Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pejuang Palestin Teruskan Serangan Roket Ke Bandar-Bandar Israel, 180 Bedilan Roket Dilancar

Semalam, pejuang-pejuang Palestin telah melancarkan kira-kira 180 bedilan roket terhadap bandar-bandar Israel, mengorbankan seorang dan mencederakan beberapa yang lain selain menyebabkan kerosakan yang teruk terhadap infrastruktur.

0 3,174

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun berhadapan dengan serangan udara yang hebat daripada tentera udara Israel semalam, pejuang-pejuang Palestin tetap meneruskan serangan roket mereka terhadap bandar-bandar utama Israel termasuk Tel Aviv.

Semalam, pejuang-pejuang Palestin telah melancarkan kira-kira 180 bedilan roket terhadap bandar-bandar Israel, mengorbankan seorang dan mencederakan beberapa yang lain selain menyebabkan kerosakan yang teruk terhadap infrastruktur.

Sejak konflik di Semenanjung Gaza ini bermula tiga hari lepas, pejuang-pejuang Palestin telah melancarkan lebih daripada 1,500 bedilan roket terhadap bandar-bandar Israel termasuk Tel Aviv, Ashkelon, Sderot dan lain-lain, menyebabkan kerosakan teruk terhadap beberapa bahagian bandar.

Pada konflik 2014, pejuang Palestin telah melancarkan kira-kira 4,000 roket ke bandar-bandar Israel dalam tempoh dua bulan.

Bagaimanapun sebahagian besar daripada serangan roket daripada Gaza sepanjang konflik kali ini iaitu kira-kira di antara 85 peratus hingga 90 peratus berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara “Iron Dome”, tetapi sistem itu juga mempunyai hadnya terutama dalam berhadapan “saturation strikes.”

Sderot
Salah sebuah apartment di Sderot yang terkena serangan roket dari Gaza semalam.

 

Dan semalam, bandar Ashkelon dan Sderot menerima kesan yang teruk apabila berbelas-belas roket yang dilancarkan oleh pejuang Palestin daripada Gaza itu gagal dipintas oleh sistem pertahanan Iron Dome dan menghentam bandar-bandar terbabit.

Di Sderot, satu roket mengenai tepat sebuah apartment menyebabkan serong kanak-kanak berusia enam tahun terbunuh manakala ibunya serta anggota keluarga yang lain cedera parah.

Sejak konflik berlaku tiga hari lepas, tujuh telah terbunuh akibat serangan roket terdiri daripada lima penduduk Israel, seorang wanita warga India dan seorang anggota tentera yang terbunuh akibat serangan peluru berpandu anti-kereta kebal “Kornet” di sempadan Gaza-Israel.

Anggota tentera itu, Staff Sgt Omer Tabib, 21 daripada Nahal Brigade terbunuh selepas kenderaan dinaikinya bersama-sama tiga yang lain musnah selepas dibedil oleh peluru berpandu anti-kereta kebal “Kornet” yang dilancarkan oleh pejuang Hamas di utara Gaza.

Ini merupakan kejadian ketiga serangan peluru berpandu anti-kereta “Kormet” terhadap penduduk dan tentera Israel dalam konflik terbaru ini, menandakan bahawa pejuang Palestin kini memiliki kemampuan peluru berpandu anti kereta kebal yang ampuh untuk berhadapan dengan tentera Israel.

Kornet
Anggota tentera Israel yang terbunuh.

 

Ramai pemerhati pertahanan menjangkakan tentera Israel bakal berhadapan dengan beberapa kejutan baru apabila mereka memulakan operasi darat di Gaza.

Serangan hebat roket hebat daripada Gaza semalam itu merupakan tindak balas pejuang-pejuang Palestin terhadap tindakan Tentera Udara Israel mensasarkan beberapa bangunan tinggi di Gaza dalam serangan udara mereka semalam, selain melakukan “targeted killings” terhadap pemimpin-pemimpin tinggi kumpulan pejuang Palestin di Semenanjung Gaza.

Hamas dan Islamic Jihad telah mengumumkan kematian beberapa pemimpin tenteranya akibat serangan udara oleh Israel.

Antaranya adalah Bassem Issa, pemimpin tinggi tentera Hamas yang terbunuh selepas bangunan didudukinya musnah dalam serangan udara Israel semalam.

Hamas
Pemimpin tentera Hamas, Bassam Issa yang terbunuh semalam.

 

Lain-lain pemimpin pejuang Hamas yang terbunuh semalam dikenalpasti sebagai, Jamaa Tahla (pakar teknologi), Jamal Zabeda (ketua pembangunan senjata), Nazzem Hatib (ketua jurutera)

Agensi keselamatan Israel juga mengatakan 10 operatif Hamas yang terlibat dalam penghasilan roket dan senjata lain turut terbunuh dalam serangan udara Israel.

Bagaimanapun kumpulan-kumpulan pejuang Palestin itu mengatakan pemimpin-pemimpin lain akan mengambilalih peranan mereka yang telah terbunuh itu bagi memastikan operasi mereka terhadap Israel terus berjalan lancar.

Setakat ini, 67 penduduk Palestin termasuk 13 kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara Israel.

 

Sistem peluru berpandu anti kereta kebal “Kornet”

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...