Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Kita Tahu Mengenai Mereka (Singapura)” – Kata Menteri Pertahanan

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan oleh Dr Halimah Ali (PN-Kapar) pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025, di Dewan Rakyat pada Khamis, tentang doktrin ketenteraan Singapura.

0 1,767
(DEFENCE SECURITY ASIA) – “Kita tahu mengenai mereka dalam hal-hal pertahanan, tetapi kita tidak nyatakan apa yang kita tahu,” menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin apabila ditanya mengenai Singapura.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan oleh Dr Halimah Ali (PN-Kapar) pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025, di Dewan Rakyat pada Khamis, tentang doktrin ketenteraan Singapura.
Anggota Parlimen Perikatan Nasional itu mahu mengetahui sama ada republik yang saiznya adalah lebih kecil berbanding negara ini mengambil pendekatan doktrin ketenteraan yang menjurus kepada pertahanan (defensif), iaitu sama seperti Malaysia.
Mohamed Khaled tidak menjawab soalan berkenaan doktrin ketenteraan Singapura itu tetapi berkata, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan mendedahkan apa yang diketahui mereka tentang negara jiran di selatan tanahair itu.
Katanya, mereka tidak akan mendedahkannya kerana mahukan maklumat-maklumat sebegitu “menjadi kelebihan kepada kerajaan dan angkatan tentera.”
Mohamed Khaled
Mohamed Khaled Nordin
“Perkara perkara sebegitu kita tidak berkongsi supaya kita dapat mengawal keadaan, supaya kita tidak lahirkan kebimbangan, supaya kita tidak timbulkan ketegangan dan merenggangkan hubungan di antara kedua negara.”
“Walau apapun, kita sentiasa memerhatikan semua negara-negara terutamanya negara yang berdekatan dan menjadi jiran kepada kita. Itu jaminan saya kepada Yang Berhormat (Ahli Parlimen Kapar.”
“Tak boleh nak bercerita tapi kita tahu apa yang semua negara ada dan itu adalah kerja (Kementerian) Pertahanan untuk memastikan pertahanan negara berada di tahap maksimum,” kata Mohamed Khaled.
Belanjawan pertahanan Singapura pada tahun 2024 adalah sebanyak US$15 billion (RM65.9 billion) berbanding Malaysia yang menerima RM19.7 billion untuk belanjawan pertahanan pada tahun ini dan RM21.2 billion pada 2025.
Singapura sememangnya diketahui sebagai negara yang berbelanja besar untuk pertahanannya, dengan Belanjawan pertahanan republik secara konsisten adalah dua kali ganda lebih besar daripada Malaysia.
F-15SG
Pesawat F-15SG Singapura pada Latihan Pitch Black 2022 di Australia.
Pada Februari tahun ini, Singapura mengumumkan bahawa ia akan membeli lapan lagi buah pesawat pejuang generasi kelima F-35A, bagi menambah 12 buah pesawat pejuang F-35B (Vertical Short Take Off Landing – VSTOL) yang telah pun dipesannya sebelum ini.
Pengumuman itu menjadikan keseluruhan pesawat F-35 buatan syarikat Lockheed Martin yang bakal dimiliki oleh Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) kepada 20 buah.
Singapura akan mula menerima empat buah pesawat pejuang F-35B miliknya itu pada 2026.
Selain pesawat pejuang F-35A dan F-35B, Tentera Udara Singapura juga memiliki beberapa skuadron F-15 dan F-16, helikopter penyerang Apache dan pelbagai aset udara yang lain.
Pada Julai dan Ogos lalu, Tentera Laut Singapura telah mula menerima dua daripada empat buah kapal selam Type 218SG kelas-Invincible dipesannya daripada Jerman.
Kedua-dua kapal selam itu, RSS Invicible dan RSS Impeccable telah pun ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Laut Singapura manakala dua lagi buah kapal selam kelas-Invincible, “Illustrious” dan “Inimitable” akan dihantar pulang ke Singapura pada 2028.
Invincible
Kapal selam Type 218SG “Invincible” di Pangkalan Laut Changi. (kredit MINDEF Singapore)
Pada ketika ini Tentera Laut Singapura memiliki empat buah kapal selam terpakai yang diperolehinya daripada Sweden.
 Singapura dan TKMS menandatangani dua kontrak berasingan pada 2013 dan 2017 untuk perolehan empat buah kapal selam Type 218SG kelas-Invicible yang diberikan nama “Invincible”, “Impeccable”, “Illustrious” dan “Inimitable.”
Keempat-empat kapal selam “custom-made” Type 218SG kelas-Invicible itu dibina dengan mengambilkira keperluan spesifik  Singapura.
Selain aset-aset udara dan laut yang moden, Angkatan Tentera Singapura juga memiliki ketumbukan tentera darat yang kukuh, dengan pemilikan lebih daripada 100 buah kereta kebal Leopard dan ratusan kereta perisai serta lain-lain aset. — DSA

Comments
Loading...