Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Skuadron Jet Pejuang Apa Nak Di Letak Di “Bare Bone Base” TUDM Di Bintulu, Sarawak?

Apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh kerajaan apabila ia mengumumkan pembinaan Pangkalan Udara "Bare Bone Base" di Bintulu, Sarawak, bila pembinaannya dilaksanakan dan apa aset tentera yang akan ditempatkan di situ?

0 13,401

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerajaan persekutuan atau Kementerian Pertahanan diminta memperincikan cadangannya untuk mewujudkan Pangkalan Udara “Bare Bone Base” di Bintulu, Sarawak sebagaimana diumumkan pada pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) baru-baru ini.

Anggota Parlimen Hulu Langat Datuk Hasanuddin Yunus (PH-Hulu Langat) dalam ucapannya di Parlimen hari ini berkata, pengumuman mengenai pembinaan pangkalan udara TUDM itu Bintulu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 Sept lepas gagal menyertakan sebarang perincian.

“Tiada perincian skuadron pesawat pejuang apakah yang akan beroperasi di pangkalan udara “Bare Bone Base” TUDM di Bintulu.”
“Adakah, akan ada skuadron pesawat pejuang baru yang bakal beroperasi di pangkalan udara di Bintulu atau adakah pangkalan udara itu terpaksa bergantung dengan pesawat-pesawat pejuang yang ada di (pangkalan udara) Labuan” katanya hari ini.

Dibawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kerajaan akan membina sebuah pangkalan udara bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Bintulu, Sarawak, berhadapan dengan perairan Laut China Selatan dan lapangan-lapangan minyak dan gas milik negara.

TUDM
Pesawat Su-30MKM TUDM (Gambar kredit TUDM)

 

Dengan adanya pangkalan TUDM di Bintulu itu, ia akan memudahkan lagi pesawat-pesawat TUDM (sama ada pesawat pejuang atau Maritime Patrol Aircraft) untuk melakukan pemantauan di kawasan-kawasan seperti Beting Patinggi AliJames Shoal dan lain-lain yang kerap dicerobohi oleh kapal-kapal pengawal pantai China.

Menurut anggota parlimen Hulu Langat itu lagi, ruang udara di Sabah dan Sarawak adalah luas berbanding ruang udara di Semenanjung Malaysia.

Keluasan ruang udara di Sabah dan Sarawak sebenarnya, mendedahkannya kepada kemungkinan yang lebih tinggi terhadap pencerobohan-pencerobohan oleh pesawat-pesawat asing.

“Ruang udara di Sabah dan Sarawak adalah lebih luas berbanding ruang udara di Semenanjung Malaysia dan sebenarnya adalah lebih mudah dibolosi musuh kerana (negara) tidak cukup jet pejuang untuk mengawalnya,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyentuh keputusan Kementerian Pertahanan untuk menamatkan perkhidmatan tujuh buah pesawat latihan lanjutan Aermacchi MB339 CM dan menggantikannya dengan pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA).

Anggota Parlimen itu mempersoalkan sama ada penamatan perkhidmatan lebih awal pesawat latihan lanjutan Aermacchi MB339CM itu merupakan suatu pembaziran?

“Jet pejuang (latihan lanjutan) Aermacchi MB339CM  yang diperolehi pada 2009 sepatutnya ditamatkan perkhidmatannya pada 2028, panjang lagi (tempohnya), tetapi terpaksa ditamatkan perkhidmatannya  lebih awal. Adakah ini suatu pembaziran wang rakyat?

TUDM
Salah sebuah pesawat China yang dipintas oleh TUDM di Zon Maritim Malaysia beberapa bulan lepas. (kredit TUDM)

 

Menurut Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz ketujuh-tujuh pesawat Aermacchi MB-339CM milik TUDM bakal digantikan dengan pesawat yang mempunyai keupayaan dwifungsi iaitu sebagai pesawat latihan lanjutan atau “Fighter Lead-In Trainer” dan pesawat tempur ringan “Light Combat Aircraft” (FLIT/LCA).

Beliau berkata pesawat Aermacchi MB-339CM itu memasuki perkhidmatan TUDM pada 2009 tetapi kini digantung operasinya sejak 2018 berikutan kemalangan dialami pesawat latihan itu di Kuantan, Pahang dan beberapa masalah teknikal berkaitan enjin pesawat itu.

“Berdasarkan tempoh hayat ekonomi pesawat pejuang dan Pelan Rancangan Pembangunan Keupayaan TUDM, pesawat ini (Aermacchi MB-339) dirancang ditamatkan pengoperasian pada 2028.
“Perolehan pesawat baharu yang berupaya melaksanakan dwifungsi bukan sahaja mampu memberi pulangan penjimatan kepada kewangan kerajaan, malah turut meningkatkan keupayaan pertahanan negara,” kata Ikmal Hisham.

Sementara itu, Hasanuddin juga membangkitkan persoalan tentang cadangan untuk mewujudkan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Bintulu, memandangkan kehadirannnya amat penting dalam membendung pencerobohan kapal-kapal asing di perairan Sarawak dan Sabah.

Beliau meminta kerajaan memaklumkan status terkini tentang MAWILLA 4 itu.

“Sebelum PKP, isu mengenai pencerobohan kapal-kapal asing ke perairan negara ini telah dilaporkan oleh nelayan dan pekerja-pekerja pelantar minyak, habis semua hasil laut negara dijarah, ikan-ikan kita dicuri sewenang-wenangnya,” kata beliau.

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...