Sudah Lebih Sebulan Kapal Penyelidikan China Berada Di Perairan ZEE Negara
Walaupun sudah lebih daripada sebulan kapal penyelidik China itu berada di dalam perairan ZEE Malaysia, namun masih tiada kenyataan rasmi daripada kerajaan tentang kehadiran kapal saintifik asing itu di dalam perairan milik negara.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sudah lebih daripada sebulan kapal penyelidik hidrografi China, Haiyang Dizhi Ba Hao 8 berada di dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) menjalankan kerja-kerja penyelidikan “misterinya.”
Walaupun sudah lebih daripada sebulan kapal penyelidik China itu berada di dalam perairan ZEE Malaysia, namun masih tiada kenyataan rasmi daripada kerajaan tentang kehadiran kapal saintifik asing itu di dalam perairan milik negara.
Pelbagai persoalan timbul pada ketika ini, paling utama adalah sama ada kapal China itu sudah memperolehi kebenaran daripada Malaysia untuk melakukan kajian saintifik di dalam perairan ZEE milik negara?

Menurut penyelidik antarabangsa Raymond Powell menerusi ciapannya dalam akaun Twitter di @GordionKnotRay telah berkata, hampir pasti misi penyelidikan oleh kapal China itu tidak memperolehi kebenaran daripada Malaysia.
Ray, bekas kolonel Tentera Udara Amerika Syarikat adalah ketua Projek Myoushu di Gordian Knot Center for National Security Innovation, Universiti Stanford.
China menurut beliau, sudah tentu tidak akan meminta kebenaran daripada Malaysia (untuk melakukan penyelidikan itu) kerana ia mengaku perairan di Beting Patinggi Ali itu adalah haknya di bawah Nine Dash Line.
Meminta kebenaran daripada Malaysia katanya, akan menunjukkan bahawa China secara tidak langsung mengakui hak Kuala Lumpur terhadap perairan sekitar beting itu.
“Hampir pasti penyelidikan itu tidak mendapat kebenaran daripada Malaysia dan ia adalah haram dibawah UNCLOS yang menghendaki pihak yang melakukan penyelidikan itu memohon kebenaran enam bulan lebih awal,” katanya.
Persoalan kedua menyentuh, bentuk kajian saintifik apakah yang sedang dijalankan oleh kapal kajian hidrografi China itu di ZEE Malaysia yang dikenali sebagai kawasan prolifik dengan sumber minyak dan gas yang bernilai tinggi?

Sebarang maklumat tentang kapal China itu amat ditagih memandangkan kehadirannya di perairan ZEE Malaysia di Beting Patinggi Ali itu telah “dikawal ketat” oleh kapal-kapal pengawal pantai serta bot-bot maritim militia China.
Comments are closed.