Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

KAI Selesai Hantar 12 FA-50GF (Gap Filler) Poland, 15 Bulan Selepas Tandatangan Kontrak

Pada September tahun 2022, KAI dan kerajaan Poland menandatangani kontrak bernilai US$3 bilion (RM13.5 bilion) untuk memperolehi 48 buah pesawat pejuang ringan, FA-50 yang dibangunkan oleh syarikat pembuat pesawat tunggal Korea Selatan itu.

0 4,719

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Korea Aerospace Industries (KAI) mengumumkan bahawa ia telah menyelesaikan penghantaran pertama 12 buah pesawat pejuang FA-50GF (Gap Filler) kepada Poland, hanya kira-kira 15 bulan selepas menandatangani kontrak penjualan dengan negara Eropah itu.

Pada September tahun 2022, KAI dan kerajaan Poland menandatangani kontrak bernilai US$3 bilion (RM13.5 bilion) untuk memperolehi 48 buah pesawat pejuang ringan, FA-50 yang dibangunkan oleh syarikat pembuat pesawat tunggal Korea Selatan itu.

“Bermula daripada penghantaran unit pertama dan unit kedua pesawat FA-50GF kepada negara itu di pangkalan udara di Minsk pada Julai tahun lepas, syarikat telah memenuhi kontrak tanpa sebarang isu dengan membekalkan kesemua 12 unit kepada Tentera Udara Poland,” menurut KAI dalam satu kenyataan.

Syarikat itu dijadualkan akan menghantar kesemua 36 unit pesawat FA-50PL, yang merupakan varian dengan tambahan konfigurasi sebagaimana diminta oleh Tentera Udara Poland seperti penambahbaikan avionik dan persenjataan bermula pada 2025 hingga 2028.

Ketua Pegawai Eksekutif KAI Kang Goo-young berkata kerjasama baik di antara syarikat itu dengan Poland merupakan faktor disebalik kejayaan mereka menghantar 12 buah pesawat FA-50GF kepada Poland tepat pada masanya.

“Kami bercadang memperluaskan lagi kerjasama pertahanan dengan Poland dan menyumbang lagi ke arah menambah baik tentera udaranya dengan teknologi KAI dan kemampuan produksinya,” kata beliau.FA-50

Poland bercadang membersarakan keseluruhan pesawat-pesawat buatan Russia, MiG-29 dan Su-22 miliknya dan menggantikannya dengan pesawat pejuang FA-50GF dan FA-50PL buatan KAI.

Poland akan menerima 36 FA-50PL yang merupakan varian FA-50 Block 20 sebagaimana yang bakal dioperasikan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pada 7 Jun tahun lepas, satu majlis roll-out pesawat pejuang FA-50GF milik Tentera Udara Poland telah diadakan di Sacheon, kira-kira 300km daripada Seoul yang menempatkan ibu pejabat syarikat KAI.

Media-media Korea Selatan menyifatkan majlis roll-out pesawat FA-50GF milik Poland itu sebagai “amat menakjubkan” kerana tempoh yang amat pendek – iaitu hanya lapan bulan selepas kontrak ditandatangani pada September 2022 kepada tempoh roll-out pesawat pertama FA-50GF Poland itu.

Pada Ogos tahun lepas, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat mengumumkan ia bersetuju menjual sejumlah 34 buah pod sasaran  terkini, “Sniper” “Advanced Targeting Pod” (ATP) bernilai US$124.7 juta (RM561 juta) untuk dipasang kepada pesawat-pesawat pejuang ringan FA-50 buatan Korea Selatan milik Poland.

Pod sasaran “Sniper” ATP seberat 200kg itu merupakan sistem penjejak sasaran elektro-optik di dalam sebuah pod yang bertanggungjawab untuk menguruskan usaha penjejakan sasaran berketepatan tinggi dan perisikan, operasi pemantauan, misi udara-ke-udara dan udara-ke-darat di darat serta lautan.

FA-50

Pod sasaran “Sniper” ATP merupakan pod sasaran yang telah terbukti kemampuannya di medan-medan peperangan yang disertai oleh Amerika Syarikat serta pelanggan luar dan digunakan oleh pesawat-pesawat F-15E, F-16 (kesemua Blok), B-1, A-10C, Harrier GR7/9 dan F/A-18.

Syarikat Lockheed Martin juga dikatakan sedang dalam peringkat akhir untuk mengintegrasikan pod sasaran Sniper ATP pada pesawat pengebom B-52 Tentera Udara Amerika Syarikat.

Pada LIMA ’23 Kementerian Pertahanan menandatangani perjanjian dengan KAI untuk memperolehi 18 buah pesawat FA-50 Block 20, dengan TUDM dijangka menerima kumpulan pertama empat buah pesawat pertama pada Oktober 2026.

TUDM dijangka menerima 14 buah pesawat pejuang FA-50 Block 20 atau FA-50M yang berikutnya secara berperingkat selepas itu.

Hanya Malaysia dan Poland sahaja yang menggunakan varian FA-50 Block 20, yang merupakan varian pesawat FA-50 yang paling berkemampuan berbanding varian-varian pesawat pejuang ringan itu yang lain.

Varian FA-50 Block 20 yang bakal digunakan oleh Malaysia dan Poland bakal dinaiktaraf dengan radar AESA jenis PhantomStrike oleh Raytheon, pod air-to-air refuelling Chobham, kemampuan untuk melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) dan peluru berpandu udara-ke-darat serta bom-bom pintar. — DSA

CLICK FOR DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

Any enquiries can email: lulwabyadah@gmail.com

 

Comments
Loading...