Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Terlalu Akrab Dengan China Punca Amerika Tolak Permohonan Thailand Miliki F-35?

Ramai di kalangan penganalisis sama ada di dalam Thailand mahupun di luar mendakwa sebab sebenar mengapa Washington menolak permohonan sekutunya, Bangkok untuk memperolehi pesawat F-35 itu adalah kerana ia tidak senang dengan hubungan ketenteraan yang rapat di antara negara sekutu Asia Tenggaranya itu dengan Beijing.

0 1,876

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada Mei lepas, Amerika Syarikat secara rasmi menolak permohonan sekutunya di Asia Tenggara,  Thailand untuk memiliki pesawat pejuang generasi kelima, F-35, memberikan alasan bahawa negara Gajah Putih itu masih “belum bersedia” untuk mengoperasi pesawat buatan syarikat Lockheed Martin.

Thailand menurut Amerika Syarikat tidak memiliki infrastruktur dan jaminan keselamatan untuk memiliki dan mengoperasikan pesawat moden itu.

Ia meliputi keselamatan pangkalan udara yang akan menempatkan pesawat F-35 itu, penyelenggaraan, juruterbang serta krew-krew yang terlibat dengan pengoperasian pesawat pejuang generasi kelima itu.

Thailand
Perasmian latihan udara Falcon Strike 2023 di antara Thailand dan China baru-baru ini.
F-35
Pesawat F-35

 

Bagaimanapun ramai di kalangan penganalisis sama ada di dalam Thailand mahupun di luar mendakwa sebab sebenar mengapa Washington menolak permohonan sekutunya, Bangkok untuk memperolehi pesawat F-35 itu adalah kerana ia tidak senang dengan hubungan ketenteraan yang rapat di antara negara sekutu Asia Tenggaranya itu dengan Beijing.

Amerika berkemungkinan mungkin bimbang teknologi canggih pesawat F-35 itu akan terlepas ke China, disebabkan hubungan ketenteraan yang baik antara Bangkok dan Beijing, sebagaimana kebimbangan yang dimilikinya apabila ia enggan menjual pesawat pejuang F-35 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) berikutan hubungan baik sekutu Arabnya itu dengan Beijing terutamanya membabitkan peranan syarikat telekomunikasi, Huawei di UAE.

Washington bimbang kemungkinan China menggunakan teknologi 5G Huawei itu untuk “merisik” dan “mencuri” rahsia-rahsia teknikal pesawat pejuang F-35 sekiranya ia dioperasi oleh tentera udara UAE, teruatamanya apabila teknologi 5G Huawei digunakan di pangkalan-pangkalan tentera udara negara Arab itu.

Mungkin Amerika Syarikat memiliki kebimbangan yang sama di Thailand. 

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini,  hubungan ketenteraan di antara Thailand dan China sememangnya amat rapat,  dengan Angkatan Tentera Thailand adalah antara pengguna utama sistem persenjataan buatan China termasuk kereta kebal, kereta perisai, kapal perang, sistem pertahanan udara dan lain-lain.

Gripen
Pesawat JAS-39 C/D Gripen Tentera Udara Thailand (RTAF).

 

Ketiga-tiga cabang angkatan tentera kedua-dua negara juga kerap mengadakan latihan bersama, untuk mengukuhkan kerjasama antara mereka.

Dan hanya pada Julai lalu, tentera udara kedua-dua negara telah memulakan latihan udara tahunan dinamakan “Falcon Strike 2023” di Thailand, menghimpunkan pelbagai pesawat kombat milik kedua-dua negara termasuk pesawat amaran awal (AEWC) dan pengebom.

Latihan udara “Falcon Strike” sememangnya adalah usaha Thailand dan China untuk memperkukuhkan lagi hubungan ketenteraan kedua-dua negara dan menegakkan “keamanan dan kestabilan serantau.”

Menurut laporan oleh media-media China, semasa latihan udara bersama itu tentera udara kedua-dua negara akan mengadakan latihan melibatkan pertahanan udara, bantuan udara dan kerahan besar-besaran.

Upacara perasmian “Falcon Strike 2023” telah diadakan pada 9 Julai lalu di Pangkalan Udara Udorn yang terletak kira-kira 30km daripada Bangkok dan kurang 50km daripada Teluk Thailand (Gulf of Thailand).

Kementerian Pertahanan China dalam satu kenyataan berkata di antara unit-unit angkatan tenteranya yang akan terlibat dalam latihan bersama dengan Thailand termasuk pesawat pejuang, pesawat pengebom, pesawat amaran awal dan sistem pertahanan udara.

J20-F35
Pesawat AEW&C China “KJ-500”
J-10
J-10

 

Komander tentera China pada latihan bersama itu, Chen Jun dipetik oleh media China bahawa “Falcon Strike 2023” membawa kepada kerjasama menang-menang antara kedua-dua negara.

Walaupun Kementerian Pertahanan China tidak menyatakan dengan jelas jenis-jenis pesawat yang akan terlibat dalam latihan itu tetapi ia membabitkan penyertaan pesawat pejuang J-10C, JH-7A dan pesawat amaran awal KJ-500.

Manakala bagi Thailand, ia dipercayai melibatkan pesawat-pesawat pejuang F-16 serta JAS-39 Gripen.

Bayangan sekiranya Thailand memiliki pesawat pejuang F-35 dan ia menggunakan pesawat canggih itu untuk latihan bersama dengan China, sudah pasti Beijing boleh melihat dengan lebih dekat kemampuan sebenar pesawat pejuang itu dan menyesuaikannya dengan strategi tentera udaranya apabila berhadapan dengan F-35 Amerika Syarikat. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

 

Comments
Loading...