Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Survey Kerajaan China “Ganggu” Blok Minyak, Gas Milik Indonesia di Laut Natuna

Blok Tuna sedang dioperasi oleh syarikat Harbour Energy terletak di dalam kawasan EEZ Indonesia, dengan 50 peratus daripada hak di blok itu adalah milik syarikat Russia, Zarubezhneft.

0 2,709

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah kapal survey milik kerajaan China, “Hai Yang Di Zhi 10” dikesan berada di kawasan cari gali minyak dan gas milik Indonesia dipanggil Blok Tuna yang terletak di Laut Natuna.

Blok Tuna sedang dioperasi oleh syarikat Harbour Energy terletak di dalam kawasan EEZ Indonesia, dengan 50 peratus daripada hak di blok itu adalah milik syarikat Russia, Zarubezhneft.

Pemerhati serantau menyatakan kehadiran kapal “Hai Yang Di Zhi 10” itu berhampiran dengan Blok Tuna di dalam perairan EEZ Indonesia merupakan suatu tindakan mencabar kedaulatan Jakarta terhadap kawasan perairan di Laut Natuna, yang merupakan sebahagian daripada Laut China Selatan.

Ia sekaligus mengheret sekali Indonesia ke dalam pertikaian di Laut China Selatan, yang sebelum ini hanya membabitkan beberapa negeri serantau seperti Malaysia, Vietnam dan Filipina, selain kuasa besar Amerika Syarikat.

Nampaknya, China secara tidak langsung mengatakan bahawa Blok Tuna itu termasuk di dalam garisan “Nine Dash Line” dan adalah menjadi miliknya.

Kredit Duan Dang

 

Sebagai tindak balas, kerajaan Indonesia diberitakan telah menghantar sebuah kapal perang ke kawasan perairan berhampiran Blok Tuna itu untuk memantau kehadiran kapal survey China yang terlibat dengan kerja-kerja explorasi minyak dan gas.

Pada 20 Ogos lalu, kerajaan China juga dilaporkan telah mengerahkan sebuah kapal pengawal pantainya dikenalpasti “Haijing 5202” untuk menghampiri drillship “Noble Clyde Boudreaux” yang sedang beroperasi di Blok Tuna itu.

Pada ketika itu, Indonesia turut menghantar kapal perangnya ke kawasan yang kaya dengan minyak dan gas itu untuk memantau pergerakan kapal pengawal pantai China itu.

“Kapal pengawal pantai Haijing 5202 dilaporkan berada tiga batu nautika daripada lokasi pengerudian itu. Pihak berkuasa Indonesia bertindak balas dengan menghantar sebuah kapal tentera lautnya, korvet KRI John Lie untuk ‘shadow’ kapal pengawal pantai China itu,” menurut laporan portal tenaga antarabangsa.

Clyde Boudreaux
“Clyde Boudreaux”

 

Dakwaan pemilikan China terhadap 90 peratus daripada Laut China Selatan yang kaya dengan pelbaga sumber asli dan penting untu perdagangan dunia itu tidak pernah diperakui oleh masyarakat antarabangsa dan United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS).

Blok Tuna itu terletak hanya kira-kira 10 batu nautika daripada sempadan laut Indonesia dan Vietnam.

Apa yang menarik dengan apa yang sedang berlaku di Blok Tuna adalah ketegasan China menghantar kapal-kapal pengawal pantainya walaupun ia melibatkan syarikat Russia dan berkemungkinan tindakannya itu boleh menyebabkan ketegangan hubungannya dengan Moscow.

Russia dan China mempunyai hubungan strategik yang amat baik, tetapi ia tidak menghalang Beijing daripada “menganggu” pelaburan minyak dan gas negara itu di Laut China Selatan.

Tahun lepas, akibat daripada tekanan daripada China, syarikat minyak dan gas Russia iaitu Rosneft juga terpaksa membatalkan kerja-kerja pengalian minyak di Blok 06-01 di luar pantai Vietnam.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...