Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tender Meriam 155mm Beroda Untuk Tentera Darat Dibuka Tidak Lama Lagi

Syarikat-syarikat asing dan rakan-rakan tempatan dikatakan sedang bersiap-sedia untuk memasuki tender terbabit yang sedang digembar-gemburkan bakal diiklankan tidak lama lagi.

0 7,473

(DEFENCE SECURITY ASIA) —  Kementerian Pertahanan dijangka mengeluarkan tender perolehan meriam bergerak beroda (wheeled self-propelled howitzer) tidak lama lagi untuk memenuhi keperluan  unit-unit mekanis Tentera Darat.

Syarikat-syarikat asing dan rakan-rakan tempatan dikatakan sedang bersiap-sedia untuk memasuki tender terbabit yang sedang digembar-gemburkan bakal diiklankan tidak lama lagi, sebagaimana diperkatakan oleh komuniti pertahanan tempatan.

Tender untuk wheeled self-propelled howitzer itu dikatakan sepatutnya diiklankan pada bulan Jun lepas tetapi ditangguhkan ke awal bulan ini, di mana ia tidak juga muncul.

Sebenarnya, khabar tentang tender bagi wheeled self-propelled howitzer ini telah lama berkumandang, sekurang-kurang lebih daripada 10 tahun, lama sebelum Indonesia mahupun Thailand memiliki meriam jenis itu.

Tetapi khabar bertiup kencang bahawa tender bagi meriam terbabit akan diiklankan tidak lama lagi (within months) dengan banyak “petanda-petanda” telah muncul.

caesar
Sistem Caesar 155mm oleh syarikat Nexter Systems.

 

Antara tanda-tanda itu adalah “kemunculan” ejen-ejen tempatan menandatangani MoU dengan syarikat pembuat meriam antarabangsa, dengan tujuan utama untuk memasuki persaingan bagi merebut kontrak daripada Tentera Darat itu.

Tentera Darat mempunyai keperluan sehingga 36 buah meriam bergerak beroda untuk memenuhi keperluan unit-unit mekanis Tentera Darat, tetapi terdapat juga spekulasi hanya 18 buah meriam sedemikian akan dipesan oleh tentera darat.

Pengurangan meriam bergerak beroda daripada 36 buah kepada 18 buah berkemungkinan berpunca daripada keadaan ekonomi terkini negara yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 sejak dua tahun lepas.

Bagaimanapun, terdapat kemungkinan bahawa 18 buah akan dibeli pada Rancangan Malaysia ke-12 di bawah peringkat pertama manakala tambahan 18 buah lagi lagi akan dibeli pada peringkat kedua dalam rancangan lima tahun yang seterusnya, membawa keseluruhannya kepada 36 buah juga.

Ia adalah lebih kurang sama dalam program perolehan pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) untuk TUDM dengan 18 buah pesawat dibeli pada RMK-12, manakala tambahan 18 buah lagi pada RMK-13.

Antara yang bakal memasuki tender itu adalah meriam SPH beroda “Caesar” 155mm 52-cal yang dibangunkan oleh syarikat Nexter Systems (dahulu dikenali dengan nama GIAT) yang berpangkalan di Perancis.

Archer
Sistem “Archer” oleh BAE Systems.

 

Sememangnya dan sepatutnya, “Caesar” ini menjadi frontrunner kerana ia telah pun diuji oleh tim penilai Tentera Darat selama beberapa tahun lamanya, meliputi keseluruhan kawasan di Semenanjung Malaysia.

Komitmen Nexter System terhadap jangkaan kontrak daripada Malaysia ini memang perlu dipuji, ditambah pula ia telah menjalin kerjasama dengan syarikat tempatan dalam memasang meriam LG1 105mm MKIII yang kini digunakan oleh Briged Para.

Jikalau Caesar 155mm itu berjaya dalam persaingan di Malaysia, terdapat kemungkinan meriam itu akan dipasang di kemudahan pemasangan yang dimiliki oleh rakan tempatannya itu.

Selain itu meriam-meriam SPH beroda yang dijangka menyertai persaingan Kementerian Pertahanan itu adalah “Archer” mobile howitzer system 155mm 52-cal yang dibangunkan oleh syarikat BAE Systems.

Antara kelebihan sistem ini,ia boleh diangkut oleh pesawat pengangkut strategik A400M Atlas sebagaimana yang dimiliki oleh TUDM, memudahkan ia untuk diaturgerak ke mana-mana lokasi di Malaysia.

Sebagaimana yang kita tahu, BAE System juga telah lama bertapak di Malaysia dan mempunyai hubungan baik dengan Kementerian Pertahanan.

meriam
SPH beroda SH-15 155m yang dibangunkan oleh firma pertahanan China, NORINCO.

 

Selain itu, meriam bergerak beroda “Yavuv” yang dibangunkan oleh firma pertahanan Turki, MKEK dan “T5” oleh syarikat pertahanan Afrika Selatan, Denel juga dijangka bersaing dalam tender yang bakal dibuka oleh Kementerian Pertahanan.

Meriam-meriam lain adalah NORA B-52 K1 155mm yang dibangunkan oleh syarikat Yugoimport SDPR J.P dan ZUZANA 2 155mm yang dibangunkan oleh syarikat KONŠTRUKTA-Defence dan ZTS – ŠPECIÁL daripada Republik Slovak.

Satu lagi meriam adalah, meriam SPH beroda SH-15 155m yang dibangunkan oleh firma pertahanan China, NORINCO.

Ok,di antara banyak-banyak meriam SPH ini, apakah pilihan Malaysia.

MKE Yavuv
Sistem “MKE Yavuv” 155mm 52 Cal buatan syarikat MKE daripada Turki.

 

 

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...