Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Lagi Gambar Kemusnahan Kereta Kebal PT-91 “Twardy” Di Ukraine

Gambar kemusnahan kereta kebal PT-91  “Twardy” digunakan oleh tentera Ukraine semalam adalah yang kedua selepas gambar dan video kemusnahan kereta kebal "didermakan" oleh Poland itu disiarkan oleh media sosial antarabangsa pada Julai lalu.

0 11,224

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Media sosial berkaitan pertahanan antarabangsa semalam telah memaparkan kemusnahan yang dialami oleh sebuah kereta kebal PT-91 “Twardy” yang “didermakan” kepada Ukraine oleh Poland untuk menentang pencerobohan Russia.

Kereta kebal PT-91 buatan Poland itu adalah sama sebagaimana kereta kebal PT-91M “Pendekar” yang digunakan oleh Tentera Darat Malaysia.

Tentera Darat Malaysia memiliki 48 buah kereta kebal utama buatan Poland itu,

PT-91 Twardy
Kemusnahan kereta kebal PT-91 “Twardy” dibekalkan Poland kepada Ukraine.

 

Gambar-gambar yang disiarkan oleh media sosial pertahanan antarabangsa itu menunjukkan kereta kebal PT-91 buatan syarikat Bumar Labedy, Poland itu sedang terbakar.

Namun gambar-gambar itu tidak menjelaskan dengan lanjut bilakah insiden itu berlaku atau lokasi kejadian, tetapi ia dipercayai berlaku ketika Ukraine melancarkan serangan balas musim bunga di wilayah Zaphorizia di selatan Ukraine baru-baru ini.

Tentera Ukraine dibantu dengan sistem persenjataan Barat telah melancarkan serangan balas di selatan negara itu pada permulaan musim bunga, tetapi berhadapan dengan tentangan sengit daripada tentera Russia yang telah mendirikan kubu-kubu pertahanan kukuh.

Gambar kemusnahan kereta kebal PT-91  “Twardy” digunakan oleh tentera Ukraine semalam adalah yang kedua selepas gambar dan video kemusnahan kereta kebal Poland itu disiarkan oleh media sosial antarabangsa pada Julai lalu.

Menurut keterangan akaun media sosial itu pada Julai lepas, kereta kebal PT-91 “Twardy” itu telah dimusnahkan oleh tentera Russia bersama-sama kereta kebal T-72EA dan juga kereta perisai M113 yang disumbang oleh tentera Amerika Syarikat.

Kereta Kebal
Kereta kebal PT-91M “Pendekar” Tentera Darat melepaskan tembakan daripada meriam 125mm pada raptai Latihan Kuasa Tembakan 2022. ((kredit Tentera Darat Malaysia)
PT-91
Latihan fording snorkelling kereta kebal Pendekar PT-91. (Gambar Daripada Berita Tentera Darat Malaysia)

 

Tidak pasti  sama ada kemusnahan kereta kebal PT-91 “Twardy”  sumbangan Poland itu disebabkan oleh bedilan peluru berpandu anti-kereta kebal, periuk api atau peluru artileri.

Kereta kebal PT-91 “Twardy” Poland merupakan kereta kebal T-72M yang telah dinaiktaraf.

Kereta kebal PT-91 Twardy seberat 46 tan itu merupakan varian kereta kebal T-72 yang telah dinaiktaraf dengan alatan dan komponen Barat menjadikannya lebih berkemampuan dan berkeupayaan daripada kereta kebal T-72 yang asal.

Semasa Perang Dingin, Poland menghasilkan kereta kebal T-72 secara berlesen tetapi pada pertengahan 1980-an ia mula mencari pengganti kepada kereta-kereta kebal buatan Russia-nya itu.

Membeli varian terkini T-72 atau kereta kebal yang lebih moden iaitu T-80 merupakan antara cadangan yang dipertimbangkan oleh Poland, tetapi situasi politik dalam negara pada itu membataskan keupayaan kewangannya.

Oleh itu ia bertindak menaiktaraf kereta-kereta kebal T-72 yang dimiliknya kepada PT-91 “Twardy.”

PT-91
Gambar media sosial pada Julai lepas menunjukkan kereta kebal PT-91 “Twardy” musnah.

 

Selepas dinaiktaraf, kereta kebal PT-91 adalah amat berlainan dengan T-72 kerana ia telah dilengkapkan dengan plet-plet armor reaktif, enjin lebih berkuasa, fire control system yang jauh lebih baik, mekanisme loading yang baru dan berbagai penambahbaikan yang meningkatkan lagi prestasi PT-91 ke suatu tahap yang baru.  

Kereta kebal PT-91 juga menggunakan meriam 125mm smoothbore, yang membolehkan tentera Ukraine menggunakan peluru-peluru yang sama sebagaimana ia gunakan pada kereta-kereta kebal T-72 miliknya.

Tentera Poland dikatakan memiliki sehingga 232 buah kereta-kereta kebal PT-91 “Twardy”.

 Sebagai di antara yang paling menyokong kuat Ukraine, Poland telah menyumbang pelbagai sistem persenjataan bagi membantu tentera negara jirannya itu menangani pencerobohan tentera Russia.

Sejak konflik di antara Russia dan Ukraine tercetus pada Februari tahun lepas, Poland tidak henti-henti mengirimkan bekalan senjata kepada Kiev dan antara senjata yang dihantarnya termasuklah kereta-kereta kebal.

PT-91 Twardy
Kereta kebal PT-91 “Twardy” milik tentera Poland.

 

Pada Januari tahun ini, ketika ditemuramah oleh media Kanada, Perdana Menteri Poland Mateusz Morawieki mengesahkan bahawa ia bersedia untuk memindahkan puluhan buah kereta kebal PT-91 “Twardy” miliknya kepada Ukraine.

 “Poland adalah negara pertama yang telah menghantar 250 buah kereta kebal kepada Ukraine. Kali ini kami bersedia untuk menghantar 60 buah daripada kereta kebal PT-91 yang telah dinaiktaraf serta 14 buah kereta kebal Leopard 2,” kata beliau kepada media Kanada. — DSA

Donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...