Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika, Russia, China Saling Berbalas Kerah Pesawat Pengebom ke Sempadan Masing-Masing

Pada ketika ini, Amerika Syarikat dan Russia serta China saling berbalas menghantar pesawat-pesawat pengebom masing-masing yang berkeupayaan membawa senjata nuklear ke ruang udara berhampiran dengan sempadan masing-masing.

0 722

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada ketika ini, Amerika Syarikat dan Russia serta China saling berbalas menghantar pesawat-pesawat pengebom masing-masing yang berkeupayaan membawa senjata nuklear ke ruang udara berhampiran dengan sempadan masing-masing.

Ia adalah suatu tindakan yang amat merbahaya tetapi menunjukkan bahawa ketegangan di antara mereka semakin meningkat dan menuju ke tahap yang amat kritikal.

Minggu lepas, dua buah pesawat pengebom B-52 “Stratofortress” milik Tentera Udara Amerika Syarikat dilaporkan telah terbang di ruang udara Finland buat pertama kali sebelum mendarat di Romania untuk memulakan operasi di negara tersebut.

Kedua-dua pesawat pengebom strategik Amerika Syarikat itu yang berpangkalan di Pangkalan Udara Barksdale terbang dikesan terbang di ruang udara Norway sebelum melintasi di ruang udara di Lapland yang terletak di kawasan paling utara di Finland yang bersempadan dengan Russia, Sweden dan Norway.

Russia berkongsi kira-kira 1,300km sempadan dengan Finland.

Kehadiran pesawat-pesawat pengebom B-52 Amerika itu di ruang udara Finland dan Romania dilakukan selepas NATO mengumumkan rancangannya untuk memperkuatkan lagi pertahanannya di wilayah timurnya yang bersempadan dengan Russia.

B-52

Semasa melakukan penerbangan berhampiran dengan Russia bersama pesawat-pesawat pejuang NATO, pesawat pengebom strategik B-52 milik Amerika Syarikat itu telah dipintas oleh dua buah pesawat pejuang Russia di Laut Barents di Artik, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pemerintahan Tentera Udara Amerika Syarikat di Eropah (USAFE).

Kementerian Pertahanan Russia dalam kenyataan berkata ia telah mengerahkan pesawat-pesawat pejuang MiG-29 dan MiG-31 untuk memintas pesawat-pesawat pengebom strategik B-52 Amerika Syarikat itu yang menghampiri ruang udara negara itu di Laut Barents.

“Krew pesawat pejuang Russia itu telah mengenalpasti sasaran udara itu sebagai dua buah pesawat pengebom B-52H Tentera Udara Amerika Syarikat. Apabila pesawat pejuang Russia menghampirinya,  pesawat pengebom strategik Amerika itu telah bertindak menjauhkan daripada mendekati ruang udara Russia,” kenyataan itu menyebut.

Berkemungkinan sebagai tindak balas, North American Aerospace Defense Command (NORAD) dalam satu kenyataan beberapa hari lalu menyatakan bahawa ia telah mengesan dan memintas empat buah pesawat pengebom daripada Russia dan China yang beroperasi secara bersama di ruang udara berhampiran Alaska.

Pegawai-pegawai NORAD menyatakan bahawa ini adalah pertama kali mereka mengesan dan memintas pesawat-pesawat pengebom Tu-95 “Bear” milik Russia dan H-6 “Xian” milik China ketika mereka beroperasi bersama-sama di ruang udara berhampiran Alaska.

Kedua-dua pesawat pengebom milik Russia dan China itu berkemampuan membawa pelbagai persenjataan termasuk bom-bom dan peluru berpandu nuklear.

NORAD
Pesawat pengebom H-6 China dipintas oleh pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat dan Kanada di ADIZ Alaska.

 

Tidak jelas sama ada pesawat-pesawat pengebom Russia dan China itu membawa sebarang sebarang senjata ketika mereka beroperasi bersama di ruang udara berhampiran Alaska, yang merupakan wilayah milik Amerika Syarikat.

NORAD telah mengerahkan pesawat-pesawat pejuang termasuk F/A-18 Hornet daripada Tentera Udara Kanada dan F-35 serta F-16 daripada Tentera Udara Amerika Syarikat untuk memintas dan mengiringi pesawat-pesawat pengebom Russia dan China itu.

Kementerian Pertahanan Russia telah mengeluarkan video memaparkan pesawat-pesawat pengebom negara itu dan China telah dihampiri oleh pesawat-pesawat pejuang Tenera Udara Kanada dan Amerika Syarikat ketika berada di dalam ruang udara ADIZ Alaska. (VIDEO DI SINI)

Keempat-empat pesawat pengebom Russia dan China itu kekal berada di ruang udara antarabangsa dalam Air Defense Identification Zone (ADIZ) Alaska sepanjang penerbangannya dan tidak dilihat memberikan ancaman, menurut kenyataan daripada NORAD.

Pesawat-pesawat pengebom Russia dan China itu tidak memasuki ruang udara berdaulat (sovereign airspace) Amerika Syarikat dan Kanada.

“Ia adalah kali pertama dalam sejarah pesawat-pesawat pengebom H-6 dariapda China berada di dalam ruang udara ADIZ Alaska,” menurut pegawai-pegawai pertahananan Amerika Syarikat dan Kanada sebagaimana dipetik oleh stesen televisyen kabel CNN.

NORAD
Pesawat pengebom Russia, Tu-95 dipintas oleh pesawat-pesawat pejuang F-16 dan F-35 Amerika Syarikat di ADIZ Alaska minggu lepas.

 

Alaska merupakan salah sebuah negeri di Amerika yang terletak di wilayah paling utara di benua Amerika Utara manakala perairannnya bersempadan dengan Selat Bering.

Ia adalah wilayah Amerika Syarikat yang terletak paling hampir dengan wilayah Russia, dengan Pulau Diomede Kecil (milik Amerika) hanya terletak kira-kira 4km daripada Pulau Diomede Besar (milik Russia).  

Kementerian Pertahanan China berkata bahawa tentera udara negara itu dan Russia telah melakukan rondaan strategik bersama di ruang udara di Laut Bering sebagai sebahagian daripada kerjasama tahunan sedia ada di antara kedua-dua angkatan tentera.

Menurut jurucakapnya Zhang Xiaogang, ia adalah penerbangan bersama kelapan antara kedua-dua tentera udara sejak 2019 yang mensasarkan untuk terus menguji dan meningkatkan tahap kerjasama di antara kedua-dua pihak.

Ia juga bertujuan mendalamkan lagi tahap keyakinan strategik dan kerjasama praktikal antara kedua-dua negara.

“Langkah ini tidak mensasarkan mana-mana pihak ketiga, ia adalah selaras dengan undang-undang antarabangsa dan amalan antarabangs. Ia tidak akan kena-mengena dengan keadaan semasa antarabangsa dan serantau,” menurut Zhang. — DSA

Comments
Loading...