Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Hamas Lancar Serangan Roket Terhadap Reaktor Nuklear Israel Di Dimona

Briged Al-Qassam, Hamas dipercayai bertanggungjawab terhadap serangan roket ke bandar Dimona, yang merupakan sasaran strategik kerana ia menempatkan pusat kajian teknologi Israel.

0 6,497

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pejuang-pejuang Palestin telah melancarkan kira-kira 15 roket ke arah bandar Dimona, yang menempatkan rektor nuklear Israel dan segala kemudahan kajian teknologi senjata nuklear negara itu.

Briged Al-Qassam, Hamas dipercayai bertanggungjawab terhadap serangan roket ke bandar Dimona, yang merupakan satu sasaran strategik dan berprestij tinggi.

Pusat kajian teknologi Israel di Dimona itu dikenali dengan nama “Shimon Peres Negev Nuclear Research Centre” yang turut dikenali dengan nama ringkasnya “Dimona Reactor.”

Shimon Peres adalah bekas Perdana Menteri dan Presiden Israel.

Israel dipercayai memiliki kira-kira 200 peluru berpandu yang dilengkapi dengan kepala peledak nuklear, tetapi tidak pernah mengesahkannya atau menafikannya apabila disoal oleh masyarakat antarabangsa.

Dimona

Sebaik sahaja roket-roket Hamas terbabit dilancarkan ke bandar Dimona, siren amaran telah kedengaran bagi memberi amaran terhadap bahaya serangan roket itu.

Sistem pertahanan udara “Iron Dome” juga telah diaktifkan bagi menangkis serangan roket terhadap Dimona.

“Siren amaran tentang serangan roket kedengaran di bandar-bandar termasuk Ashkelon, Ashdod sehinggalah Yavne yang terletak di utara Semenanjung Gaza serta di Beersheba dan Dimona yang terletak di bahagian barat Gaza,” menurut kenyataan pasukan keselamatan Israel.

Sehingga kini tiada laporan mengenai kecederaan atau kematian kesan daripada serangan roket terbabit.

Bagaimanapun, kedengaran beberapa letupan dipercayai akibat pintasan sistem pertahanan udara “Iron Dome” terhadap roket-roket yang dilancarkan oleh pejuang-pejuang Palestin itu.

Serangan roket Hamas terhadap Dimona yang menempatkan pusat nuklear itu disifatkan sebagai satu lagi peningkatan kemampuan roket oleh pejuang-pejuang Palestin.

Iron Dome
Sistem pertahanan udara “Iron Dome”

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...