwa tindakan kedua-dua buah kapal penyelidik China itu meninggalkan perairan ZEE Malaysia dan Indonesia, sekaligus menamatkan pencerobohan mereka adalah suatu tindakan yang dirancang.
Ini kerana kedua-dua buah kapal penyelidik itu bukannya kembali ke tanah besar China, tetapi ia hanya belayar ke Kepulauan Spratly, berkemungkinan menuju ke salah sebuah “pulau buatan manusia” yang diduduki secara haram Beijing di kepulauan itu, untuk “resupply” dan berehat sementara.
China menurut pemerhati itu merancang pengunduran kedua-dua buah kapal penyelidik itu kerana ia tidak mahu “pencerobohan” mereka dijadikan isu panas pada Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung di Bandar Seri Begawan, Brunei pada hujung bulan ini.
Beijing mahu mengendurkan suhu yang panas berpunca daripada isu pencerobohan kapal-kapalnya di perairan ZEE Malaysia dan Indonesia.
Presiden Xi Jinping juga dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Asean itu dan ia sudah tentu ia adalah sesuatu yang “memalukan” secara diplomatik bagi Beijing jika ia menerima kritikan hebat daripada negara-negara ASEAN sendiri berhubung isu pencerobohan kapal-kapalnya.
Mungkin selepas berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN itu, China akan mengerah kembali kapal-kapal penyelidik itu ke perairan ZEE Malaysia dan Indonesia untuk meneruskan balik pencerobohan mereka.
Kapal penyelidik “Da Yang Hao” dan kapal pengawal pantai China mensasarkan aktiviti cari gali minyak dan gas di Lapangan Gas Asli Kasawari, di luar pantai Sarawak sebagai “sasarannya”.
Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah menjangkakan lebih banyak kapal-kapal China akan menceroboh kawasan perairan Malaysia selagi PETRONAS menjalankan kerja-kerja cari gali minyak dan gas di Lapangan Gas Asli Kasawari.
Malaysia,terutamanya, memandang berat isu pencerobohan kapal penyelidik China “Da Yang Hao” terhadap perairannya dan telah bertindak memanggil duta besar negara itu untuk menyampaikan bantahan terhadap pencerobohan kapalnya itu.
Ia adalah kali kedua dimana duta besar China dipanggil mengadap Kementerian Luar Malaysia tahun ini untuk menerima nota bantahan daripada Wisma Putra.
Kali pertama adalah pada bulan Jun lepas apabila duta besar China dipanggil untuk menerima bantahan Malaysia sejurus selepas 16 buah pesawat tentera China menceroboh Zon Maritim Malaysia (ZMM) dan terbang menghampiri kawasan pesisir pantai Sarawak.
Bagi Indonesia pula,ia mengambil pendekatan “berdiam diri” apabila kapal “Hai Yang Di Zhi 10” diiringi kapal pengawal pantai China menceroboh kawasan perairan ZEE miliknya di Laut Natuna dan mula menganggu kerja-kerja cari gali minyak dan gas di kawasan perairan itu.
Kapal-kapal milik China menjadikan pelantar minyak “Clyde Boudreaux” yang beroperasi di perairan ZEE Indonesia di Laut Natuna itu sebagai sasarannya.
Sebagaimana Malaysia, Jakarta turut mengerah kapal-kapal perang dan pengawal pantainya untuk memantau aktiviti pencerobohan kapal-kapal China itu.
Tetapi Indonesia tidak menghantar sebarang nota bantahan diplomatik terhadap tindakan China itu, berlainan daripada tindakan yang dilakukan oleh Kuala Lumpur.