Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Keberanian” Pesawat Perisik Russia Mengintip Pangkalan Tentera Amerika Di Syria

Apa yang menarik adalah tentang “keberanian” pesawat pengintip Russia itu yang dikenalpasti jenis Antonov An-30 untuk berlegar-legar "betul-betul" di atas ruang udara pangkalan tentera Amerika Syarikat itu di At-Tanf di Syria itu.

0 3,072

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Russia telah mengerah sebuah pesawat perisiknya untuk melakukan misi pengintipan intensif terhadap pangkalan At-Tanf yang diduduki oleh anggota tentera Amerika Syarikat di Syria dan kawasan persekitarannya.

Apa yang menarik adalah tentang “keberanian” pesawat pengintip Russia itu yang dikenalpasti daripada jenis Antonov An-30 berlegar-legar “betul-betul” di atas ruang udara pangkalan tentera Amerika Syarikat itu.

Menurut pegawai pertahanan Amerika Syarikat, pesawat pengintip Russia itu berlegar-legar untuk beberapa jam di atas pangkalan tentera Amerika di Syria untuk “mengumpul” segala maklumat perisikan yang diperlukannya.

Perisik
Antonov An-30

 

Pihak tentera Amerika dan Russia sememangnya terlibat dalam misi-misi perisikan terhadap satu sama lain, tetapi pegawai Amerika menyatakan ia berlainan kali ini kerana ia berlaku betul-betul di atas pangkalan tenteranya.

Amerika dan Russia menempatkan anggota tentera masing-masing di negara Arab itu.

Pegawai Amerika menyatakan bahawa ia tidak berkemampuan untuk memintas pesawat pengintip Russia itu kerana pesawat-pesawat pejuangnya sedang “bertugas” di kawasan operasi berlainan pada ketika itu.

Pesawat perisik Antonov An-30 atau “Clank” sebagaimana dipanggil oleh NATO mula berkhidmat pada tahun-tahun 1960-an ketika Perang Dingin di antara Kesatuan Soviet dengan negara-negara Barat.

Ia adalah pesawat yang khusus untuk melakukan fotografi daripada udara (aerial photography) terhadap kawasan-kawasan sensitif tentera.

Tindakan Russia mengerah pesawat perisiknya mengintip pangkalan tentera Amerika  di Syria bukanlah sesuatu yang mengejutkan malah ia adalah dijangka, lanjutan daripada tindakan-tindakan agresifnya terhadap tentera dan aset Amerika di negara Timur Tengah itu akhir-akhir ini. 

Perisik
Pangkalan tentera Amerika di At-Tanf

 

Pada 5 Julai lalu,  tiga buah pesawat pejuang Su-35 Russia telah bertindak dengan cara-cara “tidak selamat dan tidak profesional” dalam melakukan pemintasan terhadap tiga buah dron MQ-9 “Reaper” milik Amerika Syarikat di utara Syria.

Amerika Syarikat menyifatkan tindakan oleh pesawat Su-35 Russia itu sebagai satu lagi tahap tindakan-tindakan keterlaluan dilakukan oleh tentera negara itu di Syria.

Pada April lalu, Pusat Pemerintahan Tentera Udara Amerika Syarikat di Timur Tengah (AFCENT) telah mengeluarkan dua video yang menunjukkan insiden pertembungan udara “berbahaya” di antara pesawat pejuang Su-35 lengkap bersenjata Russia dengan pesawat-pesawat pejuang miliknya.Perisik

Pada Mac lepas pula, pegawai tinggi tentera Amerika Syarikat mendedahkan bahawa pesawat-pesawat pejuang Russia telah melakukan penerbangan provokatif di ruang udara atas pangkalan dan kemudahan tenteranya di Syria “hampir setiap hari”.

 Pada 27 November tahun lepas, unit pertahanan udara Russia yang beroperasi di Syria telah cuba menembak jatuh sebuah dron milik Amerika Syarikat “MQ-9 Reaper” menggunakan sistem pertahanan udara “Pantsir-S1”.

Bagaimanapun percubaan oleh tentera Russia untuk menembak jatuh dron Amerika itu gagal selepas tembakan peluru berpandu itu gagal mengenai sasarannya. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...