Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

PETRONAS Temui Gas di Telaga Kulintang-1, Blok SK438

Telaga Kulintang-1 berjaya digerudi sehingga kedalaman 2,238 meter pada April 2021.

0 973

(DEFENCE SECURITY ASIA) —  Syarikat minyak dan gas negara, Petronas Nasional Bhd (Petronas) mengumumkan penemuan gas di telaga cari gali ‘wildcat’ Kulintang-1, Blok SK438, yang terletak di perairan cetek daerah kecil Balingian, kira-kira 230 kilometer dari pesisir Miri, Sarawak.

Telaga Kulintang-1 berjaya digerudi sehingga kedalaman 2,238 meter pada April 2021.

Gas itu ditemui dalam takungan batu pasir era Oligosen hingga Pertengahan Miosen, yang belum dinilaikan sepenuhnya sebelum ini, menurut Petronas hari ini.

Telaga ‘wildcat’ bermaksud yang belum terbukti wujudnya minyak atau dieksploitasi sepenuhnya dan tidak mempunyai rekod pengeluaran kukuh atau telah dieksploitasikan sepenuhnya sebelum itu sebagai tapak pengeluaran minyak dan gas.

PTTEP HK Offshore Ltd merupakan pengendali bagi Blok SK438 dengan kepentingan penyertaan sebanyak 80 peratus manakala Petronas Carigali Sdn Bhd memiliki baki 20 peratus.

Kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) bagi blok itu diberikan pada Mac 2018 susulan Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) 2017.

Petronas

Blok SK438 ini terletak berhampiran dengan blok-blok yang lain termasuk SK405, SK309, SK311 dan SK314A semuanya dioperasikan oleh PTTEP.

Ia adalah tahun yang berjaya bagi syarikat minyak dan gas Thailand apabila pada Februari lepas, ia mengumumkan penemuan gas di telaga explorasi, Dokong-1 yang terletak di Blok SK417, juga di negeri Sarawak.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, Petronas, Mohamed Firouz Asnan berkata kejayaan telaga Kulintang-1 menandakan penemuan gas kedua dalam daerah Balingian tahun ini.

“Hasil memberangsangkan ini membuktikan potensi seterusnya bagi gas asli yang mengandungi peratusan kecil atau tiada langsung kandungan hidrogen sulfida di daerah ini, terutama dalam keadaan geologi Oligosen yang lebih dalam,” katanya.

Beliau berkata penemuan gas itu boleh menjana perolehan menerusi infrastruktur sedia ada bagi memenuhi permintaan pelanggan gas domestik, serta Kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak.

Pada Mac tahun ini, Petronas mengumumkan satu penemuan minyak dan gas baharu di telaga cari gali ‘wildcat’ Sirung-1 dalam Blok SK405B, juga terletak dalam perairan cetek Balingian.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...