Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

F-22 “Raptor” Dikerah Pintas Pesawat Pengebom Russia Di Hawaii

Kedua-dua pesawat F-22 Raptor itu berlepas daripada pangkalan udara Pearl Harbor-Hickam untuk memintas pesawat pengebom Russia dipercayai daripada jenis Tupolev Tu-95 atau Tu-142 itu yang menghampir Hawaii.

0 1,832

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Buat kali kedua dalam seminggu, tentera Amerika Syarikat terpaksa mengerahkan pesawat-pesawat F-22 “Raptor” yang berpengkalan di Hawaii untuk memintas pesawat-pesawat pengebom jarak jauh Russia.

Kedua-dua pesawat F-22 Raptor itu berlepas daripada pangkalan udara Pearl Harbor-Hickam untuk memintas pesawat pengebom Russia dipercayai daripada jenis Tupolev Tu-95 atau Tu-142 itu yang menghampir Hawaii.

Pesawat-pesawat pengebom Russia itu didapati tidak menceroboh Air Defence Identification Zone (ADIZ) Hawaii.

Pada ketika ini, Russia sedang melakukan latihan laut besar-besar di Lautan Pasifik, 400 hingga 500 batu daripada Hawaii melibatkan puluhan buah kapal perang, kapal selam dan pesawat pejuang serta pesawat pengebom.

Ia dikatakan adalah latihan laut terbesar untuk Armada Pasifik Russia di Lautan Pasifik sejak berakhirnya Perang Dingin.

Russia
Kapal perang Russia.

 

Dalam masa yang sama, kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat USS Carl Vinson juga sedang mengadakan latihan kira-kira 200 batu di timur Hawaii.

Kerahan pesawat-pesawat F-22 Raptor itu adalah kali kedua selepas tiga buah pesawat pejuang daripada jenis yang sama serta sebuah pesawat tangki minyak turut berlepas daripada pangkalan udara di Hawaii untuk memintas pesawat-pesawat pengebom Russia yang terbang hampir dengan Hawaii.

Mengapa Hawaii, pulau yang terkenal sebagai destinasi pelancongan itu juga merupakan pangkalan tentera utama Amerika Syarikat terutamanya bagi operasi di kawasan Pasifik.

Hawaii itu turut menempatkan pusat ujian peluru berpandu Amerika Syarikat.

Sementara itu, sebuah kapal pengintip (auxiliary general intelligence ship)  Tentera Laut Russia, “Kareliya” (SSV-535) dikesan berada di Oahu, kepulauan Hawaii ketika terdapat laporan bahawa Amerika Syarikat sedang di dalam proses untuk melancarkan ujian peluru berpandu.

Laporan mengatakan kapal-kapal pemantau peluru berpandu milik Amerika Syarikat (missile tracker ship) dikesan berada berhampiran Hawaii, menandakan negara itu bakal melancarkan ujian peluru berpandu bila-bila masa.

Kapal-kapal pemantau peluru berpandu itu dikenalpasti sebagai SS Pacific Tracker dan MV Pacific Collector  serta kapal SBX-1.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...