KAI Tawar Helikopter “Marineon” MOH Ganti Super Lynx Mk300 Milik TLDM
Menurut sumber industri kepada Defence Security Asia, Korea Aerospace Industries (KAI) berkemungkinan menawarkan dua buah helikopter “Marineon” dalam konfigurasi asas MOH secara sewaan menggunapakai konsep “Lease to Own” sebagai platform latihan manakala enam buah lagi dalam konfigurasi MOH lengkap secara perolehan (procurement) untuk dipertimbangkan oleh TLDM.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas berjaya membekalkan 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 bernilai kira-kira RM4 bilion kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) kini dikata “mensasarkan” pula Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Sumber-sumber industri memaklumkan kepada Defence Security Asia bahawa gergasi aeroangkasa Korea Selatan itu menunjukkan minat yang tinggi untuk terlibat dalam program penggantian helikopter Super Lynx Mk300 milik TLDM itu.
KAI akan “memasuki gelanggang” sekiranya Kementerian Pertahanan membuka tender untuk memperolehi helikopter bersesuaian untuk menggantikan enam buah helikopter Super Lynx yang digunakan oleh tentera laut pada ketika ini.
Defence Security Asia difahamkan KAI bakal mengetengahkan “Marineon” MOH (Marine Operation Helicopter) yang merupakan varian marin helikopter “Surion” dibangunkan oleh syarikat itu dan digunakan secara meluas oleh cabang-cabang Angkatan Tentera Korea Selatan.
Helikopter “Marineon”/”Surion” telah dibangunkan oleh KAI dengan menggabungkan kelebihan-kelebihan teknologi diperolehi menerusi pengoperasian helikopter Amerika Syarikat dan Eropah oleh negara itu, selain menggunakan platform dan sistem yang sudah sedia ada di pasaran.
Konfigurasi helikopter “Marineon” yang diketengahkan oleh KAI untuk memenuhi keperluan TLDM adalah “Marine Operation Helicopter” (MOH), dengan spesfikasi teknikalnya akan ditentukan kemudian oleh TLDM dan KAI.
Konfigurasi MOH “Marineon” adalah lebih sesuai untuk memenuhi keperluan TLDM.
Selain konfigurasi MOH untuk operasi maritim, helikopter “Marineon” juga memiliki konfigurasi-konfigurasi lain seperti “Marine Utility Helicopter” (MUH), “Marine Attack Helicopter” (MAH) dan “Mines Countermeasure Helicopter” (MCH).
Menurut sumber industri lagi, KAI berkemungkinan menawarkan dua buah helikopter “Marineon” dalam konfigurasi asas MOH secara sewaan menggunapakai konsep “Lease to Own” sebagai platform latihan manakala enam buah lagi dalam konfigurasi MOH lengkap secara perolehan (procurement) untuk dipertimbangkan oleh TLDM.
Dua buah helikopter “Marineon” dalam konfigurasi MOH asas itu ditawarkan secara sewaan kepada TLDM untuk tempoh sama ada tiga, lima atau tujuh tahun.
Comments are closed.