TLDM Tauliah Kapal LMS Miliknya Yang Ketiga, “KD Badik”
Panglima TLDM Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata penempatan keempat-empat kapal LMS negara di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, yang berdepan dengan Laut China Selatan adalah untuk berhadapan dengan "ancaman mendatang,"
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini mentauliahkan kapal Littoral Mission Ship (LMS) miliknya yang ketiga, KD Badik di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di sini, hari ini, dengan kapal LMS yang keempat dan terakhir dinamakan “Rencong” dijangka diterima pada Disember ini.
Upacara pentauliahan KD Badik itu dilakukan oleh Panglima TLDM sendiri Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.
KD Badik bernaung di bawah Markas Pemerintahan Armada Timur dan diletakkan di bawah Skuadron LMS ke-11 TLDM di pangkalan tersebut bersama dua lagi kapal LMS negara iaitu KD Keris dan KD Sundang.
Kapal LMS TLDM yang ketiga itu mula dibina pada 18 Sept 2019 di China dan diserah kepada Kerajaan Malaysia pada 14 Sept 2021.
Kehadiran KD Badik akan meningkatkan kemampuan armada TLDM dalam memelihara kedaulatan maritim negara, terutamanya apabila berhadapan dengan pencerobohan oleh kapal-kapal milik China di kawasan perairan milik negara di Laut China Selatan.
Malaysia memperolehi empat buah kapal LMS yang dibina secara bersama antara Boustead Naval Shipyard (BNS) dan China Shipbuilding and Offshore Corporation (CSOC) di Wuchang Shipyard di Qidong, China.
Kapal LMS keempat itu dinamakan Rencong.
“Kapal LMS ini dilihat lebih sesuai beroperasi di perairan ini (perairan Markas Pemerintahan Armada Timur) dan kapal LMS ini memenuhi tugasan diperlukan TLDM, selain tiga ini kita ada satu lagi kapal LMS dijadual terima Disember ini.
“LMS keempat ini telah siap, kita sedang lakukan latihan dan selepas habis latihan kita bawa balik, kapal itu kita akan namakan Rencong, nama kapal ini juga kapal yang telah dilucut tauliah seperti Badik, Rencong kita guna semula bagi mengingati jasa kapal itu.”
— Panglima TLDM Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.
Kapal LMS TLDM, KD BADIK telah tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 25 Sept yang lalu selepas menempuh pelayaran selama tujuh hari dan sejauh 1,836 batu nautika daripada Qidong, China.
Nama BADIK melambangkan simbol semangat kepahlawanan, perjuangan, keberanian dan kekuatan dalam menentang serta menangkis serangan musuh.
Selain itu, BADIK juga adalah bersempena dengan nama sebuah kapal ronda Kelas KERIS yang telah dilucut tauliah pada tahun 2005.
Panglima TLDM juga ditanya tentang keperluan strategik meletak skuadron kapal LMS itu di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dan bukan di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.
Mohd Reza berkata ia adalah sebahagian daripada persediaan TLDM untuk berhadapan dengan ancaman mendatang.
“Ancaman itu kita kena bersedia, sepanjang masa kena bersedia, mana ada negara yang tidak bersedia menghadapi ancaman, saya tidak bolehlah nyatakan apa ancaman itu tetapi ancaman itu boleh datang bila-bila masa, sama ada ancaman kita tahu atau tidak tahu,” katanya.
Mohd Reza juga berkata, selain kapal LMS, TLDM juga dijadualkan menerima dua buah Helikopter Operasi Maritim (HOM) jenis AW139 awal tahun depan.
Kedua-dua buah helikopter itu akan ditempatkan di Pangkalan TLDM Kota KInabalu bagi membantu operasi TLDM di kawasan tersebut.
SPESIFIKASI KD BADIK :
Jenis: Kapal Misi Persisir (LMS) (ENG: Littoral Mission Ship)
Persenjataan: 30MM Naval Gun dan dua CS/LM6 Heavy Machine Guns.
Panjang: 68 meter
Lebar: 9.2 meter
Kedalaman: 2.66 meter
Sesaran: 691 tan
Kelajuan maksimum: 22 knots
Kekuatan petugas: tujuh pegawai, 40 anggota lain-lain pangkat.
Jarak operasi: 2,000 batu nautika dengan kelajuan 16 knots