Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Saturation Strikes”, Formula Untuk Tundukkan Sistem Pertahanan Udara “Iron Dome” Israel

Sejak daripada semalam, ramai pemerhati pertahanan memperkatakan tentang apa yang dipanggil sebagai “saturation strikes” yang dikatakan sebagai formula dalam menumpaskan Iron Dome itu.

0 11,263

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa hari ini, dunia nampaknya terpesona dengan “kehebatan” sistem pertahanan udara “Iron Dome” dalam mempertahankan bandar-bandar Israel daripada serangan roket oleh pejuang-pejuang Palestin di Semenanjung Gaza.

Ramailah yang memuji-muji akan kehebatan sistem pertahanan udara yang dibangunkan oleh syarikat Rafael Advanced Defense System dan Israel Aerospace Industries.

Tidak dapat dinafikan, sistem pertahanan udara Iron Dome berhasil dalam menangani kira-kira 90 peratus daripada roket-roket yang dilancarkan oleh pejuang-pejuang Palestin dalam konflik terbaru ini.

Tetapi itulah, setiap sistem ada kelemahan dan nampaknya pejuang-pejuang Palestin sudah nampak kelemahan “Iron Dome” dan mereka telah mengeksploitasinya dengan cukup baik, sekaligus sedikit-sebanyak meruntuhkan minda “invincibility” dikalangan tentera, industri dan rakyat Israel serta mereka yang mengagung-agungkan teknologi pertahanan Israel.

Sejak daripada semalam, ramai pemerhati pertahanan memperkatakan tentang apa yang dipanggil sebagai “saturation strikes” yang dikatakan sebagai formula dalam menumpaskan Iron Dome itu.

Hamas
Anggota Hamas memasuk roket ke dalam pelancarnya.

 

Pada konflik 2014, Hamas telah melancarkan kira-kira 4,000 roket ke arah Israel, tetapi bilangan pelancaran roket itu adalah untuk tempoh selama 50 hari atau kira-kira sedozen roket di kebanyakkan hari.

Dalam tempoh 50 hari,  paling banyak roket dilancarkannya ke Israel konflik 2014 adalah 200.

Dengan kadar yang lancaran roket yang rendah daripada Hamas, maka amat mudah bagi sistem pertahanan udara “Iron Dome” untuk menangkis serangan itu dan seterusnya melindungi bandar-bandar dan penduduk Israel.

Dan sasaran bagi majoriti roket-roket sama ada oleh Hamas atau kumpulan pejuang Palestin yang lain adalah bandar-bandar atau penempatan penduduk Israel yang terletak hampir dengan sempadan Semenanjung Gaza.

Ini kerana Hamas atau kumpulan pejuang Palestin yang lain pada 2014 tidak memiliki roket-roket jarak jauh yang boleh mensasarkan bandar-bandar di tengah Israel seperti Tel Aviv.

Bagaimanapun konflik pada 2021 ini amat berlainan kerana menurut akhbar Jerusalem Post, pada Selasa dan Rabu pejuang-pejuang Hamas dan Palestin yang lain telah melancarkan lebih daripada 1,000 roket kepada arah bandar-bandar utama Israel termasuk Tel Aviv.

Hamas

Bayangkan dalam tempoh 48 jam, lebih daripada 1,000 roket dilancarkan ke arah bandar-bandar Israel.

Tindakan melancarkan ratusan atau ribuan roket di dalam tempoh yang singkat sememangnya adalah taktik baru yang digunakan oleh pejuang-pejuang Hamas dan Palestin yang lain dalam konflik pada tahun ini berlainan pada 2014.

Ia bertujuan untuk “overwhelm” sistem pertahanan Iron Dome dengan terlalu banyak sasaran untuk ditanganinya supaya 10 peratus daripada roket-roket yang dilancarkan itu mampu mengakibatkan kemusnahan kepada bandar-bandar Israel.

Lancar roket dalam jumlah yang banyak dan dalam tempoh yang cepat, itulah dipanggil “saturation strikes” sebagaimana diperkatakan oleh pemerhati pertahanan.

“Sistem pertahanan Iron Dome memiliki limitations terutama apabila berhadapan dengan tentera yang betul.  Sebuah sistem pelancar roket BM-21 Grad boleh melancarkan 40 roket dalam tempoh 20 saat, manakala satu bateri sistem itu atau satu batallion boleh melancarkan 240 atau 720 roket dalam 20 saat. Tidak ada sistem pertahanan udara yang mampu menangani serangan itu (720 atau 240 roket dalam 20 saat),” kata seorang pemerhati pertahanan.

Ya, memang benar sistem pertahanan udara Iron Dome itu mempunyai “limitation” sendiri sebagaimana sistem-sistem pertahanan udara yang lain dan itulah yang sedang dieksploitasi oleh Hamas dan pejuang-pejuang Palestin yang lain.

Tel Aviv
Kemusnahan di Tel Aviv akibat serangan roket pejuang Palestin semalam.

Kemusnahan besar dialami oleh bandar Tel Aviv semalam juga telah membangkitkan persoalan dikalangan media Israel iaitu, jika “Iron Dome” tidak mampu melindungi Israel daripada serangan roket Hamas dan Palestin, bagaimana ia mahu melindungi negara itu daripada serangan roket serta peluru berpandu daripada lawan yang lagi ampuh iaitu Hezbollah dan Iran.

Jika Hamas melancarkan 1,000 roket dalam tempoh beberapa minit pun sukar untuk “Iron Dome” tangani, bagaimana pula sekiranya Hezbollah atau Iran yang jauh lebih berkemampuan daripada segi ketenteraan melancarkan 10,000 roket di dalam tempoh satu minit ke bandar-bandar Israel?

Mampukah Iron Dome menanganinya dan bersediakah Israel menerima bedilan 10 peratus atau 1,000 bedilan roket daripada Hezbollah? Mampukan Israel berhadapan dengan bilangan kematian yang tinggi di kalangan rakyatnya?

Satu lagi persoalan yang ditimbulkan oleh media Israel adalah daripada aspek perisikan, sama ada terdapat kelemahan dalam perisikan sehingga membenarkan Hamas dan kumpulan-kumpulan Palestin lain “mengumpul” sebegitu banyak roket tidak lama selepas konflik pada 2014.

Roket

Kebanyakkan roket yang dimiliki oleh pejuang Palestin dipercayai dibekalkan oleh Iran dan diseludup masuk ke Gaza menerusi ratusan laluan bawah tanah.

Dan roket-roket di dalam pegangan pejuang Palestin bukan calang-calang kerana Tel Aviv, pusat pentadbiran dan ekonomi Israel,  sudah mampu dibedil dengan mudah.

Nampak gaya, tidak ada lagi kawasan yang selamat di dalam Israel, semuanya di dalam jangkauan roket-roket pejuang Palestin dan itu adalah kesilapan agensi perisikan Israel yang paling besar dalam konflik ini.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...