Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

ESCOMM Mahu Tambah “Kekuatan” Di Pantai Timur Sabah, Tangani Ancaman

Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, cadangan itu bertujuan memastikan tahap keselamatan di kawasan daratan serta perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), sentiasa pada tahap tertinggi seterusnya mengelakkan ia daripada dicerobohi penjenayah rentas sempadan.

0 1,233

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan, untuk menambah satu batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) di Lahad Datu, selain satu trup komando VAT69 dan Unit Tindakan Khas (UTK) bagi Sandakan serta Semporna.

Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, cadangan itu bertujuan memastikan tahap keselamatan di kawasan daratan serta perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), sentiasa pada tahap tertinggi seterusnya mengelakkan ia daripada dicerobohi penjenayah rentas sempadan.

“Untuk PGA ini, kita rancang dijadikan dua briged iaitu Briged Timur ESSCom di Lahad Datu dan Briged Barat di Kota Kinabalu, yang mana setiap briged mempunyai tiga batalion di bawahnya.

“Perkara ini kita sudah kemukakan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan, kerana perairan ESSZone boleh ditembusi dengan jangka masa antara 20 hingga 30 minit dari Indonesia atau Filipina,” katanya.

Selain itu, Ahmad Fuad berkata kawalan keselamatan di ESSZone juga perlu diperkukuhkan dengan penambahan radar berteknologi tinggi, aset bot bagi Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, serta penambahan pos kawalan keselamatan air di barisan hadapan.

ESSCOM
Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman

“Ancaman itu sentiasa ada, sebab itu ‘pagar’ di ESSZone perlu sentiasa diperkukuhkan, kerana ia berjiran dengan beberapa negara termasuk Indonesia dan ini perlu dipandang serius.

“Misalnya berlaku jenayah di Kandoangan dan Simanggaris di Kalimantan, Indonesia maka jenayah berpotensi lebih serius di kawasan darat yang terletak bersempadan, iaitu daerah Kalabakan seterusnya merebak ke Nabawan serta Long Pasia, Sipitang,” katanya.

Selain itu, Ahmad Fuad juga berkata kerjasama antara ESSCom dengan Filipina dan Indonesia berkaitan perisikan sangat membantu, kepada usaha menangani pelbagai ancaman jenayah rentas sempadan seperti penculikan untuk wang tebusan (KFR), serta penyeludupan dadah.

“Perkongsian maklumat risikan antara pegawai risikan membolehkan pemantauan elemen KFR, dan seterusnya pintasan di laut dapat dilakukan secepat mungkin, selain mengekang kes-kes penyeludupan dadah,” katanya.

Lima anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf yang berpengkalan di selatan Filipina mati ditembak oleh Polis Sabah dalam satu operasi khas, di sebuah kawasan setinggan paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort pada pukul 11.27 pagi dua hari lepas.

Mabar Binda, dikenalpasti oleh polis sebagai “sub-leader” kumpulan Abu Sayyaf yang berjaya ditembak mati di Beaufort dua hari lepas.

 

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, empat dari yang ditembak mati itu dikenali sebagai Mabar Binda, Abhirsham Samsula@Samseed, Jurakhdam Binda dan Alsimar Sukarno, manakala seorang lagi masih belum dikenal pasti namanya.

Semuanya yang warga Filipina berumur di antara 20an hingga 40an.

Beliau berkata, Mabar Binda yang ditembak mati pagi semalam itu  adalah ‘sub leader’ kumpulan pengganas itu dan berada dalam senarai dikehendaki oleh pasukan keselamatan Filipina.

DEFENCE SECURITY ASIA/BERNAMA

Comments
Loading...