Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

TUDM Kesan “Penerbangan Mencurigakan” 16 Pesawat Tentera China Yang Ancam Kedaulatan

Penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.

0 2,459

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengesan “penerbangan mencurigakan” 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China/ People’s Liberation Army- Air Force (PLAAF) memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional pada 31 Mei 2021.

Penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.

“Pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain. Formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar. “

“Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” menurut TUDM dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata, pesawat-pesawat tentera udara China itu telah dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang udara ZMM, KK FIR.

TUDMIa seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.

Pihak TUDM telah meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan di dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM.

Pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat-pesawat tersebut disamping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara KK FIR.

Apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan KK FIR menghala ke ruang udara nasional, TUDM telah melancarkan pesawat-pesawat pemintas pada jam 1333H untuk melakukan identifikasi visual.

“Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM telah mengenalpasti pesawat-pesawat tersebut adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20. Pesawat-pesawat jenis ini merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi,” kata TUDM.

Luconia Shoals
Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals)

 

“Insiden ini merupakan perkara yang serius terhadap ancaman KEDAULATAN NEGARA dan KESELAMATAN PENERBANGAN berdasarkan kepadatan trafik udara di dalam laluan penerbangan (Airways) di dalam KK FIR.”

“Insiden ini telah dikendalikan oleh TUDM khasnya dan ATM amnya berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa International Civil Aviation Organization (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN),” katanya.

TUDM juga berkata, Kementerian Luar Negeri telah mengambil maklum tentang perkara ini melalui Kementerian Pertahanan.

TUDM
Satu lagi pesawat tentera China yang dipintas oleh pesawat TUDM. (kredit TUDM)

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...