(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas lebih daripada sebulan berperang, akhirnya tentera Azerbaijan yang dibantu oleh kepakaran ketenteraan Turki berjaya mencapai kemenangan mutlak di Nagorno-Karabakh.
Genjatan senjata yang ditandatangani oleh Azerbaijan dan Armenia hasil usaha Russia menyaksikan tentera Armenia berundur daripada Nagorno-Karabakh dan Azerbaijan kekal di wilayah yang dimenanginya dalam perang selama enam minggu.
Selain berundur daripada Nagorno-Karabakh, Armenia juga akan menyerahkan kekuasaan Lachin Corridor, Wilayah Aghdam dan Kalbajar, bagi membolehkan pelarian Azerbaijan kembali semula ke kawasan yang pernah diduduki mereka pada 1990-an.

Gencatan senjata itu juga akan menyaksikan kerahan tentera Russia sebagai pengaman di Nagorno Karabakh selama lima tahun.
Tentera Russia telah mula bertugas di Nagorno Karabakh hari ini bagi memastikan gencatan itu kekal.
Gencatan senjata yang mengesahkan kemenangan Azerbaijan dalam perang di Nagorno Karabakh itu ditandatangani selepas dua hari tentera negara itu mara dan menguasai Shusha, iaitu bandar kedua terbesar di wilayah bergolak itu.
Penduduk Baku, Azerbaijan meraikan kemenangan tentera mereka di Nagorno Karabakh. (sumber Twitter)
Shusha adalah bandar penting kerana ia adalah simbol kepada sejarah dan kebudayaan bagi masyarakat Azerbaijan.
Ia juga strategik kerana hanya terletak kira 15 batu daripada Stepanakert, ibu negara Nagorno-Karabakh.
Pemimpin Armenia berkata, jika tiada gencatan senjata, sudah pasti tentera Azerbaijan akan menguasai Stepanakert, memberikan satu lagi kekalahan kepada tentera Armenia.
Comments are closed.